Siapa juara berita palsu?

Siapa juara berita palsu?
- Advertisement -

KERAJAAN menubuhkan jawatankuasa kerja khas merangkumi polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memburu penyebar berita palsu mulai hari ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin. Tahniahlah kepada Kerajaan PH kerana baru sekarang sedar betapa bahayanya ancaman berita palsu.

Sebelum ini, ketika PAS dan Umno mengingatkan Kerajaan PH jangan mansuhkan Akta Berita Palsu, PH juga yang angkuh dan berdegil kononnya demi menjamin hak kebebasan bersuara.

Kini, apabila teruk PH diserang daripada pelbagai sudut barulah mereka rasa betapa pentingnya undang-undang bagi mencegah berita palsu.

- Advertisement -

Siapa yang Kerajaan PH mahu buru sehingga ke lubang cacing wahai pak Timbalan Menteri yang paling bijak nombor 1 dalam dunia? Dia mendakwa ada pihak yang menyalah gunakan kebebasan media sosial untuk menyebar fitnah dan isu perkauman.

Siapakah mereka itu? Siapakah juara penyebar berita palsu? Siapakah juara penyebar fitnah? Siapakah juara yang menyemarak sentimen perkauman dan keagamaan?

Oleh kerana YB Sepang ini hanya nampak parti lamanya sahaja sebagai musuh maka sukalah kita nak peringatkan Kerajaan PH agar jangan pilih kasih dan berat sebelah dalam menguatkuasakan undang-undang.

Harapnya pemimpin PAN ini nampaklah juga deretan kesalahan yang dibuat oleh pemimpin agung parti kesayangan mereka, DAP. Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang antara juara yang suka memfitnah PAS dan menyemarak sentimen permusuhan dan ketakutan orang bukan Islam terhadap orang Islam. Tidak lupa juga Nga Kor Ming, Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan deretan pemimpin DAP yang lain itu.

Rakyat mahu lihat adakah Kerajaan PH berani bertindak terhadap pemimpin parti kerajaan atau hanya menyasarkan pemimpin dan penyokong parti Pembangkang sahaja?

Rakyat juga tidak lupa akan hakikat PH lah juara penyebar berita palsu ketika mereka belum menjadi kerajaan dahulu. Menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS – HARAKAHDAILY 21/2/2020

- Advertisement -