Kestabilan negara, kesihatan mental dan arak

- Advertisement -

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang tentera amuk dan menembak mati 20 orang dan berpuluh lagi cedera di satu pusat membeli belah di Korat Bangkok Thailand. Suspek dipercayai ingin membalas dendam dan menghadapi masalah tekanan perasaan yang kronik di tempat kerja serta keluarga.

Kerajaan Malaysia harus mengambil serius dalam hal ini untuk tujuan mencegah dari perkara yang sama berlaku. Mengikut rekod 2017, 1 daripada 9 rakyat Malaysia menghadapi tekanan perasaan dan masalah kesihatan mental. Keadaan ini mungkin meningkat pada masa kini dengan keadaan ekonomi negara yang goyah.

Dalam ekonomi negara yang tidak stabil, banyak pelabur keluar dari Malaysia dan seterusnya kesan langsung kepada rakyat diberhentikan kerja. Contohnya apabila pasar raya Giant menghentikan operasi, berapa ribu pekerja diberhentikan kerja. Ia bukan hanya melibatkan sektor swasta, malah kakitangan kontrak kerajaan juga terlibat diberhentikan.

Apabila berlakunya tekanan perasaan dan masalah mental ini, maka gejala sosial dalam masyarakat meningkat. Contohnya pengambilan alkohol. Saban hari kita dengar ada kematian melibatkan pemandu mabuk yang sehingga hari ini rakyat belum jelas dengan penyelesaian yang kerajaan akan lakukan. Kita hanya mendengar jawapan yang tidak sewajarnya dari pihak penguatkuasa sebagai contoh tidak cukup kandungan alkohol dalam darah menyebabkan hukuman setimpal tidak dapat dijalankan. Kerajaan harus berbuat sesuatu, jangan hanya memberi jawapan ‘dalam kajian’, ‘akan kaji’. Rakyat sudah muak dengan jawapan ini. Hukuman yang lebih berat mesti dilakukan. Kecelakaan yang berlaku kerana pengambilan alkohol ini menyebabkan kematian.

Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan menggesa Kerajaan PH untuk berhenti berpolitik dan berbalah sesama parti di dalam pakatan dan seterusnya sama-sama memikirkan masalah rakyat dan negara. Ke mana kita mahu bawa negara kita? Harus ada tujuan yang jelas. Bila masa untuk memikirkan masalah rakyat kalau parti-parti dalam kerajaan berbalah sesama sendiri? Kalau sudah tidak mampu, serahkan kembali kepada rakyat, bubar Parlimen, biar rakyat memilih dan menentukan kerajaan baharu yang saya yakin Muafakat Nasional mampu untuk menerajuinya.

BADZLI BAKAR
Ketua Penerangan
Badan Pehubungan PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 13/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -