Penyatuan sebenar bila menjunjung amanah Allah

- Advertisement -

BATU: Melayu-Islam merupakan kaum majoriti di bumi bertuah ini, tetapi malangnya dominasi pemerintahan negara kini dipegang oleh bukan-Muslim yang tidak beriman kepada Allah S.W.T lantaran wujudnya perpecahan dalam kalangan umat.

- Advertisement -

Hinggakan keputusan PRU14 lalu telah memberi pengajaran yang menyedarkan terhadap akibat dari perpecahan tersebut, namun penyatuan kembali umat ini hanya akan dapat diadakan dengan sama-sama menjunjung amanah Allah S.W.T.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh mengingatkan pesanan tersebut ketika berucap pada Himpunan Wanita Muafakat Nasional (HWMUNA162) di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, di sini awal minggu ini.

Lantaran itu katanya, penyatuan hingga Piagam Muafakat Nasional dimeterai oleh Presiden PAS dan Umno pada 14 September tahun lalu adalah satu rahmat kurniaan Allah untuk disyukuri atas penyatuan hati yang membenarkan firman Allah.

Memetik ayat 63 surah al-Anfal, beliau mengimbas sejarah betapa permusuhan PAS dan Umno selama hampir 70 tahun menyebabkan saf umat Melayu-Islam berada dalam keadaan tidak tersusun, sebelum keduanya tersedar dan bangkit semula.

“Amanah kepimpinan yang dimaksudkan adalah amanah memimpin diri kita, ahli keluarga kita, masyarakat kita, bahkan memimpin negara dan dunia ini mengikut acuan dikehendaki Allah S.W.T.

“Dalam tempoh kurang 2 tahun ini juga, pelbagai perkara yang merisaukan kita, menyayat hati kita, merasa keluh kesah dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan yang ada hari ini,” ujar beliau.

Program ini dianjurkan menerusi kolaborasi Muslimat PAS dan Wanita Umno Wilayah Persekutuan sebagai sebahagian agenda Muafakat Nasional yang diisi zikir munajat dan ucapan pimpinan kedua-dua parti.

Antaranya Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya dan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Wanita Umno Wilayah Persekutuan, Dato’ Zurainah Musa.

Majlis dihadiri kira-kira 800 anggota dari kedua parti ini turut menampilkan pidato dari Muslimat PAS dan Wanita Umno yang menyentuh isu wanita, ekonomi, pendidikan, politik dan agama. – HARAKAHDAILY 20/2/2020

- Advertisement -