Kesetiaan pemimpin DAP kepada negara amat diragui

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Sembilan memandang serius isu dwi kerakyatan membabitkan bekas Wakil Rakyat DAP bagi DUN Pujut (Sarawak) Dr Ting Tiong Choon.

Ia memberi gambaran betapa wakil rakyat parti itu ‘tidak setia’ kepada negara, malah parti itu sendiri tidak cermat memilih calon mewakili parti itu hingga adanya kalangan mereka yang gagal menjadi warganegara yang cintakan negara ini kerana memiliki dua kerakyatan.

Ia jelas sekali melanggar Rukun Negara iaitu pada ikrar perkara – Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan di mana mereka yang miliki dua kerakyatan ini tidak layak untuk menjadi warganegara kerana tidak setia kepada Raja dan Negara.

Kami menggesa kerajaan segera melucutkan kewarganegaraan bekas ADUN Pujut itu kerana perintah ini adalah selari dengan Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi, ‘Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu’.

DUN Sarawak pada 12 Mei 2017 melucutkan kelayakan Dr Tiong Choon sebagai ADUN dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi membangkang. kemudiannya, pada Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Tiong Choon sebagai ADUN adalah sah sekali gus menterbalikkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching dan Mahkamah Rayuan sebelumnya.

Dalam hal berkaitan juga, kami meminta pihak berkuasa termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, PDRM dan Imigresen Malaysia membuat semakan kerakyatan kepada seluruh anggota dan pemimpin DAP memandangkan selepas melihat kes bekas ADUN Pujut, terdapat keraguan kerakyatan ahli yang lain termasuk sumber menyatakan ada Timbalan Menteri yang dikatakan pernah memohon kerakyatan Britain, walaupun permohonan itu katanya tidak diluluskan.

Kami juga mencabar pemimpin tertinggi DAP memecat bekas ADUN Pujut daripada keahlian parti sekitarnya DAP benar-benar faham dan patuh kepada Perlembagaan Persekutuan dan bagi membuktikan taat setia mereka kepada negara ini.

Namun daripada kenyataan seorang pemimpin kanan DAP Sarawak mengenai kes bekas ADUN Pujut yang membela individu dua kerakyatan itu, ia jelas menggambarkan sikap mereka yang sebenarnya terhadap negara ini.

Dalam konteks di Negeri Sembilan, kami amat mengharapkan agar Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun membuat semakan terhadap taraf kerakyatan wakil rakyat di bawahnya, dan jika terdapat Ahli-ahli DUN yang miliki dua kewarganegaraan, maka haruslah mereka ini dipecat.

“Islam Memimpin Perpaduan”

BADZLI BAKAR
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan.
14 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 14/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -