Hotel TH: Menteri wajib beri penjelasan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menzahirkan rasa kebimbangan yang teramat selepas penularan berita mengenai penutupan 4 operasi TH Hotel, yang telah 7 tahun beroperasi dalam industri perhotelan dan hospitaliti, berkuatkuasa pada 1 April 2020.

Sebagai sebuah badan amanah untuk menguruskan rukun Islam ke-5, penutupan operasi hotel-hotel ini adalah satu lagi lambang ancaman dan kekecewaan setelah berbagai berita kedengaran, yang pastinya ‘tidak menyebelahi’ para pendeposit yang mengharapkan urusan rukun Islam mereka terlaksana sebaiknya.

Bermula dengan penjualan aset yang menjadi tanda tanya dengan sistem SPV, pengumuman dividen yang terendah dalam sejarah, diikuti pula dengan persoalan mengenai penarikan subsidi haji yang sehingga kini masih tiada kata putus, dan kini, 4 operasi hotel pula akan dihentikan tidak lama lagi. Maka apa lagi alasan yang akan diumumkan kerajaan atas kelemahan pentadbiran anda sendiri?

- Advertisement -

Pemuda PAS mendesak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa untuk bertanggungjawab, dan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berkenaan penutupan operasi hotel ini. Ini adalah soal kepentingan awam, terutama sekali hotel-hotel ini adalah harta yang melibatkan aset umat Islam yang mencarum dalam Tabung Haji (TH). Jangan berlepas tangan, jangan jadi penakut dan turun berikan penjelasan kepada rakyat secara berdepan!

Sekiranya Menteri gagal memberi penjelasan yang tuntas dalam isu ini, Pemuda PAS mendesak agar ditubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat apa masalah yang berlaku dalam pengurusan TH, seperti yang disarankan Muafakat Nasional. Ini bagi memastikan tidak berlakunya sebarang skandal, penyelewengan atau salah laku melibatkan pengurusan TH, khususnya berkenaan penjualan aset-aset tersebut.

Di samping itu, Pemuda PAS juga menyarankan agar diwujudkan suatu pelan pemulihan yang lebih holistik dari sudut strategi pemasaran, pentadbiran dan penyusunan semula pelan bisnes operasi hotel-hotel. Kita harus melihat keutamaan kepada perolehan manfaat dan pulangan dari aset-aset tersebut, berbanding dengan mengambil jalan selamat menutup operasi hotel ini yang menghilangkan terus peluang mendapat keuntungan.

Pemuda PAS ingin mengingatkan kerajaan agar jangan bersikap sambil lewa dalam menguruskan aset yang memberi kepentingan kepada umat Islam di Malaysia. Jika kerajaan terus bersikap sambil lewa, kepercayaan umat Islam akan mula muak dan pudar, serta akan menyebabkan rakyat hilang percaya pada kerajaan hari ini. Pemuda PAS akan terus bersuara dan menegur kerajaan, dalam mempertahankan kepentingan umat Islam di Malaysia.

YB UST AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 19/2/2020

- Advertisement -