Rahsia dakwah Islam tersebar ke pelusuk dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan manusia dalam kalangan Nabi dan Rasul selaku imam adalah untuk menegakkan keadilan dengan Islam menerusi pelaksanaan syariat secara betul, tepat dan bijak sebagai kewajiban ditetapkan Allah S.W.T.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, itulah maudhu’ dakwah Rasul-rasul A.S merangkumi Islam dengan makna ad-Din yang sempurna, lengkap dan cukup untuk disebarkan di atas muka bumi ke atas manusia.

Beliau mengupas hal tersebut pada ucaptama dan pembentangan kertas kerja ‘Sunnah Pengutusan Rasul dan Sejarah Kemasukan Islam ke Alam Melayu’ pada Multaqa Dakwah Nusantara diPuri Pujangga Hotel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, sebentar tadi.

Menurut beliau, para Nabi dan Rasul selaku pendakwah dihantar sebagai imam bagi satu kaum, tempat dan zaman tertentu sahaja, tetapi Nabi Muhammad S.A.W selaku pemimpin akhir zaman membawa syariat untuk semua umat manusia dan tempat.

Malah para Nabi dan Rasul itu katanya, diberikan kitab hinggakan mereka yang mengkaji perbandingan agama termasuk juga dari kitab Weda agama Hindu dan lain-lain mengakui kerasulan Nabi Muhammad, melainkan golongan terus degil tidak mahu menerima.

“Maka kerasulan Nabi Muhammad untuk seluruh alam termasuk Nusantara, termasuk Alam Melayu ini. Maka tidak menjadi pelik kalau Islam dibawa ke Alam Melayu ini. Disaksikan oleh sejarah, Islam berkembang tidak sampai satu abad, 100 tahun, ke sebahagian besar Benua Asia, sebahagian Eropah di Selatan Eropah, dan Utara Afrika.

“Sehingga wilayahnya di zaman keemasan, di sebelah Timur Nusantara sampai ke negeri China, Xinjiang. Di Baratnya Pantai Barat Afrika, Sepanyol. Di Utaranya Asia Tengah termasuk Moscow. Di Selatannya Afrika Tengah. Itu wilayah Islam.

Nusantara ini merangkumi Sumatera, Utara Filipina. Manila itu (berasal dari) perkataan Amanullah. Islam datang ke situ, tidak sampai satu abad, tak sampai 100 tahun,” ujarnya bercerita kehebatan pesat perkembangan Islam.

Jelas beliau, para pengkaji mendedahkan, rahsia kejayaan Islam itu lantaran empat perkara tonggak dalam dakwahnya, secara praktikal yakni dua perkara prinsip dan dua perkara konsep iaitulah akidah; beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta takwa dan adil.

Empat perkara ini terangnya, menyebabkan Islam berkembang dengan luas di mana beriman kepada Allah menjadikan Islam yang memerintah dan berdaulat, tanpa ada siapa boleh mengatasi undang-undang Allah termasuk Raja juga dihukum apabila bersalah.

Prinsip dan konsep tersebut ujarnya, turut pernah diakui Maharaja China hingga berlakunya hubungan diplomatik negara tersebut dengan pemerintahan Kerajaan Islam Parsi semasa berada di zaman Khalifah Umar Al-Khattab R.A.

Malah katanya, bekas Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru juga walaupun penganut Hindu Sekular, tetapi pernah menulis termasuk dalam Discovery of India mengenai kehebatan serta jasa Islam menerusi Tamadun dan Benua Islam yang wariskan.

“Kerana beriman kepada Allah, beriman kepada Hari Akhirat, seorang ketua negara, pemimpin, pegawai, tak boleh menipu, tak boleh menggunakan pengaruhnya, mengikut ajaran Islam. Kalau dia selamat di dunia, ada hukum di akhirat lepas mati.

“Menyebabkan tak berani kalau ada akidah dalam dirinya. Ini rahsia kejayaan Islam,” ujarnya menjelaskan betapa takwa tidak mengajar kemuliaan kerana keturunan atau bangsa itu, bahkan Allah boleh menukar satu-satu kaum bersilih ganti.

Beliau mengutarakan amalan biasa di dalam politik dengan ideologi tertentu yang tidak melantik pihak berlainan ideologi darinya, namun Islam apabila memerintah memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengira ideologi anutan individu. – HARAKAHDAILY 15/2/2020

- Advertisement -