Faham, hayati disiplin dalam berjemaah

- Advertisement -

TAMBUN: PAS tidak akan pernah memulakan langkah untuk berganjak dan mengorbankan dasar serta Perlembagaan parti dalam sebarang keadaan dan terhadap sesiapa pun kawan yang bantu dan bekerjasama.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Kawasan Tambun, Ustaz Rosli Azizan berkata demikian pada program Taujihat Jundiyyah Asatizah PAS Tambun di Markas PAS Cawangan Seri Desa di Chemor, Ipoh, di sini baru-baru.

“Jemaah PAS dididik untuk sentiasa melayari maksud sebenar dalam pengamalan sebenar konsep Rukun Bai’ah, dan ia terbukti bahawa pemimpin PAS tidak pernah membuat keputusan yang merugikan Jemaah.

“PAS sentiasa mengamalkan prinsip bersyura. Iaitu, kita masuk bergabung dan kerjasama dengan sesuatu pakatan adalah hasil dari perbincangan Syura Ulamak, dan kita keluar pakatan juga kerana Syura Ulamak.

“Mereka yang gagal memahami disiplin Jemaah ini, akan bertindak membuat keputusan gopoh demi kepuasan diri sendiri dan sewenangnya meninggalkan Jemaah,” ujarnya pada hadirin yang merupakan dalam kalangan para tenaga pengajar agama bertauliah di dalam kawasan Tambun.

Selain itu, Ustaz Rosli yang juga merupakan Ketua PAS Zon Klebang juga menegaskan bahawa kerjasama PAS dan Umno ini adalah bertepatan dengan keadaan suasana politik Malaysia yang sedang tidak stabil.

“Prinsip perjuangan Islam adalah diamalkan dengan cara menerima damai dari pihak lawan ketika pihak lawan sedang lemah, ketika itu kita (PAS) akan letakkan syarat dan garis panduan. Maka mereka (Umno) menerima, dan lalu terbentuk kerjasama Muafakat Nasional.

“PAS tidak bergerak ketika hendak berpilihan raya sahaja. Ketika (bukan musim pilihan raya) ini, tuan-tuan semua boleh lihat kita banyak menyusun program-program berbentuk kemasyarakatan dan dalaman.

“Ketika tiada pilihan raya, kita teruskan agenda tiga serangkai iaitu Dakwah mengajak orang ramai supaya memahami Islam, Tarbiyah diri ahli supaya memahami manhaj perjuangan, dan melaksanakan penerangan Siyasah (Politik) di segenap ruang dan peluang yang ada,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/2/2020

- Advertisement -