Institusi Islam-Melayu terancam bawah PH?

- Advertisement -

BERDASARKAN kepada Fasal II Perlembagaan DAP, matlamat utama penubuhannya adalah untuk mensekularkan Malaysia dan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Di atas asas ini, walaupun Perlembagaan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan”, pemimpin DAP telah terus-terusan mempertikaikan kewujudan institusi-institusi Islam di negara ini.

Lama sebelum seruan supaya JAKIM dimansuhkan berkumandang, ia terlebih dulu disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Zairil Khir Johari, yang menyebut dalam portal berita Malay Mail Online pada 27 Jun 2015:

1. “Mengapa kita perlu ada JAKIM?”
2. “Kuasa JAKIM bercanggah dengan Jadual 9 Perlembagaan Malaysia.”

Di atas asas ini, walaupun Perlembagaan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, pemimpin DAP telah terus-terusan mempertikaikan kewujudan institusi-institusi Melayu di negara ini.

Paling mendapat perhatian pemimpin DAP ialah UiTM, sebuah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang telah melahirkan sebegitu ramai cendekiawan dan profesional Melayu dan Bumiputera.

Lim Kit Siang, waktu itu Pengerusi DAP, menyebut pada 3 Jun 2002 bahawa Kabinet dan Parlimen hendaklah mempertimbangkan dengan serius supaya institusi-institusi pendidikan yang dikhususkan kepada Bumiputera seperti UiTM membuka pintunya kepada semua kaum.

Karpal Singh, waktu itu Pengerusi DAP, menyebut perkara yang sama pada 13 Ogos 2008, dengan berkata Malaysia tidak patut mengamalkan _apartheid_ dan masanya sudah tiba untuk semua institusi pendidikan tinggi dibuka kepada semua rakyat Malaysia.

Begitu juga dengan M Kulasegaran, yang waktu ini Timbalan Pengerusi DAP, menyebut perkara yang sama pada 1 Oktober 2013, dengan berkata kemasukan pelajar ke UiTM perlu dibuat berasaskan merit, dan pelajar bukan-Islam juga perlu diterima belajar di UiTM.

Oleh itu, apakah jaminan bahawa institusi-institusi Islam dan Melayu akan terus bertahan di bawah Pakatan Harapan?

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -