K’jaan digesa serius tangani isu jual bayi

- Advertisement -

ISU penjualan bayi kini bukan hanya secara terus dari pusat jagaan remaja terlanjur, malah perkhidmatan ini hanya boleh didapati melalui atas talian yang jauh lebih senang. Hal ini amat membimbangkan kerana ia menyebabkan aktiviti penjualan bayi semakin berleluasa.

- Advertisement -

Sementara itu, penjualan bayi tanpa melalui proses pengangkatan seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memangsakan bayi. Nasib bayi tidak terbela ekoran akan berlaku masalah pendaftaran sijil kelahiran dan kewarganegaraan. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan pembelian bayi didalangi sindiket penjualan organ pula. 

Oleh itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sewajarnya memainkan peranan untuk mengawal segala cara yang membolehkan transaksi penjualan bayi dijalankan. Disamping itu, kementerian diminta segera bertindak meneliti akta sedia ada untuk menzahirkan keseriusan menangani isu tersebut.

Penguatkuasaan undang-undang bagi penjualan bayi di bawah Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 perlu dipinda agar hukuman yang lebih berat dikenakan dan hukuman terhadap penjualan secara dalam talian dapat dimasukkan.

Kerjasama antara KPWKM dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia amat diperlukan untuk memerangi isu ini dan menyekat segala ruang termasuk pengiklanan dalam talian secara serta-merta.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 21/2/2020

- Advertisement -