RUU355 ditentang pihak yang bimbang keadilan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadilan Islam sangat menakutkan bagi pihak yang menentangnya kerana sedar akan pengaruh agama ini kepada umat manusia, demikian intipati dikemukakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Beliau mengupas hal tersebut dalam ucaptama dan pembentangan ‘Sunnah Pengutusan Rasul dan Sejarah Kemasukan Islam ke Alam Melayu‘ pada Multaqa Dakwah Nusantara di Puri Pujangga Hotel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, sebentar tadi.

Jelasnya, sebagaimana pernah ditulis oleh Orientalis Belanda, Snouck Hurgronje semasa menyamar memeluk Islam, mereka yakni golongan memusuhi Islam tidak bimbang kepada ulamak-ulamak atas usaha berdakwah mengenai sembahyang, puasa, zakat dan haji.

Tetapi kata Tuan Guru, golongan tersebut amat bimbang apabila Islam membicarakan mengenai syariat dan pemerintahan kerana akan menyerlah keadilan agama ini secara praktikal ke atas manusia seluruhnya.

Beliau mengemukakan contoh ‘pengalaman’ pernah dilalui PAS semasa mengemukakan RUU355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) untuk dipinda di Dewan Rakyat di mana berdepan tentangan daripada pihak-pihak tertentu.

Sedangkan jelasnya, pindaan tersebut hanya melibatkan takzir sahaja, belumpun hudud dan qisas, tetapi mereka menentang kerana bimbang hukuman Islam dilaksana itu lebih adil berbanding hukuman sivil yang menyiksa.

Bahkan terang beliau, hukuman tersebut boleh diberi sebagai pilihan kepada orang bukan-Islam selain hukuman sivil yang disedari mereka hanya bersifat memalukan bagi sebatan dan terpisah dari keluarga apabila dipenjarakan.

“Kalau ulamak bercakap tentang Islam yang memerintah, ini (dianggap) bahaya, (kerana mereka) takut kepada keadilan Islam. Rahsia Islam berkembang dengan praktikal diamalkan ajarannya,” ujarnya mengulang penegasan mengenai rahsia Islam diterima disebalik cabaran tersebut.

Bahkan menurut beliau, walaupun terdapat banyak agama melalui Jalan Sutera, namun Islam turut berkembang juga di Asia Tengah, bahkan Islam tidak sampai ke Nusantara sekadar hubungan perdagangan, tetapi hampir seluruh penduduknya menganut Islam.

Tuan Guru mengajak para peserta multaqa dari pelbagai negara Nusantara ini khususnya generasi hari ini bermuhasabah kepada sebab usaha dakwah dilakukan hari ini sukar untuk mengislamkan walaupun hanya 1,000 orang.

“Nak dapat 1,000 orang payah, mengapa? Kerana memerlukan praktikal Islam secara amali, Islam memimpin, bukan sahaja bercakap dan berdakwah (sahaja),” ujarnya merangsang semangat. – HARAKAHDAILY 15/2/2020

- Advertisement -