Perlu kesedaran nutrisi untuk kanak-kanak

- Advertisement -

MASYARAKAT hari ini amat kurang kesedaran berkenaan kepentingan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak terutamanya sedangkan makanan berkhasiat amatlah penting bagi proses pertumbuhan kanak-kanak.

- Advertisement -

Hal ini dibuktikan melalui laporan yang dikeluarkan oleh Kajian Nutrisi Kanak-kanak Malaysia (SEANUTS Malaysia) iaitu sebanyak satu daripada tiga keluarga Malaysia kekurangan nutrisi penting terutamanya vitamin C, zat besi dan kalsium.

Perkara ini memberi kesan yang besar kepada proses pembentukan mereka antaranya perkembangan ototnya juga tidak mencapai piawaian yang tertentu mengikut umurnya, mereka akan kurang aktif, akal kurang cerdas, otot lemah serta sistem imun juga tidak kuat.

Hasilnya, berdasarkan (Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS), kadar kanak-kanak yang tumbesarannya terbantut meningkat daripada 17 peratus pada 2006 kepada 20.7 peratus pada tahun 2016 iaitu kira-kira dua daripada 10 kanak-kanak.

Perkara ini membuktikan bahawa Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan yang disediakan sejak dua dekad lalu masih belum dapat menangani masalah ini dan sewajarnya diperluaskan lagi dengan menambah baik prosedur permohonan yang sehingga kini masih lagi merumitkan.

Justeru, masyarakat hari ini juga perlu sedar bahawa pengambilan makanan yang sihat terutama bagi kanak-kanak amatlah penting dan sewajarnya diberi perhatian yang serius terutama kepada anak-anak di bawah 6 tahun kerana ia memberi kesan yang besar untuk masa depan kanak-kanak tersebut yang merupakan generasi pelapis dalam pembinaan anak bangsa.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 13/2/2020

- Advertisement -