Kontrak PDRM, Motorola Solutions dan Israel

- Advertisement -

EKORAN pendedahan senarai 112 syarikat yang terbabit dengan aktiviti penempatan haram Israel oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lepas, antara syarikat yang dinamakan ialah Motorola Solutions. Justeru, saya ingin mendapatkan penjelasan, adakah Kementerian Kewangan telah meluluskan satu perolehan secara rundingan terus kontrak perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan RMPNet (Sistem Royal Malaysia Police Net) PDRM kepada syarikat Motorola Solutions pada tahun 2019 selama satu tahun?

- Advertisement -

Saya juga difahamkan, tempoh kontrak tersebut akan tamat dan satu rundingan untuk penyambungan kontrak bagi menaik taraf dan menyelenggara sistem selama lima tahun bernilai lebih RM500 juta sedang berlangsung. Adakah kontrak tersebut juga akan dijalankan secara rundingan terus dengan syarikat Motorola Solutions yang telah disenaraikan sebagai salah sebuah syarikat yang giat membantu penempatan haram Israel di Palestin? Jika benar, saya membantah sekeras-kerasnya pemberian kontrak yang melibatkan komunikasi keselamatan negara dengan sebuah syarikat yang telah disenaraikan oleh PBB terlibat aktif membantu Israel.

Tindakan ini tidak selari sama sekali dengan pendirian Kerajaan Persekutuan dengan perkembangan politik di Palestin. Pertama, Malaysia telah membantah penempatan semula Kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis. Kedua, Malaysia menerusi Pejabat Perdana Menteri telah mengutuk keputusan Presiden Amerika yang tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram. Ketiga, Wisma Putra juga menolak keras pelan damai Deal of the Century yang diutarakan oleh Presiden Amerika Syarikat beberapa minggu lalu.

Oleh itu, saya minta supaya semua proses penyambungan kontrak pembekalan dan penyelenggaraan sistem komunikasi PDRM dengan Motorola Solutions atau mana-mana syarikat yang berkaitan dengannya dihentikan serta merta. Ia melibatkan dasar kerajaan, keselamatan negara dan maruah umat Islam Palestin dan seluruh dunia.  

Sekian, terima kasih.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa 
23 Jamadil Akhir 1441 | 17 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 17/2/2020

- Advertisement -