Sekularisasi kekuasaan punca Barat nampak LGBT ‘baik’

- Advertisement -

BARU-baru ini dalam kelas pertama Psikoterapi Islam, ibu dosen ada cerita satu bab best. Dia cerita mengenai politik ilmu pengetahuan. Terkedu sekejap. Tak pernah dengar sebelum ini. Adalah sikit catatan yang boleh dikongsi. Tulisan ini agak panjang. Baca pagi-pagi sedap sikit. Huhu.

Dengan rujukan-rujukan yang ibu dosen sebutkan dapatlah baca sedikit betapa dalam ilmu pengetahuan pun ada kait dengan politik (bahasa mudah ibu sebut, politik itu seni menguasai). Antaranya, kita boleh jumpa dari sejarah pengiktirafan ‘homoseksual’.

Ceritanya begini, pada tahun 1973, American Psychiatric Association (APA) mereka ini hapuskan diagnosis yang berkait dengan ‘Homoseksual’ daripada Diagnostic and Statistical Manual (DSM) edisi kedua. Buku ini kira rujukan utama dalam nak mengklasifikasikan penyakit-penyakit yang berkait dengan mental seterusnya panduan pengubatan dan tentulah ada kajian terhadap penyakit-penyakit yang disenaraikan. Boleh jumpa dekat Google.

Melalui sejarah moden, mula dari keluaran edisi pertama DSM kita boleh perhatikan bagaimana homoseksual hari ini diiktiraf sebagai bukan salah satu dari penyakit mental atau mental disorder. Pelik mulanya.

Dalam satu artikel Behavioral Sciences tulisan Jack Drescher, Out of DSM: Depathologizing Homosexuality menceritakan apa yang berlaku ketika keputusan 1973 ini dibuat setelah perdebatan teori berlaku ketika itu. Secara umumnya kita boleh bahagikan tipologi teori ini kepada 3 iaitu: Pathology, Immaturity dan Normal Variation.

Teori Pathology

Teori ini menyebutkan bahawa homoseksual merupakan satu penyakit (disease) dan sebuah keadaan yang menyimpang dari ‘normal’. Bagi pesakit yang menghidapnya harus berubat dengan pusat kesihatan mental yang profesional.

Teori ini mengatakan bahawa homoseksual mempunyai sedikit kecacatan dalaman atau luaran yang boleh mendatangkan mudarat sama ada sebelum didiagnosis mahupun selepas didiagnosis sekiranya tidak segera mencari penyembuhan. (Misalnya, ia boleh terdedah kepada intrauterine hormonal exposure, excessive mothering, inadequate atau hostile fathering dan sexual abuse dan lain-lain).

Teori ini melihat homoseksual sebagai satu tanda kecacatan, mahupun dari kaca mata moral ketika itu ia dilihat tidak baik. Mereka lebih gemar menyebutkannya ‘Social Evil’.

Bahkan mereka tampilkan hujah Edmund Bergler, seorang Psikiatri dan Psikoanalisis dalam bukunya yang menyatakan penelitian terhadap golongan ini;

“Homoseksual pada dasarnya adalah orang yang sukar menerima pendapat orang lain, tidak ambil berat mengenai cara mereka menyenangkan orang atau tidak menyenangkan orang. Mereka menutupi diri mereka dengan pemikiran sentiasa merasa betul, pendapat mereka lebih baik dari orang lain, suka acah-acah mengugut dan suka merengek. Seperti seorang Masochist, mereka tunduk apabila berhadapan dengan orang lebih kuat, tiada belas kasihan ketika dapat kuasa dan suka menindas orang yang lebih lemah darinya.”

*Bergler, E. Homosexuality: Disease or Way of Life; Hill & Wang: New York, NY, USA, 1956.

Teori Immaturity


Kedua, teori Immaturity. Bagi pemegang teori ini berpendapat homoseksual merupakan salah satu dari tabiat biasa dalam Psikoanalitik. Sifat homoseksual pada umur yang muda adalah salah satu fasa ke arah perkembangan heterosexual dewasa. Walau bagaimanapun, mereka tetap berpendapat homoseksual dewasa merupakan pertumbuhan yang tidak stabil.

Namun kelompok ini tidak memandang homoseksual ini seburuk teori pertama yang menggelar ia sebagai psikopatologi.

Teori Normal Variation

Teori ini mengangkat homoseksual sebagai fenomena yang berlaku secara semula jadi. Bagi pendukung teori ini biasanya menganggap homoseksual sebagai orang yang dilahirkan berbeza (kelompok minoriti, seperti orang yang kidal).

Mereka, berpegang dengan budaya kontemporari dan moden kononnya percaya bahawa manusia yang dilahirkan gay adalah salah satu dari variasi teori yang normal. Oleh kerana teori ini menyamakan normal dengan semula jadi, mereka mendefinisikan homoseksual sebagai baik (atau pada baseline neutral) maka, tidak layak disenaraikan dalam manual diagnostik psikiatri.

Sejarahnya

Dalam sejarah awal Barat, moral mereka memandang homoseksual sebagai perkara yang ‘tidak baik’. Namun, mula pada abad ke-19 budaya Barat telah mengalami Sekularisasi kekuasaan. Ketika ini, perkara yang sebelumnya dianggap salah telah mendapat pengawasan dari undang-undang dan aktivis hak asasi manusia.

Antara yang paling awal mengkritik Undang-undang German yang melarang hubungan sesama jantina dan memperjuangkan hak gay ketika itu, Karl Heinrich Ulrichs menyatakan hipotesisnya bahawa, boleh jadi golongan gay ini sebenarnya dilahirkan dengan jiwa wanita yang terperangkap dalam badan lelaki dan lelaki-lelaki ini diberi nama jantina baharu iaitu ‘Urnings’ manakala perempuan yang Lesbian pula digelar ‘Urningin’ (lelaki yang terperangkap dalam badan wanita.

