PASRelief laksana Misi Kemanusiaan Rohingya Ke-16

- Advertisement -

KEDATANGAN terakhir PASRelief ke sini adalah pada Januari tahun lepas menguruskan pembinaan dan operasi Madrasah Norazli Musa di samping 35 sekolah dan madrasah yang sedia ada.

Misi ke kem pelarian Kutupalong dan Balukhali di Cox’s Bazaar serta di Arakan Myanmar adalah ketika Aidiladha pada Julai-Ogos tahun lalu, tapi tanpa kehadiran, hanya mengirim sumbangan peserta Korban dan Akikah dan derma orang ramai melalui rangkaian PASRelief di sini dan di Arakan.

Alhamdulillah, rakan-rakan yang menjadi rangkaian PASRelief kekal istiqamah menguruskan madrasah, sekolah dan menguruskan kebajikan pelarian Muslim Rohingya dengan sumbangan berterusan PASRelief dan beberapa NGO lain dari beberapa negara.

CHA (Coorporation For Humanitarian Activities) NGO tempatan ditubuhkan oleh bekas-bekas pimpinan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Chittagong yang pernah memimpin Pertubuhan Mahasiswa Rohingya-Ittihad Tullab Muslimin Arakan (ITM).

Selain menjadi rakan kerjasama PASRelief sejak 2017, mereka merantau ke beberapa negara, mengadakan kerjasama dengan beberapa pertubuhan, mencari dana bagi membiayai aktiviti kebajikan dan pendidikan di kem pelarian Muslim Rohingya di Cox’s Bazaar dan Arakan. CHA kini dipimpin oleh Brother Salim Ullah sebagai Pengarah.

Misi 16-19 Febuari 2020 ini hanya disertai dua wakil PASRelief, saya (Pengerusi) dan YB Ust Mohd Yusni Mat Piah (Pengarah).

Misi kali ini adalah membiayai gaji bulanan guru-guru sekolah dan madrasah PASRelief seramai 42 orang, selama 6 bulan melibatkan peruntukan RM75,600.00. Sekolah-sekolah PASRelief dan beberapa NGO lain yang sedang diuruskan oleh CHA sedang mendidik lebih 5000 pelajar anak-anak pelarian. Antara sekolah tersebut adalah Madrasah Ustaz Norazli Musa dan Madrasah Darul Iman sumbangan PAS Terengganu.

PASRelief juga memulakan program baru iaitu membiayai 50 anak yatim yang menumpang di khemah milik saudara mara, rakan keluarga atau jiran lama di Arakan selama 3 bulan. Buat permulaan sumbangan RM100 sebulan untuk mereka dan keluarga yang mereka menumpang. Dana awal RM15,000 diserahkan kepada CHA untuk program ini. CHA sedang menyara 200 anak yatim sejak beberapa tahun lalu.

Program ini akan diteruskan untuk lebih ramai anak yatim selagi dana orang ramai terus mengalir ke Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PASRelief (Maybank 5640 7061 1352 atau 5640 7061 2333).

Jumlah anak yatim piatu yang direkodkan di Kem Kutupalong dan Balukhali sahaja sekitar 21,000 orang. Anak yatim yang hanya mempunyai ibu dan adik-beradik lain jauh lebih ramai daripada itu. Semuanya bersesak di kem pelarian seluas 733 hektar – kem pelarian terbesar di dunia.

60 peratus daripada lebih sejuta penghuni kem pelarian di sini adalah kanak-kanak. Masa depan mereka adalah masa depan kita. Pendidikan adalah penawar paling mujarab bagi derita Muslim Rohingya sejak dipadam daripada peta kemanusiaan yang dimulakan penjajah sebelum tahun 1948.

Esok kami akan memasuki kem untuk bertemu anak-anak yatim, meninjau sekolah-sekolah dan membayar gaji guru-guru.

Orang ramai boleh terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 7061 2333 PASRelief atau 5640 7061 1352 Tabung Kemanusiaan Antarabangsa dan sebarang pertanyaan hubungi 019-6520000 (Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah).

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi PASRelief
Cox’ Bazaar, Bangladesh – HARAKAHDAILY 18/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -