Al-Kahfi: Suasana Kiamat dari gambaran ‘Fi Zhilal’

- Advertisement -

PENGHUJUNG Surah al Kahfi

(1) Surah al Kahfi perlu dijadikan amalan, khususnya bagi umat akhir zaman bagi menghadapi fitnah Dajal yang bakal mengelabukan dunia.

(a) Nabi S.A.W berpesan;

- Advertisement -


مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ ، عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ

“Sesiapa yang menghafal 10 ayat permulaan Surah al Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal”


(b) Di dalam hadis yang lain menyebut;


مَنْ حَفِظَ مِنْ خَوَاتِيمِ سُورَةِ الْكَهْف

“Sesiapa yang menghafal beberapa ayat penutup Surah al Kahfi… “

Kedua-duanya hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, di dalam سنن أبي داوود, dalam bab كتاب الملاحم di bawah tajuk باب خروج الدجال

(2) Ramai Sahabat-sahabat sudah menulis mengenai ibrah daripada 10 ayat pertama surah ini. Justeru, saya akan tulis mengenai ibrah daripada beberapa ayat penghujung surah ini.

Ibrah yang dilakarkan oleh Syed Qutb di dalam karangannya yang terkenal dengan في ظلال القرآن sangat mengasyikkan. Bagaimana olahan beliau terhadap penghujung surah ini dengan gambaran yang mengagumkan.

(3) Ayat 92 hingga 98 Allah S.W.T menceritakan mengenai Raja Iskandar Zulqarnain dan tembok yang mengurung Yakjuj dan Makjuj. Zulqarnain mengatakan bahawa sampai satu masa nanti, tembok itu akan diruntuhkan.

Allah S.W.T berfirman;


فَإِذَا جَاۤءَ وَعۡدُ رَبِّی جَعَلَهُۥ دَكَّاۤءَۖ وَكَانَ وَعۡدُ رَبِّی حَقࣰّا

“(Zulqarnain berkata)… “Apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.”

(al-Kahfi 98)

Suasana berselerak

(1) Tembok Yakjuj dan Makjuj runtuh di kala penghujung dunia. Lalu Allah S.W.T menceritakan pada ayat 99 mengenai suasana kiamat;


وَتَرَكۡنَا بَعۡضَهُمۡ یَوۡمَىِٕذࣲ یَمُوجُ فِی بَعۡضࣲۖ

“Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; … “

Syed Qutb menyatakan;


وهو مشهد يرسم حركة الجموع البشرية من كل لون وجنس وأرض. ومن كل جيل وزمان وعصر، مبعوثين منشرين. يختلطون ويضطربون في غير نظام وفي غير انتباه، تتدافع جموعهم تدافع الموج وتختلط اختلاط الموج.. ثم إذا نفخة التجمع والنظام: ونفخ في الصور فجمعناهم جمعا فإذا هم في الصف في نظام

“Itulah pemandangan yang melukis pergerakan perhimpunan umat manusia dari pelbagai warna, bangsa dan negara yang terdiri daripada setiap generasi, masa dan zaman. Mereka dibangkitkan dari kubur kubur mereka dalam keadaan berselerak bercampur-baur dan bersesak-sesak tanpa peraturan mahupun perhatian. Mereka bertolak-tolak dan bercampur aduk seperti ombak di laut, kemudian tiupan sangkakala untuk mengumpul dan mengatur mereka dibunyikan;”

وَنُفِخَ فِی ٱلصُّورِ فَجَمَعۡنَـٰهُمۡ جَمۡعࣰا

“….. Dan sangkakala pun dikira lalu kami kumpulkan mereka dalam perhimpunan yang teratur”

Selepas ditiupkan sangkakala;


فإذا هم في الصف في نظام!

“Maksudnya, mereka berada dalam keadaan barisan yang teratur!”

Syed Qutb cuba menggambarkan suasana kiamat yang menyaksikan manusia berselerak itu, kesemuanya menjadi tersusun setelah mana ditiup sangkakala.

Keperitan orang kafir

(1) Di dalam suasana kiamat sedemikian rupa, Allah S.W.T menceritakan keadaan orang kafir di kala itu;


۞ وَتَرَكۡنَا بَعۡضَهُمۡ یَوۡمَىِٕذࣲ یَمُوجُ فِی بَعۡضࣲۖ وَنُفِخَ فِی ٱلصُّورِ فَجَمَعۡنَـٰهُمۡ جَمۡعࣰا ۝ وَعَرَضۡنَا جَهَنَّمَ یَوۡمَىِٕذࣲ لِّلۡكَـٰفِرِینَ عَرۡضًا ۝ ٱلَّذِینَ كَانَتۡ أَعۡیُنُهُمۡ فِی غِطَاۤءٍ عَن ذِكۡرِی وَكَانُوا۟ لَا یَسۡتَطِیعُونَ سَمۡعًا

“Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar. (99) Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata (100) (Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali. (101)”

(2) Syed Qutb menyatakan;


ثم إذا الكافرون الذين أعرضوا عن ذكر الله حتى لكأن على عيونهم غطاء، ولكأن في أسماعهم صمما.. إذا بهؤلاء تعرض عليهم جهنم فلا يعرضون عنها كما كانوا يعرضون عن ذكر الله. فما يستطيعون اليوم إعراضا. لقد نزع الغطاء عن عيونهم نزعا فرأوا عاقبة الإعراض والعمى جزاء وفاقا!

“Adapun orang-orang kafir yang telah berpaling daripada zikrullah, sehingga seolah-olah mata mereka tertutup dan pendengaran mereka tersumbat, maka mereka akan didedahkan kepada neraka jahanam dan mereka tidak akan dapat menghindarkan diri daripadanya sebagaimana mereka telah menghindarkan diri daripada zikruLlah. Pada hari ini mereka tidak berupaya menghindarkan diri. Penutup mata mereka telahpun ditanggalkan dan kini mereka dapat melihat akibat penolakan dan kebutaan mereka sebagai balasan yang setimpal”


(3) Sikap mereka yang kufur, ialah berpaling daripada ‘zikruLlah’ (ذكر الله). Keingkaran ini menggambarkan sikap mereka yang bencikan kematian, tidak suka berhadapan dengan Allah.

Bertemu Allah

Syed Qutb menghuraikan maksud zikruLlah pada huraian ayat 152 Surah al Baqarah;


وذكر الله ليس لفظا باللسان، إنما هو انفعال القلب معه أو بدونه، والشعور بالله ووجوده والتأثر بهذا الشعور تأثرا ينتهي إلى الطاعة في حده الأدنى، وإلى رؤية الله وحده ولا شيء غيره لمن يهبه الله الوصول ويذيقه حلاوة اللقاء..

Syed Qutb menyatakan:

“Maksud menyebut dan mengingati Allah bukannya semata mata sebutan dengan lidah, malah maksudnya mewujudkan rasa terharu ketika menyebutnya, atau tanpa menyebutnya, dan melahirkan rasa keinsafan serta kesedaran terhadap Allah S.W.T dan kewujudanNya. Lantas terus terkesan dengan perasaan ini hingga membawa kepada ketaatan dalam sedekat dekat batasannya, dan membawa kepada melihat Allah Yang Maha Esa. Tiada suatu yang lain daripada Allah bagi mereka yang dikurniakan sampai kepada Allah dan mencapai kemanisan pertemuan itu”


(2) Gambaran bahawa zikruLlah itu adalah keenakan ‘bertemu’ Allah S.W.T. Selaras dengan Hadis Nabi S.A.W;


الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه، فإن لم تكن تراه فإنه يراك

“Ihsan itu ialah kamu menyembah Allah S.W.T seolah-olah kamu melihatNya, sekiranya kamu tidak merasai sedemikian, maka sesungguhnya Dia memerhatikanmu.”

(Shahih Muslim)

قال رسول الله ﷺ: من أحب لقاء الله أحب الله لقاءه، ومن كره لقاء الله كره الله لقاءه فقلت: يا نبي الله: أكراهية الموت فكلنا نكره الموت، قال: ليس كذلك؛ ولكن المؤمن إذا بشر برحمة الله ورضوانه وجنته، أحب لقاء الله فأحب الله لقاءه، وإن الكافر إذا بشر بعذاب الله وسخطه كره لقاء الله فكره الله لقاءه متفق عليه،

“Daripada Saidatina Aisyah R.A, Baginda S.A.W bersabda: “Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya. Sesiapa yang benci bertemu Allah, Allah juga benci bertemu dengannya.”

“Saidatina Aisyah R.A bertanya: Wahai Nabi Allah, adakah yang dimaksudkan itu tidak inginkan kematian sedangkan kita semua tak ingin mati?”

“Baginda S.A.W menjawab: Bukan begitu, yang dimaksudkan ialah, orang beriman apabila diberitakan dengan rahmat, keredhaan dan syurgaNya, maka dia akan merasakan suka bertemu Allah S.W.T. Manakala orang kafir, apabila diberitakan dengan azab Allah dan kemurkaanNya, maka dia tidak ingin bertemu Allah, dan Allah tidak ingin bertemu dengannya.”


Orang kafir yang keseorangan

(1) Syed Qutb menyatakan lagi mengenai orang-orang kafir yang mengambil sikap menolak ‘zikruLlah’. Menggambarkan perasaan mereka yang enggan bertemu Allah S.W.T;


والتعبير ينسق بين الإعراض والعرض متقابلين في المشهد، متقابلين في الحركة على طريقة التناسق الفني في القرآن.

“Syed Qutb menyatakan: “Pengungkapan ayat ini menyeimbangkan di antara penolakan zikruLlah mereka itu dengan pendedahan neraka (di hadapan mereka), dan menjadikannya dua perkara yang setanding dalam pemandangan dan harakat mengikut kaedah perimbangan yang seni dalam al-Quran”

ويعقب على هذا التقابل بالتهكم اللاذع والسخرية المريرة:

“Kemudian penandingan itu diiringi dengan kecaman yang pedih dan ejekan yang pahit;”

أَفَحَسِبَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ أَن یَتَّخِذُوا۟ عِبَادِی مِن دُونِیۤ أَوۡلِیَاۤءَۚ إِنَّاۤ أَعۡتَدۡنَا جَهَنَّمَ لِلۡكَـٰفِرِینَ نُزُلࣰا

“Apakah orang-orang yang kafir itu menyangka bahawa mereka boleh mengambil hamba-hamba-ku sebagai pelindung pelindung selain daripadaku sesungguhnya kami telah pun menyediakan neraka jahanam kepada orang-orang yang kafir sebagai tempat keramaian.”


(al-Kahfi: 102)


(2) Iaitu ‘menghamparkan’ neraka di hadapan mata mereka ‘setanding’ dengan keingkaran yang mereka lakukan iaitu menolak zikruLlah yang dihuraikan tadi.

(3) Sebab itulah di akhir Surah al Kahfi menceritakan bahawa mengenai golongan yang mengharap bertemu Allah S.W.T selaras dengan pengertian zikruLlah.

Berbeza dengan orang kafir yang takut untuk bertemu Allah S.W.T. Mereka berharap untuk hidup selama lamanya dan tidak bersedia dengan kematian.

Bertuhankan ideologi sesat

(1) Kecaman Allah S.W.T terhadap orang kafir di dalam ayat 102 tadi menggambarkan bahawa sembahan sembahan sesat mereka itu tiada apa apa kuasa untuk menyelamatkan mereka di hadapan Allah.

Syed Qutb menyatakan;


أفحسب الذين كفروا أن يتخذوا مخلوقات الله المستعبدة له أنصارا لهم من دونه، ينصرونهم منه ويدفعون عنهم سلطانه؟ إذن فليلقوا عاقبة هذا الحسبان: إنا أعتدنا جهنم للكافرين نزلا . ويا له من نزل مهيأ للاستقبال، لا يحتاج إلى جهد وانتظار؛ فهو حاضر ينتظر النزلاء الكفار !.

“Maksudnya, apakah orang-orang kafir itu berfikir bahawa mereka boleh menjadikan makhluk-makhluk Allah yang tunduk kepadaNya itu sebagai penolong penolong mereka selain daripada Allah? Iaitu sembahan sesat itu boleh menolong mereka dari azab Allah dan mempertahankan mereka daripada kekuasaan Allah? Jika begitu silalah terima akibat berfikir seperti ini”


(2) Allah S.W.T menggambarkan bagaimana di saat manusia tiada sesiapa yang boleh menyelamatkan mereka di saat mereka berhadapan dengan Allah S.W.T.

Tiada siapa yang mampu menyelamatkan mereka, sekalipun tuhan tuhan sembahan mereka selain dari Allah selama di dunia. Mereka menggunakan sistem selain daripada Islam, sebagai cara hidup.

(3) Syed Qutb membawa huraian al Quran dengan begitu ‘hidup’. Merasakan seperti benar-benar sedang berinteraksi dengan al Quran. Orang orang yang kufur dengan Allah S.W.T di atas dunia dahulu, mereka menjadikan ideologi mereka sebagai tuhan.

Menganggap ideologi sesat mereka itu menyelesaikan masalah manusia. Maka di akhirat nanti ideologi ini langsung tidak dapat dihujahkan di hadapan Allah S.W.T.

Ayat-ayat al Quran ini seolah olah sedang menghentak hati hati manusia yang lena ketiduran. Tidak sedar bahawa mereka akan dibangkit dan akan berhadapan dengan hari pembalasan.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/2/2020

- Advertisement -