Perang Korea: Pembuka tirai Perang Dingin

- Advertisement -

LATAR belakang

(1) Dalam siri pertembungan antara Amerika dan Soviet pada 1947 hingga 1991, menyaksikan betapa dunia ini menjadi huru hara. Masing-masing gilakan kuasa dan pengaruh.

Antara yang menjadi pembuka tirai pertembungan itu ialah Perang Korea yang memakan jutaan korban, kebanyakannya orang Korea sendiri. Terjadi antara 1950-1953.

(2) Walaupun kejadian dahsyat ini terjadi bukan di negara Umat Islam, namun Umat Islam perlu belajar daripada sejarah untuk tidak menjadi ‘mangsa’ musuh.

Bermula 1910, Korea berada di bawah pemerintahan Jepun [Gambar 1]. Krisis yang panjang berdekad dekad berlaku sebelum itu sesama mereka.

Jepun yang telah menggabungkan Korea dengannya sejak tahun itu, sehinggalah Perang Dunia Kedua, banyak menggunakan tenaga kerja Korea.

(3) Dalam buku The Oxford Companion To World War II, memperincikan bilangan-bilangan penting mengenai kerahan tenaga terhadap Korea tersebut.

(a) Antaranya seramai 2.6 juta orang Korea dipaksa melakukan kerahan tenaga. Seramai 730,000 orang dihantar ke luar negeri dan beberapa kota di Jepun.

(b) Pada Januari 1945, 32 peratus tenaga kerja Jepun adalah dari kalangan orang Korea. Manakala pada Ogos 1945, ketika Amerika menjatuhkan bom atom di Hirosima, seramai 25 peratus di kalangan mereka mati.

Pembuka tirai Perang Dingin

(1) Dua hari selepas pengguguran bom atom oleh Amerika, Soviet mengambil kesempatan untuk menguasai Jepun dengan mengisytiharkan perang ke atas negara itu.

Lalu tentera Soviet mula mendarat dia beberapa pesisir pantai Utara Korea. Dalam masa yang sama, Maharaja Jepun mengisytihar kekalahan terhadap Amerika.

(2) Amerika menghantar dua orang wakilnya untuk mengatur pendudukan Amerika di Asia Timur. Mereka turut berbincang dengan Soviet untuk mengerat Korea.

Iaitu Korea Utara yang merupakan tempat serangan Soviet, dan Korea Selatan. Ia dibahagikan dengan garisan 38th Parallel [Gambar 2].

(3) Perbincangan mengerat Korea ini langsung tidak melibatkan orang Korea sendiri. Amerika sedar bahawa di Utara negara itu dikuasai oleh Soviet.

Justeru pembahagian ini bagi memastikan Bandar Seoul di sebelah Selatan berada di bawah pengaruh Amerika. Tentera Jepun di kedua-dua tempat mengaku kalah.

(4) Tentera Jepun yang berada di Utara mengaku kalah kepada Soviet. Manakala di sebelah Selatan mengaku kalah kepada Amerika.

Di sinilah bermulanya titik sengketa Perang Korea yang lebih dahsyat, yang menjadi tirai pembukaan kepada Perang Dingin antara Soviet dan Amerika.

Perang ideologi

(1) Sepertimana yang kita ketahui, Soviet berpegang dengan fahaman Komunisme dan Sosialism dengan kaedah perintahan autokrasi. Manakala Amerika pula Liberalisme Kapitalism dan mengamalkan demokrasi.

Selepas daripada usaha Amerika dan Soviet mengerat Korea itu, parti-parti politik di sebelah Selatan ditubuhkan bagi menubuhkan kerajaan baru di Seoul.

(2) Namun, Amerika merasa bimbang dengan kemunculan geng haluan kiri yang anti kepada Liberal Kapitalis. Kalau ikutkan, Amerika dan Soviet sepatutnya mengadakan pilihan raya seluruh Korea pada 1948.

Asal tujuan pilihan raya tersebut bagi menggabungkan kedua-duanya iaitu Utara dan Selatan. Namun ketika itu masing-masing Soviet dan Amerika merasa curiga antara satu sama lain.

(3) Amerika inginkan seluruh Korea itu berfahaman Liberal Kapitalis dan mengamalkan Demokrasi. Manakala Soviet pula inginkan seluruh Korea itu Komunis Sosialis.

(a) Lalu Amerika melantik Syngman Rhee sebagai pimpinan Korea Selatan dan mengisytiharkan sebagai negara merdeka pada 15 Mei 1948.

Syngman adalah seorang yang anti-Komunis, dan mula mengambil tindakan menyerang geng haluan kiri (Komunis) di bahagian Selatan 38th Parallel.

(b) Manakala Soviet melantik Kim II-Sung pada September 1948 dan bertindak menekan parti-parti pembangkang yang beraliran Kapitalism di sebelah Utara 38th Parallel.

Mula bertembung

(1) Jun 1950 dilihat permulaan kepada Perang Korea yang mengorbankan jutaan manusia. Kim II-Sung menghantar tenteranya ke sempadan 38th Parallel untuk menguasai Selatan.

Beliau bercita-cita menjadikan seluruh Korea itu di bawah pengaruh Komunis. [Gambar 3]. Bermulalah detik penglibatan kuasa-kuasa besar dunia, menjadikan Korea sebagai tapak pertempuran.

(2) Korea Utara bersama China dan negara-negara Soviet berada dalam satu blok. Manakala Korea Selatan dan PBB (termasuk Amerika) berada dalam satu blok.

Kedua-dua blok masing-masing ‘membekalkan’ kekuatan tentera lebih sejuta orang. Menjadikan tentera yang terlibat secara keseluruhannya melebihi dua juta orang dari pelbagai negara.

(3) Angka korban termasuk orang awam yang menjadi mangsa perang mencecah 5 juta orang. Banyak kajian yang berbeza-beza dalam menentukan bilangannya secara spesifik. [1]

(4) Secara umumnya perang ini dilatari dengan pertembungan ideologi. Sosialism Komunis digagaskan oleh Karl Marx, manakala Kapitalis digagaskan oleh Adam Smith. [2]

Pada mulanya, ideologi-ideologi ini digagaskan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap krisis ekonomi dan sistem hidup. Namun, ia menjadikan manusia itu berpuak dan bertentangan antara satu sama lain.

Ahli falsafah terdahulu tidak mahu menggunakan sistem Islam sebagai penyelesaian. Menyebabkan idea solusi mereka itu bertukar menjadi masalah yang lebih besar.

Pasca perang Korea

(1) Perang Korea walaupun ‘dicatatkan’ tamat pada 1953, namun hakikatnya belum betul-betul berhenti. Mereka hanya mengadakan gencatan senjata.

Perang saudara ini menggambarkan bagaimana disebabkan kegilaan kuasa-kuasa besar untuk melebarkan pengaruhnya, menyebabkan rakyat biasa menjadi mangsa.

(2) Kegilaan Amerika VS Soviet itu memangsakan Korea dan penduduknya. Menggambarkan kegilaan dalam bersaing tanpa memikirkan hak orang lain untuk hidup.

(3) Info-info kebelakangan ini menggambarkan bagaimana Korea Utara semakin pandai berdikari. Apabila mereka mula memperhebatkan teknologi persenjataan mereka.

Antaranya ujian peluru berpandu pada 2006, dan pada 2013 melancarkan satelite yang penuh kontroversi. Sementara Korea Selatan hidup sebagai negara Republik.

(4) Pada Jun 2000, wujudnya percubaan untuk memulihkan hubungan antara kedua-dua Korea oleh Presiden Kim Dae-Jung, dalam sebuah sidang kemuncak Utara–Selatan berlangsung di Pyongyang, ibu negara Korea Utara.

Dengan itu, Presiden Kim menerima Anugerah Nobel Keamanan atas usahanya demi demokrasi dan hak asasi manusia di Korea Selatan dan seluruh Asia Timur, khususnya perdamaian dengan Korea Utara

(5) Menggambarkan bahawa ‘projek’ itu masih belum terhenti. Memasarkan demokrasi dan ayat-ayat kebebasan kepada Korea Utara, dilihat lebih menguntungkan pengaruh Amerika.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL

[1] Banyak penulisan yang mengkaji mengenai Perang Korea ini. Diterbitkan dalam bentuk buku. Antara pautan dalam internet:
http://www.bbc.co.uk/history/worldwars/coldwar/korea_hickey_01.shtml

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3102099739831765&id=100000953077134HARAKAHDAILY 12/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -