Sihat dan kuat: Pilihan di tangan kita 

- Advertisement -

SETIAP hari semakin bertambah jumlah pesakit COVID-19. Memandangkan wabak ini semakin tersebar, adalah sangat penting bagi setiap daripada kita meningkatkan daya ketahanan diri. Salah satu caranya ialah dengan mengamalkan pemakanan sihat bagi memastikan sistem ketahanan (immune system) badan kita kuat. 

Sistem ketahanan badan

Sistem ketahanan badan kita merupakan suatu sistem yang sangat menakjubkan. Setiap kali kita bernafas, menjamah makanan dan melakukan pelbagai aktiviti harian, kita terdedah kepada jutaan jenis makhluk bersaiz halus yang terdiri daripada virus, bakteria, kulat dan sebagainya. Namun, Maha Suci Allah melengkapkan kita dengan suatu sistem yang sangat sempurna bagi membezakan antara komponen merbahaya (contohnya agen penyakit) dan komponen yang tidak merbahaya (contohnya makanan) yang memasuki badan kita. 

Sistem ketahanan badan dibahagikan kepada dua peringkat:

(1) Berbentuk tidak-khusus (non-specific)

Ia termasuk kulit, rembesan kulit dan rongga serta rerambut yang menghalang kemasukan agen merbahaya, contohnya jangkitan. Pelbagai jenis sitokin (cytokines), komplemen (complements) dan sel-sel darah putih, gigih memusnahkan agen-agen jangkitan yang berjaya menceroboh masuk ke dalam badan kita. 

(2) Berbentuk khusus (specific)

Jika perlindungan tidak khusus gagal memusnahkan agen jangkitan, sistem ketahanan berbentuk khusus yang terdiri daripada sel B dan T akan diaktifkan. Sistem ini mengambil masa lebih lama untuk terhasil setelah pencerobohan berlaku. Bagaimanapun, pendedahan awal kepada agen jangkitan sama ada melalui jangkitan masa lampau ataupun vaksin, boleh mempercepatkan proses ini. Ini adalah kerana, sistem ketahanan khusus berupaya menghasilkan sel ingatan (memory cells) bagi menyimpan maklumat agen jangkitan yang pernah menyerang badan kita. Dengan itu, badan kita sentiasa dalam keadaan berjaga jika serangan yang sama berulang lagi. 

Amalan pemakanan untuk memelihara sistem ketahanan badan

Adalah menjadi kewajipan setiap daripada kita untuk memelihara sistem ketahanan badan yang dianugerahkan Allah. Sistem ini memerlukan tenaga yang cukup, bagi berfungsi dengan baik. Tenaga ini terhasil dari pemakanan yang sihat. Pengambilan ikan, ayam, daging, telur dan kekacang membekalkan kita dengan zat-zat penting untuk sistem ketahanan badan berfungsi. Begitu juga dengan buah-buahan dan sayuran atau ulaman yang kaya dengan vitamin dan serat. Pengambilan serat yang cukup sangat penting bagi memelihara kesihatan persekitaran usus kita di mana berkumpulnya majoriti sel-sel ketahanan badan (GALT). Ambil sekurang-kurangnya 5 sehingga 7 bahagian pelbagai jenis buah dan sayuran atau ulaman setiap hari (sebiji pisang bersaiz sederhana bersamaan 1 bahagian). Sebagaimana dengan sumber protein, ambil karbohidrat dan produk tenusu dalam kuantiti yang sederhana. Minum air dengan cukup (lebih dari satu liter sehari) dan elak atau kurangkan minuman bergula atau ditambah pemanis. 

Rasulullah S.A.W telah mendidik kita dengan hadith-hadith berkaitan adab makan termasuk tidak berlebihan dalam mengambil kuantiti makanan. Pengambilan makanan yang seimbang dan mengamalkan cara hidup sihat InsyaAllah membantu kita untuk kekal kuat melawan jangkitan. Selain daripada itu, berpuasa sunat mingguan, Isnin dan Khamis juga pasti ada hikmahnya kepada sistem ketahanan badan kita. Hendak tahu apakah hikmahnya? Cubalah amalkan.

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective Virologist
Alderley Park, United Kingdom

Rujukan utama:
WHO – Situation report 26
Childs CE et al., 2019, Nutrients, 11, 1933.
Beisel WR, 1996, Am. Inst. Nutr. 2611S 

Jabatan MusMedik
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 17/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -