Bantah penyahwartaan status hutan simpan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor membantah cadangan kerajaan negeri untuk menyahwartakan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan pembangunan bercampur.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kerajaan negeri seharusnya meneruskan program pemuliharaan dan pemeliharaan hutan gambut ini yang menjadi agenda sejak tahun 2014 demi kelestarian.

- Advertisement -

Menurutnya, hutan simpan berkenaan telah diwartakan pada tahun 1927 sebagai hutan simpan kekal sejumlah lebih dari 17 ribu ekar (7,700 hektar) keluasan dan kini hanya berbaki seluas 957 hektar.

“Cadangan kerajaan negeri untuk memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat untuk tujuan pembangunan bercampur seluas lebih kurang 930 hektar (2,300 ekar) amat di kesali oleh rakyat Kuala Langat.

“Ini melibatkan 97 peratus Hutan Simpan Kekal Kuala Langat yang tinggal kini, hanya berbaki 27 hektar sahaja atau 3 peratus,” katanya kepada HarakahDaily.

Adun Sijangkang, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menyatakan cadangan untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara bagi tujuan pembangunan bercampur berikutan 40 peratus kawasan itu tidak lagi mempunyai elemen hutan dara selain bagi mengelak aktiviti pembakaran hutan secara haram berulang.

Menjelas perkara itu, ADUN Sijangkang itu berkata, alasan mengatakan 40 peratus kawasan hutan berkenaan tidak mempunyai elemen hutan dara bukan isunya.

Menurutnya, HSKLU ini telah dikategorikan sebagai kawasan sensitiviti alam sekitar dalam rancangan fizikal negara 3, bermakna tidak boleh digunakan untuk tujuan pembangunan kerana akan menyebabkan kesan jangka panjang kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial terutamanya orang Asli.

“Kita tidak menghalang pembangunan fizikal yang secara tidak langsung mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri tetapi pembangunan tidak bererti hanya pembangunan fizikal semata mata.

“Cukupkan pembangunan di Bandar Saujana Putera, Rembayu dan Gamuda cove dahulu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pemuliharaan dan pemeliharaan hutan adalah entiti pembangunan kerana itu inisiatif kerajaan sebelum ini untuk mengekalkan kawasan hutan Selangor lebih 30 peratus harus dilakukan secara serius walaupun pada masa ini keluasannya hanya 32 peratus.

Sementara itu, ditanya bahawa kerajaan negeri ada mengatakan akan mengantikan kawasan hutan keluasan hampir sama di daerah lain, katanya ia tidak memberi erti kepada kehilangan hutan dan sumber oksigen kepada rakyat di Kuala Langat.

Sepatutnya kata beliau, setiap daerah perlu mempunyai kawasan hutan untuk kelestarian kehidupan.

“Kami mengharapkan kerajaan negeri teruskan program pemuliharaan dan pemeliharaan hutan gambut Kuala Langat Utara ini demi kesejahteraan generasi akan datang.

“Kelestarian dan kemampanan hutan dan kehidupan harus dijaga. Kita hanya meminjam tanah ini dari generasi akan datang, jangan rosakkan flora dan fauna hutan demi kelestarian kehidupan mereka,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 22/2/2020


- Advertisement -