Richard von Kraft-Ebing, seorang psikiatri German, dia yang awal memperkenalkan teori Pathology. Menyatakan Homoseksual itu satu penyakit. Beliau antara yang terawal memperkenalkan istilah ‘Homoseksual’ dalam perubatan dan saintifik dengan pandangannya bahawa ia salah satu gangguan psikiatri.

Setelah mengalami perdebatan ilmiah yang agak lama. Pertengahan abad ke-20 psikiatri Amerika amat terkesan dengan perspektif teori-teori ini akhirnya tahun 1952, APA pertama kali menerbitkan edisi pertama Diagnostic and Statistical Manual (DSM-I) ia menyenaraikan semua keadaan penyakit yang diiktiraf sebagai gangguan jiwa (Sociopathic Personality Disturbance). Manakala DSM-II diterbitkan pada 1968, mengkelaskan homoseksualiti sebagai ‘Sexual Deviation’.

APA 1973

Dalam masa American Psychiatry mencari pengubatan dan penyelesaian kepada penyakit homoseksualiti, tetapi sebaliknya yang berlaku kepada golongan aktivis gay. Mereka menolak model Pathology. Mereka inilah yang kemudian membawa teori baru kepada APA.

Demonstrasi Stonewalk riots 1969 di New York, mereka membawa gagasan bahawa teori psikiatrik membawa kepada stigma sosial iaitu anti-homoseksual, mereka kemudian terus mengganggu mesyuarat tahunan APA 1970 dan 1971 agar melihat gagasan mereka.

Akhirnya, protes aktivis gay berjaya mendapatkan perhatian APA malah, mereka juga dapat membawa wakil mereka ke dalam mesyuarat tahunan APA. Sedangkan mereka bukanlah ahli dalam bidang ini dan perkara ini tidak pernah berlaku sebelumnya.

Tajuk pertama yang dibawa ketika 1971, ‘Gay is Good’ gay adalah baik. Diwakili oleh aktivis gay, Frank Kameny dan Barbara Gittings. Kemudian mereka kembali lagi dalam mesyuarat, pada tahun 1972 kali ini disertai John Fryer, M.D Fryer muncul menyamarkan diri sebagai Dr.H Anonymous. Dia merupakan seorang ‘Psikiatris Homoseksual’ yang takut menunjukkan belangnya ketika itu, dia menyorokkan identiti sebenar dari hadirin ketika itu kemudian bercakap mengenai diskriminasi psikiatri Gay yang dihadapi dalam profesionnya sendiri.

Semasa protes berlaku, APA membuat perbincangan dalaman untuk mempertimbangkan permintaan mereka. Ini termasuk simposium pada Mesyuarat Agung Tahunan APA 1973, di mana para peserta memihak kepada tuntutan homoseksual.

Robert Spritzer, yang mempengerusikan satu jawatankuasa kecil badan pengkaji APA membuat kesimpulan, “Kecuali homoseksual dan mungkin beberapa penyimpangan sex yang lain, mereka semua secara kerap menyebabkan kesusahan subjektif atau dikaitkan dengan kemerosotan umum dan keberkesanan sosial fungsi.” katanya.

Setelah mendapatkan takrif baharu terhadap gangguan mental ini, jawatankuasa badan pengkaji APA akhirnya bersetuju bahawa homoseksual dihilangkan dari senarai penyakit mental.

Keputusannya, pada Disember 1973 APA’s Board Trustees (BOT) mengundi untuk mengeluarkan homoseksualiti dari DSM.

Bantahan ahli Psikoanalisis


Walaupun homoseksualiti berjaya dikeluarkan dari DSM, keputusan itu mendapat bantahan dari kumpulan psikiatri yang merupakan komuniti psikoanalisis.

Mereka menghantar petisyen untuk APA mengadakan satu referendum yang meminta seluruh anggota untuk mengundi sama ada untuk menyokong atau menentang keputusan BOT.

Keputusan undian untuk menyokong kumpulan homoseksual telah mendapat undian 58 peratus daripada 10,000 ahli undi.

Setelah kekalahan tersebut. Akibatnya, perdebatan mengenai homoseksual secara perlahan-lahan beralih dari bidang kajian perubatan dan psikiatri ke alam moral dan politik sebagai salah satu unsur keagamaan, kerajaan, ketenteraan, media dan pendidikan dan akhirnya dilucutkan dari rasionalisasi saintifik.

Begitulah sejarahnya. Perhatikan bagaimana subjektif manusia pula yang menjadi penapis kebenaran sesuatu ilmu. Walaupun mereka menukar sesuatu moral, hakikatnya yang salah tetap salah.

Inilah cabaran kita. Kebatilan hari ini, boleh dilihat benar sekiranya dipublikasi atas nama ilmu pengetahuan. Itulah kekurangan kita. Kurang penyebaran ilmu yang hak.

Ibu Dosen sangat tekankan satu pesanan dia, “Orang Islam kena pandai ilmu metod penelitian, walaupun ada ilmunya tapi kalau tidak disesuaikan jaringannya, tidak dibuat penelitian, tidak mengkaji, maka tidak akan ke mana. Sedangkan kita ada filter kita, iaitu al-Quran dan Sunnah!”

Allahumma faqqihna fiddin. Moga-moga Allah bagi kefahaman pada umat Islam.

AINNUR UKHTA UWAIS
15 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 15/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -