‘Jual-beli’ tanah secara tidak sah

- Advertisement -

AMALAN biasa di kalangan orang kita, jual beli tanah kerajaan secara tak sah. Teroka tanah kerajaan secara haram, lepas itu jual. Pembeli pula beli tanpa ada sebarang dokumen jual beli.

Biasa kita berhadapan dengan isu orang mari dakwa, “ambo beli doh tanah ni dari Sipolan bin Sipolan!” Sedangkan bila disemak, tanah tersebut berstatus tanah kerajaan. Macam mana penjual boleh jual tanah yang bukan milik dia dan pembeli boleh serah pitih berjumlah belasan ribu atau puluhan ribu tanpa terima sebarang dokumen yang sah? Kalau penjual ada buat surat jual beli sekalipun, ia tetap tak laku dan tak sah.

Dalam melaksanakan Manifesto PRU14, bila kita nak kembalikan semula tanah RTB berstatus LMS yang dinafikan hak selepas peralihan Kerajaan Negeri pada 2004, didapati ramai peserta asal RTB yang dah jual lot tanah tersebut kepada orang lain. Macam-macam rakyat kita ini. Tanah haram dia jual, tanah LMS pun dia jual juga!

Kita sangat faham bahawa ramai orang kita yang minta tanah bukan untuk diusahakan, tapi nak jual dan dapat duit segera. Kerana itulah, setiap pemberian hak milik tanah oleh kerajaan akan tertakluk kepada sekatan kepentingan, antaranya tanah tersebut tak boleh dijual, dipindah milik atau digadai dalam tempoh 10 tahun kecuali gadaian kepada institusi kewangan untuk tujuan pinjaman perumahan.

Dalam keadaan ada sekatan begini pun ramai juga yang jual juga. Nanti cukup 10 tahun baru buat pindah milik dan tukar nama. Bayangkan kesukaran yang bakal dihadapi kalau ditakdirkan sebelum cukup 10 tahun, pemilik tanah meninggal. Tanah tersebut akan jadi pusaka yang perlu diselesaikan secara faraid. Sedangkan sebenarnya tanah tersebut telah dijual kepada orang lain tanpa ditukar nama atas geran hak milik.

Amalan dan kebiasaan ini sudah berjalan dalam suatu tempoh yang lama. Bukan mudah untuk nak diperbetulkan kembali.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 13/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -