Kekebalan pemimpin DAP: Mimpi buruk ‘rule of law’

- Advertisement -

PEGUAM Negara Tommy Thomas telah menggugurkan prosiding terhadap 12 orang yang didakwa terlibat dengan gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)

- Advertisement -

Dua daripada 12 orang yang didakwa itu ialah P Gunasekaran dan G Saminathan. Kedua-duanya adalah Adun daripada DAP.


Alasan utama yang dikemukakan ialah tiadanya prospek yang jelas terhadap mana-mana dari 34 pertuduhan untuk sabitan kes. 


Persoalannya kenapa sekarang baru dinyatakan tiada prospek yang jelas untuk meneruskan pendakwaan sedangkan berbulan yang lalu pihak PDRM telah bertungkus lumus menyediakan bahan bukti dan pihak Ketua Polis Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai bukti kukuh dan cukup untuk membuat pendakwaan. 


Bukankah fail pendakwaan itu juga disediakan oleh pihak Peguam Negara. Kenapa tidak diteruskan prosiding perbicaraan untuk memberi keadilan pada semua ?


Sebelumnya Tommy Thomas juga telah menggugurkan kes rasuah yang melibatkan Lim Guan Eng meskipun perbicaraan kes telah berjalan dan saksi telah dipanggil, tapi ia digugurkan begitu sahaja tanpa menamatkan proses perbicaraan.


Bukan sahaja ia mencabuli slogan “rule of law” yang kononnya sedang diagungkan oleh kerajaan PH hari ini, malahan juga akan menyemarakkan lagi unsur radikal dalam negara ini melalui cara pengendalian kes sebegini.


Boleh jadi selepas ini, semua tertuduh  yang terlibat dengan gerakan keganasan akan membuat tuntutan supaya kes mereka juga tidak dibicarakan.


Akhirnya, bagaimana wajah keamanan negara selepas ini ? Berdepan dengan perlaksanaan undang-undang dan keadilan yang tidak luhur.
Pendakwaan terpilih dan pencabulan terhadap “rule of law” adalah suatu yang sangat memalukan negara. 


Islam Memimpin Perpaduan


NASRUDIN HASSAN 
HARAKAHDAILY 22/2/2020

- Advertisement -