Tiada jaminan aset kekal milik Tabung Haji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bertindak membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira perasaan umat Islam.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan di sini semalam, Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata perkembangan terbaharu pindah milik empat hotel Tabung Haji (TH) ke Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) sebenarnya memberi kebimbangan besar kepada pendeposit TH.

“Tiada jaminan aset ini akan kekal menjadi hakmilik Tabung Haji sebagaimana apa yang telah pun berlaku kepada penjualan secara terancang dan besar-besaran Ladang Sawit Tabung Haji kepada pemilik baru yang bukan Islam pada bulan lepas.

“Formula jika rugi jual kepada bukan Islam amalan kerajaan PH sangat pelik dan mengapa? Adakah selepas itu ia akan untung! Atau orang bukan Islam suka beli perniagaan yang rugi? Amat mustahilkan formula ini,” kata Mohd Zai.

Beliau percaya kerajaan PH terlalu mengambil mudah tentang cara pengurusan kewangan dan perakaunan sesebuah aset yang mana jika rugi akan dijual dan serahkan kepada kerajaan melalui Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Katanya kes ini seperti penubuhan Dana Harta yang bertujuan untuk selamatkan bank daripada pinjaman yang gagal cuma perbezaan kes Tabung Haji melibatkan kepentingan strategik aset umat Islam.

“Sepatutnya pengurusan tertinggi Tabung Haji dan kerajaan PH mengemukakan pelan menyelamat, pengukuhan dan membuat keuntungan yang sewajarnya bersifat jangka panjang dengan meningkatkan kecekapan organisasi dan membuat jangkaan pendapatan operasi secara fokus dan menyeluruh.

“Tindakan menjual, memindah milik bukan penyelesaian yang bijak, kerana banyak pertimbangan penting dan menyeluruh perlu dibuat bagi kepentingan Tabung Haji dan para pendepositnya,” ulas Mohd Zai.

Beliau menyatakan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan terhadap perkembangan terbaharu pindah milik empat hotel milik TH ke UJ kerana disifatkannya seperti meruntuhkan empayar perniagaan dan aset strategik umat Islam sebagai pendeposit TH. – HARAKAHDAILY 19/2/2020

- Advertisement -