Penting miliki ‘uslub dakwah’ agar tercapai ‘Maqasid Syariah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Para pendakwah mesti memiliki uslub dalam melaksanakan ijtihad agama agar Islam dapat disampaikan dengan baik dan diterima oleh mad’u, demikian seru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Perkara itu dinyatakannya dalam ucaptama dan pembentangan ‘Sunnah Pengutusan Rasul dan Sejarah Kemasukan Islam ke Alam Melayu’ pada Multaqa Dakwah Nusantara di Puri Pujangga Hotel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, sebentar tadi.

Beliau mengemukakan kepentingan tersebut adalah untuk mencapai Maqasid Syariah dalam meninggikan keutamaan ad-Din hingga manusia menerima untuk masuk Islam, sekali gus meranapkan keyakinan selain daripada agama ini.

Antara dibentangnya adalah kebijaksanaan pendakwah dari mazhab Syafie menerima penganut Hindu dan Buddha dalam kemajmukan di Nusantara sebagai ahli Zimmah atas realiti di rantau ini, sedangkan fekah Syafie tidak menerima selain Kristian, Yahudi dan Nasrani.

Bandingnya juga, uslub berdasarkan pandangan Imam Haramain tidak membenarkan orang bukan-Islam menjadi Wazir atau Menteri, tetapi Imam al-Mawardi dalam Ahkam Sulthaniyah membenarkan orang bukan-Islam jadi Wazirul Tanfiz dan bukannya Wazirul Tafwid.

Beliau menyeru supaya di pondok atau pasantren pengajian supaya tidak hanya diajar kitab-kitab fekah, tetapi juga kitab sejarah, termasuk sejarah para ulamak dan mengenai umat Islam setempat agar difahami uslub dakwah mereka.

Memetik kisah perutusan Muadz bin Jabal R.A oleh Rasulullah S.A.W yang menggunakan ijtihad dalam menangani penduduk setempat, Tuan Guru menasihatkan para pendakwah agar bijak menguruskan masalah-masalah khilafiah.

Terang beliau, Islam juga berjaya di Nusantara kerana uslub tanpa peperangan, namun apabila penjajah datang cuba menakluk rantau ini para pendakwah bangkit menentang dengan menyertai jihad peperangan.

Pun begitu ujarnya memetik ayat 8 surah as-Saff dalam menyuntik semangat para peserta, disebalik usaha musuh untuk memadamkan cahaya Allah, Dia pasti akan menyempurnakan cahaya agama ini yang mesti diyakini dan tanpa putus asa.

Beliau mengutarakan pandangan tokoh-tokoh Barat antaranya Henry Kissinger, Francis Fukuyama dan Huntington yang pernah akhirnya mengaku Islam sebagai kebangkitan terpendam.

Lantaran itulah hujah Tuan Guru, dunia mencipta Islamophobia dan merancang peta baharu dunia untuk mengganyang Islam, selain menggunakan sentimen mazhab untuk memecahkan umat Islam.

Oleh itu beliau mengajak kewaspadaan yang berpunca dari kelemahan politik umat Islam dan tidak memandang ringan usaha musuh memecahkan dengan pelbagai kekacauan dan perbezaan.

“Kalau tak kena, kita silap. Macam di Iraq sebagai contoh, kalau campur semua penduduk Iraq, Arab, Turkmen, Kurdish; Sunni adalah majoriti. Bila dipecahkan Turkmen, Kurdish, Arab asing-asing di Selatan, maka Syiah majoriti. Ini silap kita. Dicaturkan begitu.

“Ada masalah dalaman, kita selesai, bincang dalaman kita. Jangan menjadikan campur tangan asing. Membeli senjata dengan duit kita, kita bunuh sama-sama kita dengan duit kita. Berlakunya perang proksi, semua kuasa besar menyumbang senjata, duit kita belanja untuk beli senjata ini, di Libya itu. Ini contohnya.

“Kita bukan sahaja menghadapi orang bukan-Islam nak diajak masuk Islam, menghadapi orang Islam yang jahil tentang Islam. Masalah dalaman kita sendiri. Almarhum Abul Hassan An-Nadwi dalam bukunya mengatakan, bahawa kita orang Islam ini dalam cahaya sebenarnya, tapi banyak yang tidur, tidur dalam cahaya.

“Orang bukan Islam yang maju buka mata, tapi dalam gelap. Cuma kita buka mata saja, nak buka mata orang kita supaya kita sedar diri, kita bersama dengan Islam. Di sini, penekanan maudhu’ Islam dalam dakwah kita.

“Islam ada perkara yang tsawabit yang tetap, ada perkara yang mutaghayyirat, yang berubah mengikut perkembangan. Ini mesti difahami. Dalam uslub kita menyampaikan dakwah,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 15/2/2020

- Advertisement -