Islam dan negara

- Advertisement -

KEDUDUKAN Negara Islam sangat penting

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya من فقه الدولة في الإسلام menyatakan kepentingan negara menurut perspektif syarak iaitu:

- Advertisement -

“Keperluan utama bagi dakwah Islam pada zaman ini ialah memerlukan kepada sebuah Negara Islam di mana dalam negara tersebut didirikan risalah Islam dari sudut aqidah, sistem, ibadah, akhlak, kehidupan dan pembangunan. Dan negara Islam ini dibuka pintu seluas-luasnya bagi semua orang beriman untuk berhijrah ke dalamnya dari negara yang mereka dizalimi dan negara yang diperintah oleh pihak kafir.”

Pentadbiran atau pemerintahan sebuah negara adalah sangat penting. Ia menjadi tapak mendaulatkan agama Allah serta kekuasaan yang ada menjadi pelindung bagi agama Islam dari cubaan meruntuhkan agama Islam.

Al-Imam al-Ghazali menyebutkan:


الإِسْلامُ وَالسُّلْطَانُ أَخَوَانِ تَوْأَمٌ ، لا يَصْلُحُ وَاحِدٌ مِنْهُمَا إِلا بِصَاحِبِهِ ، فَالإِسْلامُ أُسُّ وَالسُّلْطَانِ حَارِسٌ ، وَمَا لا أُسَّ لَهُ مُنْهَدِمٌ ، وَمَا لا حَارِسَ لَهُ ضَائِعٌ ” .

“Islam dan pemerintahan umpama dua saudara yang kembar. Tidaklah satu itu menjadi elok melainkan dengannya bersama yang satu lagi. Maka Islam itu asas dan pemerintahan itu penjaga. Apa yang tiada asas maka ia akan runtuh dan apa yang tiada penjaga maka ia akan lenyap.”

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi juga di dalam kitabnya من فقه الدولة في الإسلام menyatakan negara yang dikehendaki oleh Islam ialah:

(1) Meletakkan dasar tertinggi al-Quran dan al-Sunnah.
(2) Negara yang meninggikan aqidah bukannya sentimen Nasionalisme yang sempit dengan blok-blok bangsa.
(3) Menjalankan sistem dan perundangan Islam secara menyeluruh.
(4) Bukan bersifat diktator iaitu pemerintahan kuku besi dan zalim. Negara yang mengamalkan konsep nasihat menasihati.
(5) Membimbing ummah ke arah hidayah Allah.
(6) Memberi perlindungan dan kebajikan khususnya kepada golongan yang lemah.

Menafikan perjuangan menegakkan Negara Islam adalah pengkhianatan ilmu

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya السياسة الشرعية في ضوء الكتاب والسنة النبوية mendedahkan bahawa selepas kejatuhan khilafah terakhir iaitu Khilafah Uthmaniyyah terdapat tulisan pada tahun 1925 yang menyeleweng dengan menafikan perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Tulisan oleh Qadhi Mahkamah Syar’ie Mesir iaitu Ali Abdul Raziq menerusi kitab yang berjudul الإسلام وأصول الحكم mendakwa bahawa Baginda S.A.W hanya berdakwah semata-mata tanpa kaitan melibatkan gerak kerja pentadbiran dan pemerintahan negara.

Buku tersebut menjadi kontroversi sehingga dibawa perbincangan di dalam persidangan Kesatuan Ulamak di Al-Azhar. Malah ketika beliau dipanggil untuk mempertahankan diri, ketika memasuki bilik atau dewan persidangan tersebut ucapan salam yang diberikan tidak dibalas oleh para ulamak ketika itu sebagai tanda apa yang dilakukan olehnya merupakan satu kesalahan besar.

Akhirnya Kesatuan Ulamak al-Azhar mengeluarkan beberapa ketetapan dalam menyanggah tulisan itu dengan menarik semula kelayakan sijil dari beliau. Selain itu, apa sahaja pernyataan beliau tidak dipakai terutama dalam urusan yang melibatkan jawapan hukum dan agama. Tidak cukup dengan itu, Syeikh Khidhir Hussin dan Syeikh Bakhit al-Muthie turut menulis kitab bagi menjawab segala keraguan dan menolak dakwaan songsang dari kitab tersebut.

Mempertahan Negara Islam lebih besar dari nyawa individu

Setiap nyawa yang tidak bersalah adalah menjadi kesalahan besar untuk diceroboh dengan membunuhnya. Ia dapat dilihat apabila jika berlaku pembunuhan sengaja yang dilakukan maka dikenakan hukuman Qisas iaitu bunuh balas.

Walau nampak hukumannya berat namun ia adalah keadilan bagi pihak keluarga yang dibunuh.

Firman Allah S.W.T:


یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلۡقِصَاصُ فِی ٱلۡقَتۡلَىۖ

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman ‘Qisas’ (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh.”

