MN kekang penjajahan baharu cuba dibawa DAP

- Advertisement -

BANDAR TUN RAZAK: Tindakan dan terbitan yang menghina kedudukan orang Melayu, adat serta acara keagamaan orang Islam sangat banyak disiarkan di internet seperti cendawan tumbuh selepas hujan sejak PH memerintah negara ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, keadaan sewenang-wenang terjadi itu bagaikan tiadanya perundangan yang menjamin kedudukan Muslim dan agama Islam di dalam negara ini.

Beliau mengupas isu tersebut pada Ceramah Khas dan Pelancaran Muafakat Nasional Parlimen Bandar Tun Razak di Tapak Pasar Pagi Jalan Jujur, di sini kelmarin.

Menurutnya, ancaman terhadap agama Islam di negara ini sungguhpun telah berlaku sejak kewujudan Kumpulan Artikel 11, tetapi kemuncak kebiadaban secara berani mereka apabila menuntut untuk orang Islam dibenarkan murtad.

Kumpulan itu juga maklumnya, terdahulu telah membentuk pakatan NGO iaitu COMANGO yang telah mengajukan begitu banyak tuntutan tidak masuk akal di mana kini ramai anggotanya berada dalam kerajaan memerintah ketika ini.

“Jadi hari ini tak pelik kalau berlaku benda yang kita rasa tidak munasabah dalam negara kerana pembuat dasar kerajaan hari ini sebahagiannya telah dianggotai mereka yang menjadi ancaman kepada kedudukan Melayu-Islam,” bidasnya.

Hujahnya juga, DAP dilihat menjadi ketua kepada PH apabila banyak dasar yang dibuat pasca PRU14 menafikan tonggak-tonggak penting dalam Perlembagaan Negara sedangkan ia selama ini menjadi paksi keharmonian Malaysia.

Beliau mengemukakan antaranya Bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan yang dihina kedudukannya apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan pekeliling rasmi kementerian dalam Bahasa Mandarin.

Begitu juga hurainya, Rukun Negara yang menjadi projek dasar negara oleh kerajaan dahulu untuk mengembalikan keharmonian rakyat dari tragedi 13 Mei 1969, tetapi bibitnya kini sedang berulang oleh semangat perkauman ditiupkan.

“Selepas petistiwa berdarah tersebut, Rukun Negara dijadikan panduan dan antara asas penting di dalamnya ialah Keluhuran Perlembagaan yang menjadi paksi kepada kesejahteraan negara.

“Di antara asas penting Perlembagaan Negara kita ialah pengiktirafan kepada kaum Melayu Bumiputera yang telah bertolak ansur memberi kewarganegaraan kepada rakan Tionghua dan India dibawa masuk ke negara ini oleh penjajah British.

“Sebagai balasan kepada tolak ansur tersebut, ada hak-hak keistimewaan tertentu diberikan kepada kaum Melayu Bumiputera yang dinamakan Kontrak Sosial. Beginilah masyarakat Malaysia hidup dalam keadaan tolak ansur.

“Orang Melayu bertolak ansur menerima kaum lain, dan kaum Cina serta India mengiktiraf kedudukan dan keistimewaan orang Melayu Bumiputera di Malaysia,” peringatnya.

Justeru tegasnya, Muafakat Nasional yang sedang dijayakan kini adalah kunci untuk menyelamatkan Malaysia dari penjajahan baharu diketuai DAP di mana misi besar tersebut mesti didukung oleh semua. – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -