Usah selesa dengan penghakiman ‘bin Abdullah’

- Advertisement -

SAYA bersyukur dan merasa lega sekali dengan keputusan majoriti 4-3 yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, yang telah mengiktiraf institusi fatwa dalam kes membabitkan anak tak sah taraf yang mahu di’bin’kan dengan nama bapa biologinya.

- Advertisement -

Keputusan ini melalui undi yang sengit daripada panel 7 orang hakim yang bersidang.

Keputusan ini sekaligus dapat mendiamkan hujah kelompok anti-syariah yang mendakwa bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah institusi sekular yang tidak boleh merujuk kepada hukum Syariah dalam pentadbirannya.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa JPN tidak boleh merujuk kepada fatwa negeri dalam membuat pendirian mengenai penama bapa kepada anak tidak sah taraf.

Walaupun begitu, umat Islam tidak boleh merasa selesa dengan keputusan kes yang menyebelahi undang-undang Islam pada masa ini.

Hal ini kerana kelompok liberal tidak akan berdiam diri dan akan berterusan mencabar kes-kes yang berkait dengan undang-undang Syariah di Mahkamah Sivil.

Buktinya, usai sahaja penghakiman kes ‘bin Abdullah’ diumumkan, Sisters in Islam (SIS) telah memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan enakmen negeri Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri untuk mengkaji semula fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri.

Permohonan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang menolak permohonan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyatakan NGO itu sebagai sesat kerana Mahkamah Syariah Selangor mempunyai kuasa untuk menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Oleh itu, saya menggesa agar agensi agama negeri untuk menggazetkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing memandangkan bidangkuasa berkaitan Islam adalah di bawah kuasa negeri.

Dewan Undangan Negeri juga mesti mengambil tindakan proaktif meminda undang-undang bagi menjamin kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar semakan kehakiman dalam kes-kes membabitkan undang-undang Syariah bagi negeri-negeri yang masih belum berbuat demikian.

Semua pihak mesti terus konsisten memainkan peranan bagi mengukuhkan kedudukan undang-undang Islam di Malaysia mengikut posisi dan kemampuan masing-masing.

Tiada jaminan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mungkin bertukar posisi sebagai mana yang terjadi dalam isu penukaran agama anak secara sepihak.

Dalam isu ini, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi yang menetapkan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum penukaran agama anak telah berbeza pandangan dan menukar pendirian  daripada mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 17/2/2020

- Advertisement -