PH cabar Islam, kemerdekaan dan kedaulatan

- Advertisement -

BANDAR TUN RAZAK: Pemerintahan PH hari ini telah bertindak mencabar tiga teras utama terpenting negara iaitulah kesucian Islam, kemerdekaan Tanah Melayu dan juga kedaulatan pertiwi.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, ketika ini berkembang berlaku ‘Malay-bashing’ hingga berani meremehkan Islam yang diamalkan kononnya tidak tulen.

Jawabnya, sejarah telah membuktikan Islam bertapak di Tanah Melayu sejak zaman Saidina Uthman Affan R.A melalui pedagang Arab, bahkan Kesultanan Melayu mempunyai pertalian kekuarga dengan pemerintah Khalifah Turki Uthmaniyah.

Kupasan panjang lebar disyarahnya pada Ceramah Khas dan Pelancaran Muafakat Nasional Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Tapak Pasar Pagi Jalan Jujur, kelmarin.

“Kita lihat, sejarah kemerdekaan turut dipermainkan apabila diiktirafnya pengkhianat Komunis sebagai pejuang kemerdekaan. Tidak cukup dengan itu, kita melihat kini telah ada konsep ‘Malay-bashing’.

“Juga tindakan-tindakan yang meremeh-remehkan Islam yang kita amalkan kini kononnya tidak tulen,” ujarnya menempelak campur tangan dan kebiadaban serta ganggu-gugat ancaman tersebut.

Perkara tersebut kemuka beliau, antaranya dilakukan Menteri Sumber Manusia, K Kukasegaran yang mendakwa Melayu sebagai bangsa pendatang, sedangkan Kontrak Sosial membuktikan tolak ansur kaum Melayu.

Lantaran itulah seru Dr Rosni, pentingnya generasi hari ini mempelajari sejarah yang sebenar lebih-lebih lagi dalam cabaran terdapat pihak berusaha menggelapkan hakikat sejarah negara.

Turut disuarakan dalam lingkaran isu disebutnya, adalah kebimbangan terhadap ancaman kedaulatan di mana terbaharu kerajaan bertindak mengecualikan visa kepada pelancong dari China dan India.

Apatah lagi katanya, kerisauan terhadap isu hilangnya 95 peratus rekod keluar pelancong dari negara tersebut bersama pelbagai tindakan yang sangat berkaitan dengan masalah dibawa.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat sempat menyeru hadirin agar bergantung harap hanya kepada Allah walau sehebat mana strategi dirancang.

“Kita perlu jelas bahawa asas perjuangan kita mestilah berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah dan kita sendiri bersama pada hari ini kerana suruhan Allah untuk bertolong bantu ke arah kebaikan dan takwa.

“PAS sejak awal penubuhannya konsisten memperjuangkan tertegaknya pemerintahan Islam serta hukum-hukumnya di negara ini ke arah mencapai redha Allah.

“Kita mengucapkan tahniah kerana Umno juga telah menzahirkan komitmennya untuk bersama perjuangan kita dengan pindaan perlembagaan mereka yang meletakkan Islam sebab agenda utama,” ucap beliau.

Hadirin juga diseru untuk bangkit bersama Muafakat Nasional kerana ini adalah perjuangan bangsa dan agama untuk generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -