Anak tak sah taraf perlu diberi perhatian

- Advertisement -

SAYA bersyukur Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa anak-anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh dibin dan/atau dibinti dengan nama bapanya, semalam. Keputusan penghakiman yang dibaca oleh Hakim Datuk Rohana Yusuf juga selari dengan objektif perundangan Syariah yang bertujuan untuk memelihara maruah dan keturunan manusia. Hal ini akan memberi implikasi besar antaranya kepada isu perkahwinan, aurat dan perwarisan.

- Advertisement -

Saya juga sangat berbesar hati dengan keputusan pihak Mahkamah Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan fatwa yang telah diwartakan sebagai salah satu rujukan penting kepada perundangan sivil. Oleh itu, saya bersetuju sekiranya pihak kerajaan dan ahli-ahli Dewan Rakyat meminda Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 dengan memasukkan peruntukan khusus mengenai isu penamaan bagi anak orang Islam selaras dengan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Statistik anak tidak sah taraf sangat tinggi di Malaysia. Data antara 2010 hingga 2018 lalu menunjukkan jumlah anak tidak sah taraf beragama Islam ialah seramai 172,811 orang. Sebahagiannya lahir melalui ikatan perkahwinan yang sah tapi tidak berdaftar manakala selebihnya ialah anak hasil perbuatan luar nikah. Jumlah yang tinggi ini perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada keluarga mahupun pihak kerajaan. Mereka mungkin berhadapan dengan stigma negatif masyarakat, namun hak baginya juga perlu ditunaikan.

Secara tidak langsung, keputusan Mahkamah Persekutuan ini juga dilihat sebagai satu langkah mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap undang-undang Islam khususnya melibatkan Fiqh Munakahat atau hukum hakam kekeluargaan.   

Sekian, terima kasih.

WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Malaysia (Dungun)
21 Jamadil Akhir 1441 | 15 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 15/2/2020

- Advertisement -