Istiqamah: Kualiti diri wajib ada pada amilin

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Pemuda PAS mesti istiqamah terhadap perjuangan sebagai satu sifat kualiti yang wajib ada pada diri dalam memenuhi syarat untuk layak mencapai kemenangan sebagaimana ditetapkan Allah S.W.T di dalam al-Quran.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden bahkan menegaskan, istiqamah juga menjadi ciri wajib kepada Jemaah Islam dengan memenuhi keperluan dakwah, tarbiyah dan siyasah.

Kerana itu jelasnya, Perlembagaan PAS meletakkan dasar perjuangan Islam yang jelas dan menjadikan pemeliharaan kepentingan Islam sebagai agenda parti termasuk ketika bersama pihak lain seperti gabungan Muafakat Nasional.

Perkara tersebut dipasaknya sebagai seruan kepada para Pemuda PAS pada Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMAH) Negeri Perak 3.0 di Dewan Abdul Wahab Nor, Masjid Tinggi, di sini petang tadi.

Menurut beliau, anak muda adalah benteng jemaah yang berperanan mempertahankan Islam dan mengawal anasir tidak sepatutnya masuk terutama dari pihak musuh, selain aset penting kepada negara dan kekuarga masing-masing.

Beliau mengimbau teladan dicontohkan oleh pelawak, Allahyarham Abam Bocey yang sentiasa mengutamakan ibu dan adiknya melebihi diri sendiri, bersama peringatan bahawa anak muda adalah kumpulan majoriti dalam kalangan pengundi negara.

Jelasnya, pengundi baharu kelak yang bermula dari umur 18 tahun merupakan penentu masa depan negara, namun generasi ini dengan banyaknya meluangkan masa di YouTube dan Tik Tok memerlukan bimbingan daripada Pemuda PAS.

“Kualiti wajib mesti ada kepada para amilin termasuk bercampur dengan masyarakat, hadiri solat berjemaah dan majlis ilmu di mashid kariah masing-masing,” serunya menasihat para peserta himpunan besar ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri berpesan agar para Pemuda istiqamah dengan perjuangan Islam bersama para pimpinan untuk terus memelihara kepentingan Islam.

“Janji Allah itu pasti apabila kita istiqamah bersama perjuangan Islam dan bala tentera Allah boleh mengalahkan keegoan dengan kekuasaan sebagaimana terjadi kepada Firaun dan Namrud.

“Hidup ini jangan kita angkuh dan sombong di muka bumi Allah dengan kuasa yang dipegang kerana ianya bersifat sementara,” ujarnya yang juga EXCO Pemuda PAS Malaysia.

Beliau mengingatkan supaya mengambil iktibar dan pengajaran terhadap perkara berlaku kepada negara China hari ini diserang virus Corona yang tidak nampak berkemungkinan disebabkan keangkuhan kononnya tiada kuasa boleh mengalahkan mereka.

Turut hadir menjayakan majlis adalah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Setiausaha PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin dan ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya. – HARAKAHDAILY 15/2/2020

- Advertisement -