Sh Awwad: Kehilangan bagi keluarga PAS Batu Pahat

- Advertisement -

AKU mula ditugaskan di Batu Pahat pada Jun 2003 setelah berpindah dari ‘Negeri Di Bawah Bayu’ Sabah. Aku bertugas di sebuah sekolah di pusat bandar Batu Pahat. Namun aku menyewa agak jauh di Taman Setia Jaya.

- Advertisement -

Keterlibatanku dengan politik Islam ketika berada di Taman Setia Jaya sangat terhad memandangkan aku masih baharu di Batu Pahat (walaupun aku telah terlibat dengan PAS sejak kecil kerana ayahku adalah Ketua Ranting PAS di kampungku). Ini ditambah lagi dengan ketiadaan surau dan Cawangan PAS di sekitar taman tempat tinggalku.

Setelah tiga tahun aku menyewa di Taman Setia Jaya, aku berpindah ke rumah yang hampir dengan sekolah tempat aku bertugas. Aku menyewa di Jalan Limpoon, hanya satu kilometer dari tempat aku bertugas.

Dari Jalan Limpoon, aku mula mencari-cari surau dan tempat majlis ilmu. Aku bertemu dengan sebuah surau yang sangat aktif dengan majlis ilmu. Surau Taman Seri Penggaram nama diberi. Ada yang menamakannya dengan Surau Hijau, bahkan ada yang menyebut sebagai Surau PAS. Itulah sinonim dengan Surau Taman Seri Penggaram.

Kali pertama aku sampai ke Surau Taman Seri Penggaram, aku disapa mesra oleh jemaahnya. Kami berkenal-kenalan. Dalam masa yang singkat itu, aku ditawarkan untuk menyampaikan kuliah di Surau Taman Seri Penggaram. Tuan Haji Ali Ibrahim mempelawa aku berkuliah di surau tersebut. Aku memberanikan diriku untuk menyahut seruan itu. Aku menggunakan kitab Al-Kabair (Dosa-dosa besar).

Selepas kuliah pertamaku, aku diberi tawaran untuk terus berkuliah secara tetap mengikut jadual. Aku bersetuju. Dari surau inilah bermulanya karierku sebagai pengkuliah surau dan masjid. Terima kasih sahabat-sahabat Surau Taman Seri Penggaram.

Keterlibatanku dalam politik Islam secara rasmi bermula di Taman Seri Penggaram. Sahabat-sahabat seperjuangan di Taman Seri Penggaram meletakkan kepercayaan kepadaku untuk memimpin PAS Cawangan Taman Seri Penggaram. Aku menerimanya dengan berat hati. Ini ditambah lagi dengan pengalamanku yang cetek walaupun aku pernah memegang jawatan anggota mesyuarat harian di satu mantiqah semasa belajar di Jordan dahulu.

PAS Cawangan Taman Seri Penggaram adalah cawangan yang aktif. Ramai ahlinya komited, terutamanya dengan gerak kerja pilihan raya. Aku menjadi rujukan mereka walaupun aku masih baharu di situ.

Setelah beberapa tahun menjadi Ketua Cawangan di Taman Seri Penggaram, aku telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Cawangan-cawangan (MCC) DUN Penggaram dengan dibantu sahabat senior yang setia Mejar (B) Sirajuddin Abd Hakim. Perkenalan kami hanya beberapa tahun, Mejar (B) Sirajuddin telah dipanggil menemui Penciptanya.

Aku telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Batu Pahat atas cadangan Almarhum Mejar (B) Sirajuddin. Aku cuba membantu yang termampu. Aku lebih fokus kepada Urusan Ulamak dan Tarbiyah PAS Kawasan. Aku menjadi Timbalan Ketua Urusan Ulamak PAS Batu Pahat membantu Ustaz Mearaj Fatoni.

Tidak lama kami bersama, Allah telah mengambil Ust Mearaj. Maka aku secara automatik menjadi pemangku Ketua Urusan Ulamak PAS kawasan Batu Pahat yang ditinggalkan oleh Almarhum Ust Mearaj. Tugas berat yang perlu dipikul.

Sepanjang tempoh itu, aku mula mengenali satu nama yang dipanggil Sh Awwad. Setiap tahun apabila Ramadan dan Syawal menjelma, rumah Sh Awwad menjadi tempat perhimpunan pendokong PAS Batu Pahat khususnya DUN Penggaram. Kami berhimpun untuk mendengar taujihat dan amanat pimpinan yang biasanya akan disampaikan oleh Ustaz Mearaj. Dari situlah aku mula mengenali Sh Awwad walaupun kami belum akrab.

Perpecahan dalam PAS yang berlaku dalam tahun 2015 telah mengubah segalanya. Aku terpaksa memangku jawatan Yang DiPertua (YDP) PAS Batu Pahat kerana YDP dan Timbalannya telah keluar parti dan menyertai PAN.

Aku bersama majoriti ahli PAS Batu Pahat masih teguh setia bersama PAS. Sh Awwad juga antara sahabat lama yang teguh setia bersama PAS. Namun keadaannya yang selalu berkeuzuran menyebabkan kami jarang bertemu.

Pemilihan tahun 2017, aku telah diberikan tanggungjawab menjadi Yang DiPertua PAS Batu Pahat. Alhamdulillah ahli-ahli PAS Kawasan Batu Pahat sangat komited. Namun Sh Awwad masih uzur. Dalam keuzurannya Sh Awwad sentiasa menghubungiku melalui panggilan telefon atau WhatsApp jika ada perkara yang perlu disampaikan.

Beliau selalu mempelawaku untuk singgah di kediamannya, namun aku agak keberatan memandangkan beliau uzur. Aku risau kedatanganku akan menyusahkan beliau. Beberapa kali aku datang menziarahinya. Kali terakhir aku menziarahinya secara 4 mata dalam bulan Ramadan 1440H.

Walaupun beliau terlalu kepenatan kerana baharu sahaja balik dari dialisis, namun setelah diberitahu aku datang (sahabat-sahabat memanggilku dengan panggilan Ustaz Mad @ Ustaz Muhammad), beliau sanggup keluar dan melayani perbualan dalam tempoh yang agak lama.

Selepas itu, Sh Awwad sentiasa menghubungiku melalui WhatsApp dan kadang-kadang melalui panggilan telefon. Hampir setiap pagi Jumaat, beliau akan menghantarkan kepadaku ucapan salam, selawat dan doa. Aku yakin itu ikhlas daripada hatinya. Aku membalas juga dengan salam, selawat dan doa.

Namun beberapa minggu aku tidak menerima WhatsApp seperti kebiasaannya, rupa-rupa Sh Awwad sedang sakit teruk… sehingga diberitakan beliau kembali ke rahmatullah…

Pemergianmu hilanglah sebutir mutiara dalam keluarga PAS Kawasan Batu Pahat. Pemergianmu hilanglah seorang yang doanya dimakbulkan oleh Allah (dengan kesabaran dan ketabahanmu di atas ujian kesakitan).

Semoga dirimu tenang di dalam rahmat dan pengampunan Allah S.W.T wahai pejuang yang istiqamah Almarhum Sh Awwad Abd Karim bersama dengan pejuang-pejuang yang mendahuluimu.

Al-Faatihah.

Nukilan:
USTAZ MOHD RUSLAMI MOHD SALLEH
Yang DiPertua
PAS Kawasan Batu Pahat – HARAKAHDAILY 20/2/2020

- Advertisement -