Seru umat Islam solat berjemaah

PAS Kawasan Sepanggar menyeru umat Islam supaya sentiasa bersembahyang di masjid dan surau.

Advertisement

Pemerhatian yang kami buat dalam beberapa minggu ini mendapati terlalu sedikit dalam kalangan umat Islam yang datang bersembahyang di masjid dan surau untuk sembahyang lima waktu.

Kami mendapati hampir setiap kampung dan taman-taman perumahan mempunyai akses yang sangat mudah untuk sampai ke masjid dan surau. Walaubagaimanapun masih banyak masjid dan surau yang lengang termasuklah waktu Maghrib dan Isyak.

Keadaan ini amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku. Pihak berkuasa, ahli politik, badan-badan bukan kerajaan dan ketua-ketua masyarakat mesti memainkan peranan yang bersungguh-sungguh untuk memastikan masyarakat Islam datang ke masjid dan surau.

Masjid dan surau merupakan satu institusi yang boleh mengeratkan silaturahim dan persaudaraan di samping boleh menyemarakkan syiar Islam.

Di samping itu, pihak jawatankuasa masjid dan surau sewajarnya menyusun atur kuliah dan majlis-majlis bimbingan agama supaya ia menjadi tarikan kepada masyarakat untuk hadir.

PAS Sepanggar bersedia bekerjasama untuk berbincang dengan pihak masjid dan surau sekitar Sepanggar untuk menyusun program keilmuan dan kemasyarakatan tanpa mengetepikan sentimen politik. Semua pihak mesti bekerjasama untuk mencapai matlamat pengimarahan rumah-rumah Allah ini.

ASPAR AKBAR
Penyelaras Parlimen Sepanggar
13 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 13/2/2020