Kesan virus Corona terhadap geo-politik China dan dunia

- Advertisement -

SAYA pernah mengandaikan China bakal menjadi kuasa besar dunia apabila ekonominya mencapai ekonomi terbesar dunia selama 50 tahun. Saya mengandaikan sedemikian apabila memerhati sejarah Amerika Syarikat menjadi kuasa besar dunia tatkala ekonominya mencapai ekonomi terbesar dunia pada 1888, bagi menggantikan kuasa ekonomi Britain. Tatkala tercetus perang dunia kedua pada 1945, Amerika Syarikat sudah benar-benar bersedia menjadi satu kuasa yang benar-benar berkesan terhadap percaturan geo-politik dunia.

- Advertisement -

Begitulah China yang baru sahaja melepasi (andaian 2015) telah melepasi kuasa ekonomi Amerika dan jikalau ia berterusan, China bakal menjadi kuasa yang paling kuat pada 2065. Namun, ia hanyalah andaian dan tentu sekali China adalah satu-satunya ancaman terbesar terhadap geo-politik Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyedari hakikat ini. Sebaik sahaja Trump menjawat kedudukan tertinggi negara, segera sahaja Trump berkunjung ke China untuk memeterai perjanjian dagang. Bahkan, Trump berani menimbulkan kontroversi yang mengancam ekonomi China dengan isu-isu cukai dan duti eksport. Hal ini menjadikan perang dagang Amerika-China bukan lagi rahsia.

Walaupun demikian, kewujudan virus Corona di China dengan angka kematian akan melepasi angka 1000, menjadikan kekuatan China benar-benar merundum teruk. China bagaikan orang sakit yang tidak berdaya. Bukan sahaja kilang-kilang ditutup operasi tetapi bandar-bandar turut ditutup. Pun begitu, virus Corona tidak berhenti tersebar. Ekonomi China akan menjunam teruk.

Menyedari hakikat ini, Kerajaan China tentu sekali tidak bercerita hal sebenar yang berlaku di negaranya kepada masyarakat dunia. Gejala virus Corona lebih teruk dari dilaporkan. Kerajaan China bukan sahaja bertungkus lumus menghadapi penyebaran virus Corona tetapi lebih dari itu, kerajaan China cuba menghalang maklumat sebenar dari diketahui masyarakat dunia dan khususnya masyarakat China.

Justeru, angka bilangan penduduk sebanyak 1.5 bilion ini akan panik. Rakyat takut untuk keluar rumah, aktiviti jual beli akan merundum teruk, pasaran jatuh menjunam,  bank bakal bankrup dan industri akan terhenti. Malah, barangan yang dijual dari Lazada dan Shoppe akan lambat sampai kepada pelanggan. Semuanya adalah angkara Corona Virus yang tidak dapat dibendung.

Hal demikian akan menyebabkan perdagangan China akan lembap dan bakal menjunam. China bukan lagi saingan ekonomi Amerika Syarikat. Malah, andaian China bakal menyaingi kuasa Amerika Syarikat akan terbantut. Jikalau virus Corona ini masih gagal dihadapi, Amerika Syarikat dan Trump akan menjadi orang paling gembira di atas kegagalan ini. Namun demikian, virus Corona akan merebak keluar ke negara-negara luar yang turut akan mengancam ekonomi antarabangsa. Tetapi, negara yang benar-benar sakit bukanlah masyarakat antrabangsa tetapi China yang lemah hanya kerana virus yang tidak nambak dek mata.

DR MUHAMMAD ATIULLAH OTHMAN – HARAKAHDAILY 14/2/2020

- Advertisement -