Usul Undi Percaya PAS resahkan blok Anwar

CADANGAN Usul Undi Percaya PAS terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad menarik perhatian negara dan juga dunia.

PAS dari blok pembangkang sanggup mencadangkan usul ini demi menjamin kestabilan negara dan memberi peluang pada Tun untuk memulihkan ekonomi.

PAS terbit keluar dari peranannya sebagai pembangkang dan menunjukkan tahap kematangan yang tinggi mengenepikan kepentingan politik dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan dalam isu ini.

Blok pembangkang dijangka tiada masalah menyokong usul ini tetapi bagaimana dengan blok kerajaan sendiri?

Dalam akhbar The Star hari ini Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dengan tegas menyatakan akan menyokong usul ini. Begitu juga Ketua Armada BERSATU Syed Sadiq dilaporkan dalam FMT bersetuju dengannya.

Dalam PH setakat ini wakil-wakil BERSATU dijangka menyokong usul yang membabitkan Ketua mereka itu dan begitulah juga 15 MP PKR yang bersama Timbalan Presiden Azmin Ali.

Bagaimana pula dengan Anwar sendiri? DAP dan PAN?

Baru di peringkat cadangan dan usul pun belum dikemukakan ke Pejabat Yang Dipertua Dewan tetapi inisiatif PAS ini telah menggemparkan semua.

Kata Presiden PAN Mohammad Sabu beliau akan mengambil pendirian Pakatan atau ‘Pakatan stand‘ sebagaimana dilaporkan The Star hari ini, tetapi apakah ‘stand’ itu?

Jelas dari kalangan kem Anwar dalam PKR, DAP dan PAN begitu serba-salah apabila berhadapan dengan isu usul ini. Ada yang mendakwa ini perangkap PAS.

Sejujurnya mereka sebenarnya berhadapan konflik yang besar. Menyokong bermakna membelakangkan Anwar. Tidak sokong bermakna membuka pintu pagar buat Tun untuk bertindak merombak Kabinetnya besar-besaran.

PAS sekadar mahu kekalkan PM yang ada melalui usul ini, ia bukan perangkap tetapi pernyataan pendirian secara terbuka.

Apa pun kita harapkan Yang Dipertua Dewan menerima usul ini dan memberi peluang kepada rakyat untuk mengetahui sikap dan pendirian masing-masing wakil mereka.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 11/2/2020

Advertisement