Pemandu mabuk: Diyat untuk keluarga mangsa

- Advertisement -

TIDAK henti-henti laporan di dada akhbar melaporkan mengenai kemalangan maut yang membabitkan pemandu mabuk. Dalam hal ini, saya berpandangan insiden pemandu mabuk yang menjadi penyebab kemalangan maut adalah terlalu melampau memandangkan ia meragut nyawa mangsa yang tidak berdosa. Ada sahaja kes ibu kehilangan anak, isteri kehilangan suami, anak-anak hilang ibu bapa angkara arak.

- Advertisement -

Justeru, saya menegaskan bahawa tidak memadai sekiranya hukuman untuk pemandu mabuk diubah sekadar menaikkan denda atau dengan menggantung lesen untuk tempoh yang lebih panjang. Mereka yang sanggup melanggar undang-undang dengan memandu ketika mabuk akan terus juga melanggar undang-undang dengan memandu tanpa lesen memandu.

Kerajaan perlu meminda undang-undang yang memperuntukkan hukuman paling keras. Selain denda yang lebih tinggi, mereka juga perlu dipenjarakan untuk satu tempoh. Hukuman sebatan juga wajar diperkenalkan sebagaimana yang dipraktiskan di Singapura. Di Taiwan pula, kerajaan mahu perkenalkan hukuman mati kepada pemabuk yang mengakibatkan kemalangan maut kerana peningkatan kes berprofail tinggi yang mencetuskan kemarahan masyarakat.

Selain itu, saya juga ingin menggesa kerajaan agar, bukan sahaja undang-undang yang menghukum pemandu mabuk perlu dipinda, mekanisme perlindungan kepada mangsa juga perlu ditambah baik segera bagi menjamin keadilan kepada mangsa yang tidak bersalah. Dalam hal ini, saya mencadangkan agar hukuman diyat atau ganti rugi/pampasan kepada pihak mangsa juga wajib diberikan mengikut kadar tertentu berdasarkan hak dan keadilan bagi pihak mangsa.

Perkara ini memerlukan satu pindaan kepada Seksyen 432 Akta Kanun Tatacara Jenayah termasuk memberi ruang kepada pihak mangsa atau waris mangsa menentukan kadar ganti rugi yang wajar. Kerajaan juga perlu melakukan kajian bagaimana hukuman diyat ini boleh disesuaikan dengan mekanisme yang diguna pakai hari ini iaitu melalui melalui kaedah insurans/takaful.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
12 Februari 2020/ 18 Jamadilakhir 1441H – HARAKAHDAILY 12/2/2020

- Advertisement -