Kerja kebajikan usaha suntik ‘nur’ pada masyarakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Melaksanakan gerak kerja di dalam PAS antaranya menerusi kebajikan adalah termasuk dalam usaha mengeluarkan masyarakat daripada kegelapan kepada nur atau cahaya.

- Advertisement -

Pemahaman itu disuntik sebagai satu motivasi yang dipetik dari maksud ayat 17 surah al-Baqarah oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin pada Konvensyen Kebajikan Nasional.

Program anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat ini telah dilangsungkan di Dewan Seri Kasih, Bandar Tun Hussein Onn, di sini kelmarin.

Antara tafsiran nur itu termasuklah menerima kebaikan dan kesejahteraan di bawah naungan agama Islam hinggalah tertinggi mendapat hidayah daripada Allah S.W.T, diampun dan diredhai-Nya.

Menurut Tuan Guru, sejak didaftarkan pada tahun 1951, PAS yang berjuang dengan teras akidah, ibadah dan syariah berusaha memandu masyarakat kepada keredhaan Allah seiring gerak kerja.

Akuinya, resolusi daripada konvensyen diadakan ini telah memperlihatkan usaha-usaha dilakukan PAS adalah ke arah mencapai matlamat berkenaan serta berada di landasan yang betul.

“Ini yang kita harap kerja kita banyak (disamping) peranan kita yang diperlukan dalam masyarakat pun cukup banyak. Itu persembahan kita kepada (masyarakat) penonton (yang memerhati),” ujarnya.

Lantaran itulah nasihatnya, setiap kebajikan agar diredhai Allah, mestilah dilakukan dengan keikhlasan sebagaimana diperingatkan Allah kepada Rasulullah menerusi perantaraan Malaikat Jibril.

Jelasnya, Rasulullah telah berpesan dengan bersungguh-sungguh mengenai kepentingan keikhlasan itu kerana ia melibatkan antara hamba dan Tuhannya yang mesti menjadi dasar kerja atau amalan. – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -