4 Hotel TH akan terlucut ke tangan bukan-Islam?

- Advertisement -

DATO’ Dr Mujahid Yusof menyebut bahawa Menteri yang bertanggungjawab di dalam proses memulihkan TH bukan Menteri Kewangan tetapi Menteri Hal Ehwal Agama di mana semua keputusan dasar dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengikut Akta Tabung Haji.

- Advertisement -

Persoalan sekarang bukanlah Menteri mana yang bertanggungjawab melucutkan hak milik 4 buah hotel milik TH kepada UJ, tetapi Menteri mana yang mempunyai penguasaan ke atas 4 buah hotel ini setelah ia diambil-alih oleh UJ, syarikat milik Kementerian Kewangan (MoF).

Kebetulannya, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah menyatakan, “Bila hotel dapat dijalankan dengan baik nanti, kita akan beri TH untuk sama ada dia nak balik ke tidak masa itu. Kalau waktu itu TH kata kami rindulah, nak balik semula dengan anak dia semula, ya, kita boleh berunding.”

Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan maka nyatalah bahawa yang akan berkuasa ke atas 4 buah hotel ini selepas ini bukanlah lagi Menteri Hal Ehwal Agama, tetapi adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali gus menimbulkan tanda tanya, boleh dipegangkah janji tidak bertulis beliau ini?

Pertama adalah, begitu senang sekalikah pemindahan 4 buah hotel ini dibuat kembali sedangkan pemindahan ini adalah urus niaga rasmi yang lengkap dengan perjanjian bertulisnya, di mana UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini?

Kedua adalah, kenyataan rasmi TH dan UJ memaklumkan bahawa langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada TH adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan.

Soalannya pula adalah, mana satu mandat yang didakwa telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan ini? Jika tujuannya adalah bagi mengurangkan komitmen kerajaan mengapa ia dipindahkan ke UJ, syarikat milik kerajaan, dan logikkah ia dipindahkan kembali ke kerajaan (TH)?

Jika benar tujuan pemindahan 4 buah hotel ini adalah bagi mengurangkan komitmen kerajaan, maka pastilah titik akhirnya adalah menuju kepada pihak swasta. Berasaskan perkiraan untung rugi dunia kapitalis apakah jaminan 4 buah hotel ini tidak akan terlepas ke tangan bukan Islam selepas ia diswastakan?

Jelas sekali 4 buah hotel ini bukan lagi menjadi milik umat Islam yang menabung dengan TH. Hasil yang bermula dengan modal mereka dalam keadaan untung pun dipindahkan kepada pemilikan kerajaan yang tentunya mewakili Muslim dan bukan Muslim sedangkan ia sepatutnya kekal menjadi milik Muslim kerana ia bermula dengan Muslim dan menjadi aset umat Islam dalam keadaan ia masih untung.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 20/2/2020

- Advertisement -