Munajat ikat Muslimat-Wanita dan kaum hawa

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Muslimat PAS Kawasan bersama Wanita Umno Bahagian bagi Parlimen Kepala Batas buat julung kalinya berganding bahu mengadakan majlis bacaan Yasin, Solat Hajat dan Munajat di Penaga, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program ini menjadi jambatan penghubung silaturahim dan mengukuhkan lagi kerjasama antara Muslimat  PAS dan Wanita Umno serta juga masyarakat setempat khususnya golongan wanita.

Di dalam berhadapan kemelut suasana semasa yang tidak menentu, hak-hak umat Islam dan akidah semakin terancam, maka sudah pastilah Allah menjadi tempat pergantungan pertama umat Islam memohon pertolongan.

Begitu juga ke arah menyuntik kekuatan untuk berdepan cabaran pihak-pihak yang berani mengajukan tuntutan kesamarataan terutama golongan Liberal di mana semakin biadab dan angkuh.

Lebih-lebih lagi pula dengan penularan serta ancaman virus Corona, influenza A dan sebagainya, sekali gus program ini mengajak seluruh masyarakat kembali memohon dan bermunajat kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Sambutan hangat diterima daripada masyarakat sekitar juga melambangkan penerimaan Muafakat Nasional khususnya dalam kalangan penduduk setempat di mana kehadiran dianggarkan sekitar 300 orang.

Majlis ini turut dihadiri wakil Kariah, Muhammad Mohd Ali yang melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan muafakat ummah kedua parti Melayu Islam ini dan berharap ianya berkekalan untuk selamanya. 

Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Kepala Batas, Ustazah Aliah Harun dalam tazkirahnya menggariskan cara menjaga iman iaitu dengan menuntut ilmu, ikhlas, menjaga ibadah dan istighfar.

Disamping itu nasihatnya agar tidak melakukan dosa, selalu berdoa, melawan hawa nafsu dan bertawakal kepada Allah S.W.T.

Hadir sama, Datin Seri Ismalina Ismail, isteri kepada Ahli Parlimen Kepala Batas, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican. – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -