‘Tazking’: Mengaji sambil berhibur santai

- Advertisement -

TEBRAU: PAS Cawangan Taman Kota Masai 1 telah menghidup dan mengetengahkan konsep ‘Tazking’ iaitu gabungan tazkirah dan busking buat pertama kali di Balai Islam Tok Guru Nik Aziz (TGNA), Taman Kota Masai, di sini malam kelmarin.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Ulamak PAS Negeri Johor, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail menjelaskan, ruang lingkup PAS bukan hanya terhadap perihal politik, bahkan komited berkaitan pendidikan Islam kepada anak-anak.

Beliau juga selaku Yang Dipertua PAS Tebrau menegaskan, PAS tidak menolak hiburan, sebaliknya menyeru supaya menjadikan hiburan itu mampu membawa masyarakat kepada hakikat Allah S.W.T.

“Islam tidak menghalang umatnya berhibur dan berseni, namun ia perlu diselarikan menurut paksi dan panduan yang telah ditetapkan. Konsep gabungan seni dalam majlis ilmu tidak asing lagi dalam dunia dakwah.

“Ia merupakan penarik kepada manusia terutama anak muda untuk mendekati majlis-majlis ilmu,” ujar beliau pada program yang dianjurkan dengan kerjasama Lajnah Dakwah Ulamak PAS Johor ini.

Majlis sempena siri kuliah berkitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin ini telah diserikan dengan penampilan istimewa kumpulan Duat Buskers.

Kuliah bermula dengan kupasan berkaitan perkahwinan dalam Islam yang merupakan pemilihan terancang menerusi panduan digariskan memastikan lahirnya umat yang beriman kukuh, akhlak baik dan akal yang matang serta jiwa yang tenang.

Terang Ustaz Abdullah, peranan ibu bapa penting memastikan jodoh terbaik untuk anak-anak mereka kerana Rasullullah S.A.W menyeru anak muda yang mampu berkahwin agar mendirikan rumah tangga seberapa segera dan banyakkan berpuasa jika tiada kemampuan.

Panduan memilih pasangan dijelaskan beliau sebagaimana panduan Rasullullah dengan meneliti aspek keturunan, kecantikan, harta dan paling utama agamanya, kkerana dengan agama sahaja sesebuah keluarga itu dapat menuju redha Allah SWT untuk dikurniakan keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.

Kembara dakwah Duat Buskers yang ditubuhkan sejak 5 tahun lalu diketuai Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Ulamak PAS Johor, Ustaz Nazarudin Bacok ke DUN Tiram ini merupakan siri ketiga disamping menghidupkan suasana majlis ilmu dengan dendangan lagu-lagu Islamik.

Sempena program ini juga diadakan serahan 12 borang ahli baharu dari dua PAS Cawangan kepada Ustaz Abdullah Husin pada penutup ‘Tazking’ selain beliau turut mendendangkan lagu kegemarannya bertajuk Perjuangan yang dipopularkan oleh kumpukan nasyid Saff One. – HARAKAHDAILY 19/2/2020

- Advertisement -