Antara persepsi dan realiti rasuah

- Advertisement -

SAYA berpendapat pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2019 tidak mencerminkan realiti sebenar yang berlaku. Meskipun kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 telah melonjak sepuluh anak tangga iaitu dari kedudukan ke-61 (2018) kepada ke-51 (2019), namun persepsi masyarakat terhadap amalan rasuah yang melibatkan pihak penguatkuasa diyakini masih tinggi. Tambahan pula, banyak pendedahan salah laku dan rasuah didedahkan di media mutakhir ini.

Terbaru, pendedahan rasuah dalam kalangan penguatkuasa JPJ Pulau Pinang dan syarikat logistik di sebuah portal media minggu ini. Sebelum itu, kita dikejutkan dengan pemalsuan dokumen kad pengenalan (MyKad) di Pulau Pinang. Malah, pihak SPRM juga mendedahkan akhir tahun lalu bahawa risiko rasuah paling tinggi berlaku di pintu sempadan negara melibatkan pihak penguatkuasa yang bertugas untuk mengawal aktiviti penyeludupan.

Saya melihat sistem, agensi dan usaha yang dilakukan untuk membanteras rasuah sudah banyak diwujudkan. Di Persekutuan sahaja, kita mempunyai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 yang menggantikan Pelan Integriti Nasional, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dan cadangan terbaru awal bulan ini iaitu Jawatankuasa Aduan.

Ia bukan hanya sistem dan struktural, tapi ia perlu menjangkau kepada budaya kerja yang mesti berasaskan kepada sifat ketakwaan, ihsan dan amanah. Perkara-perkara ini perlu disuburkan bagi mewujudkan persekitaran dan jiwa beragama.

Sekian, terima kasih.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
20 Jamadil Akhir 1441 | 14 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 14/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -