Resah ‘bekas bakal PM8’

- Advertisement -

PORT DICKSON diharap memberi tuah. Setidak-tidaknya jangan mengulangi apa yang pernah berlaku pada 1997. Episod 1997 gagal membawa Anwar Ibrahim menduduki kerusi Perdana Menteri (PM).

Bermula di Permatang Pauh Anwar mendaki karier politik. Cepat sungguh pendakiannya ke puncak. Kalangan sahabat mengenalinya sebagai pak syeikh. Beliau mengasaskan Abim bersama-sama rakan-rakan.

Permatang Pauh hanya sekadar bawa Anwar menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri (TPM). Sejak bergelar YB, Anwar berkubu di Permatang Pauh.

Kemudian bertukar baton pula kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail. Pada PRU lepas anaknya Nurul Izzah meneruskan legasi Anwar di situ.

Tak salah kalau orang kampung sebut, Permatang Pauh menjadi gelanggang anak beranak. Anwar akhirnya tinggalkan Permatang Pauh.

- Advertisement -

Kali ini harapannya Port Dickson boleh menghangat semula cita-cita lamanya. Sejak Mei 2018 lagi jenuh dijaja Anwar bakal PM kelapan (PM8). Bersin pun mungkin keluar PM8. Namun impian itu tidak mudah.

Banyak faktor yang perlu diambil kira. Paling penting sokongan dalaman PKR sendiri. Namun apa yang berlaku sekarang PKR seperti pecah dua. Kata orang tidak solid.

Pernah diviral senarai berjela pemimpin PKR nekad hidup mati bersama Azmin Ali. Mereka bukan calang-calang orang. Sebahagian besar ahli-ahli parlimen PKR. Malah ada yang berjawatan menteri.

Apabila rumah tangga sendiri goyah, sokongan orang lain usah diharap. Silap haribulan berulang tragedi di Selangor 2014. Bukan sahaja Anwar gagal menggantikan Khalid Ibrahim, sebaliknya Dr Wan Azizah juga sekadar Adun biasa di Selangor.

Dr Wan Azizah menggantikan Anwar pada PRK Kajang. Ramai sebut 2014 eksperimen pemimpin terbabit mendekati Menteri Besar (MB) Selangor. Tiba-tiba Dr Mahathir pula sebut keputusan muktamad terletak di Dewan Rakyat. Semua terkejut.

“Saya jadi PM kerana sokongan daripada PH terutamanya majoriti ahli Dewan Rakyat,” ujar perdana menteri kepada media minggu lepas.

Lagipun Perkara 43(1) dan (2) memberi kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik ahli Dewan yang mendapat kepercayaan majoriti. Hujah serupa juga disebut pemimpin DAP, Dr Aziz Bari.

Berdasar kronologi itu, nampaknya PM8 masih samar. Ada yang dilanda debar sangat menjelang esok. Mesyuarat Majlis Presiden disebut menjadi penentu.

Paling tidak keruan AMK Selangor. Mereka menuntut supaya ditetapkan tarikh khusus peralihan kuasa PM. Apa pun ramai bimbang, yang dikejar tidak dapat yang dikendung berciciran.

M FAQIH – HARAKAHDAILY 20/2/2020

- Advertisement -