[Al-Baqarah: 178]

Dalam masa yang sama hukuman berat tersebut menjadi pencegahan ke atas manusia yang ingin melakukan pembunuhan. Inilah hikmah yang terdapat pada hukuman Qisas yang sebutkan oleh Allah sebagaimana berikut:


وَلَكُمۡ فِی ٱلۡقِصَاصِ حَیَوٰةࣱ یَـٰۤأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.”

[Al-Baqarah: 179]

Malah di sisi Allah, hilangnya nyawa seorang Muslim lebih lebih besar perkaranya daripada hilangnya dunia.

Dari al-Barra’ bin Azib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda;


لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ قَتْلِ مُؤْمِنٍ بِغَيْرِ حَقٍّ

“Hilangnya dunia, lebih ringan bagi Allah dibandingnya terbunuhnya seorang mukmin tanpa hak.”

(Riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmizi)

Namun begitu, nilai dan kedudukan Negara Islam adalah lebih besar dari nilai individu untuk dipertahankan jika berlaku pertembungan yang tidak dapat dielakkan. Ini kerana Negara Islam yang diruntuhkan akan mengakibatkan mudarat besar pada agama dan juga nyawa rakyat di dalamnya secara umum.

Perkara ini ada dibincangkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab Usul Fiqhnya yang berjudul al-Mustasfa (المستصفى) pada perbincangan kitab at-Tars (الترس) atau disebut Tatrus (تترس). Kisah tersebut memaparkan bagaimana musuh Islam menjadikan tawanan Muslim benteng mereka ketika menyerang Negara Islam. Menjadikan tentera Islam dalam keadaan serba salah untuk menyerang musuh kerana dibentengi oleh tawanan Muslim.

Imam al-Ghazali membawa kefahaman dalam melakukan sesuatu pertimbangan (فقه الموازنات) dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan sama ada Negara Islam diserang, ditawan dan diruntuhkan atau tawanan Islam yang menjadi benteng musuh dibunuh bagi mengalahkan musuh.

Pertimbangan menjaga Negara Islam lebih besar dengan kondisi ketika itu:

(1) Darurat. Tiada jalan lain.
(2) Kepastian. Dengan membunuh tawanan Muslim yang menjadi benteng musuh, tentera Islam dapat menyerang musuh untuk dikalahkan.
(3) Pada kadar yang dibenarkan. Tawanan Muslim yang dibunuh hanya sekadar bagi membolehkan wujud ruang menyerang musuh.

Mempelajari dari Negara Islam Madinah

Pembentukan Negara Islam di Madinah Munawwarah menerusi Piagam Madinah menyaksikan:

(1) Madinah adalah negara terdiri dari masyarakat majmuk. 47 fasal Piagam Madinah yang dibahagikan kepada 23 fasal mengenai hubungan sesama Muslim manakala 24 fasal hubungan dengan non-Muslim.

(2) Dasar tertinggi ialah al-Quran dan as-Sunnah menjadikan ini asas pembentukan sebuah negara Islam.

(3) Membina kekuatan pendukung dengan menyatupadukan kalangan Aus dan Khazraj serta kalangan Muhajirin dan Ansar. Membentuk ketumbukan kesatuan yang kuat kalangan umat Islam dan kestabilan politik.

Kalangan bukan-Islam hidup sejahtera dan aman selagi taat kepada Piagam Madinah. Mereka juga wajib menjaga kedaulatan negara dan mempertahankan kepentingan negara dari sebarang ancaman musuh.

Negara Madinah diiktiraf sebagai Negara Islam kerana meletakkan hukum tertinggi adalah al-Quran dan as-Sunnah. Islam menjadi akidah pentadbiran negara dan memiliki punca kuasa mendaulatkan Islam.

Sekalipun waktu itu syariat belum turun habis tetapi telah diperuntukkan punca kuasa dalam pentadbiran negara. Maka syariat yang sedia ada dan syariat yang bakal turun dapat dilaksanakan kerana wujud punca kuasa.

Kita hari ini, punca kuasa terhad, menjadikan beberapa pelaksanaan syariat Islam terhad dengan akta tertentu. Cuma peluang besar yang dimanfaatkan adalah menerusi peruntukan yang menyentuh bahawa agama Islam itu agama Persekutuan. Ini asas yang kita boleh berhujah untuk usaha sekalipun masih bergelut untuk gubal segala akta yang bertentangan syariat.

Peruntukan itu walaupun dimasukkan oleh Suruhanjaya Lord Reid tetapi ia tidak kehendak olehnya sebagai Negara Islam pada awalnya. Justeru, kitalah perlu berjuang memastikan dengan peruntukan itu untuk menggubal akta agar membolehkan punca kuasa kepada pelaksanaan syariat.

Walaupun penjajah sudah tiada namun pemikiran penjajah yang diteruskan orang tempatan mesti dihadapi yang menjadi cabaran kepada perjuangan Islam menegakkan Negara Islam.

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/2/2020

- Advertisement -