Wan Ji lupa dirinya tidak berakhlak dalam politik

- Advertisement -

KENYATAAN lucu daripada seorang bekas penasihat agama bagi Kerajaan DAP di Pulau Pinang, Wan Ji apabila tulisan beliau disiarkan dalam satu portal bertarikh 10 Februari 2020 yang bertajuk “Presiden PAS Perlu Berakhlak Dalam Berpolitik”.

Beliau hanya meneruskan tohmahan lapuk dengan memainkan sentimen ‘takfiri‘, politik pintu belakang, perkauman dan gelaran ‘munafiq‘ hasil ekstremis konon dari PAS. Sedangkan semua tersebut merupakan tohmahan yang dipolemikkan dengan niat jahat sejak dahulu.

Hakikatnya, beliau sendiri secara jelas tidak berakhlak dalam politik apabila menghina institusi Raja yang diamalkan dalam pentadbiran Malaysia sejak dahulu serta memanggil dengan gelaran ‘syaitan’. Malahan perancangan menghapuskan institusi Raja pada tahun 2030 yang kantoi dalam video ditularkan adalah pintu belakang yang teramat jahat lagi merosakkan sistem pemerintahan di Malaysia sedia ada.

Wan Ji sebenarnya tidak faham apa itu ‘akhlak’ menurut perspektif agama Islam yang sebenar. Jika benar faham, mengapa masih bersekongkol dengan parti yang jelas perjuangan mereka bersifat Cauvinis dan anti Islam. Lihat sahaja era kerajaan baharu yang semakin menggelisahkan umat Islam apabila terlalu banyak isu berkaitan sensitiviti dan maslahat ummah dirobek sedikit demi sedikit.

Bila bercakap soal akhlak mesti menepati al-Quran dan al-Sunnah dan melaksanakan kedua-duanya. Sebab itu, disebutkan jika mahu akhlak Rasulullah S.A.W maka lihatlah al-Quran. Apa sahaja yang al-Quran perintah maka laksanakan, dan begitu apa sahaja yang al-Quran larang, maka mesti ditinggalkan. Tidak dinamakan berakhlak jika melawan perintah agama sekalipun bercakap dengan suara lunak.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِیمࣲ * فَسَتُبۡصِرُ وَیُبۡصِرُونَ * بِأَییِّكُمُ ٱلۡمَفۡتُونُ * إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِیلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ * فَلَا تُطِعِ ٱلۡمُكَذِّبِینَ * وَدُّوا۟ لَوۡ تُدۡهِنُ فَیُدۡهِنُونَ * وَلَا تُطِعۡ كُلَّ حَلَّافࣲ مَّهِینٍ

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. Maka (tidak lama lagi) engkau akan melihat, dan mereka juga akan melihat. Siapakah orangnya yang gila di antara kamu semua. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah). Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu). Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya)”

(Al-Qalam: 4 – 10)

Sikap menempel pada nama ulamak namun perbuatan ditunjukkan adalah tidak selari dengan kehendak ulamak tersebut adalah sikap yang jijik. Beliau menempel pada nama Syeikh Bin Bayyah dalam merujuk ‘akhlak’ bagi contoh namun perbuatan beliau sendiri tidak berakhlak dalam tindakan menghina institusi Raja dan terus tohmah fitnah dalam polemik takfir adalah tidak selari.

Malah inilah perangai Khawarij iaitu kumpulan yang menempel pada ayat al-Quran namun manipulasi kehendak dengan cara yang batil. Sebagaimana Khawarij apabila ditanya oleh Ibn Abbas kepada mereka mengapa mereka tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Tahkim antara Sayiduna Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian, mereka menempel pada ayat:


إن الحكم إلا لله

Walhal apa yang dilakukan menerusi Majlis Tahkim adalah selari dengan perintah Allah dalam menyelesaikan perselisihan dengan mengutus wakil hakim (orang yang boleh buat keputusan) sebagaimana firman-Nya:


وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَیۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُوا۟ حَكَمࣰا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمࣰا مِّنۡ أَهۡلِهَاۤ إِن یُرِیدَاۤ إِصۡلَـٰحࣰا یُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَیۡنَهُمَاۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِیمًا خَبِیرࣰا

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

[An-Nisa’: 35]

Kisah yang dibawa dalam tulisan Wan Ji berkisar sejarah Sahabat adalah benar namun dimanipulasi untuk kepentingan beliau dalam situasi semasa. Sedangkan beliau yang perlu belajar mengenai akhlak dalam berpolitik. Jangan kerana kepentingan kedudukan, jawatan dan menjaga periuk nasi beliau terus menerus fitnah, tohmah, menempel pada nama ulamak dan memanipulasi ayat.

Berakhlak dalam berpolitik ialah kita teguh dengan kebenaran. Tegas pada berprinsip dan toleransi pada tempat yang dibenarkan. Al Quran sendiri membenarkan kita berbuat baik pada orang kafir yang tidak ekstremis namun melarang berbaik pada orang kafir yang ekstrem. Ini namanya berakhlak.

Firman Allah S.W.T:


لَّا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ لَمۡ یُقَـٰتِلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَلَمۡ یُخۡرِجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِینَ * إِنَّمَا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ قَـٰتَلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ وَظَـٰهَرُوا۟ عَلَىٰۤ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن یَتَوَلَّهُمۡ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Al-Mumtahana: 8 – 9)



Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis,
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -