‘Dark Ages’, ‘Deep State’, ‘Fake News’, ‘Rule & Divide’

- Advertisement -

LIM GUAN Eng semalam telah memulakan retorik ‘Dark Ages’ beliau dengan mengatakan bahawa Malaysia akan kembali ke Zaman Gelap di bawah sebuah kerajaan yang didominasi oleh orang Islam yang memusuhi minoriti bukan Islam sekiranya kerjasama Pakatan Nasional menjadi kenyataan. Ini adalah kenyataan cukup tidak bertanggungjawab dari seorang ahli politik yang cuba menakut-nakutkan orang bukan Islam di dalam negara.

Saya percaya jika ada kalangan ahli politik PAS mahupun Umno yang berkata demikian, sudah beratus report polis akan dibuat oleh ahli-ahli parti politik PH dan akan dikatakan cuba menghasut rakyat dengan perkara yang tidak benar atau cuba membawa ‘Fake News’ untuk menggusarkan masyarakat. Bagi saya, ini adalah kenyataan yang bahaya, cuba menghasut rakyat serta boleh mengancam keharmonian masyarakat berbilang agama, bangsa dan kaum dalam negara.

Bagi saya Lim Guan Eng sebenarnya adalah pembawa ‘Deep State’ dalam negara dengan kenyataan-kenyataan sebegini. Cuba menakutkan orang bukan-Islam dalam negara dengan retorik jijik dan kotor. Inikah tingkah laku dan akhlak seorang ahli politik kanan bertaraf Menteri? Sebenarnya kita telah salah pilih dengan memilih orang yang cuba memecahkan-belahkan masyarakat sebagai pemimpin.

Sepatutnya pemimpin menyatukan rakyat, mendamaikan malah mengharmonikan masyarakat berbilang agama, kaum dan bangsa dalam negara. Inilah yang dilakukan penjajah dahulu ke atas masyarakat iaitu ‘Rule & Divide‘, memerintah dengan memecah-belahkan masyarakat dengan stigma dan menabur fitnah untuk menakutkan masyarakat terhadap satu sama lain.

Inilah Zaman Gelap yang cuba dibawa oleh Lim Guan Eng terhadap masyarakat kita, menakutkan masyarakat dengan perkara yang tidak pernah terjadi ataupun tidak akan terjadi. Malaysia bukan Zimbabwe, Malaysia bukan seperti negara haram Israel malah Malaysia tidak sama seperti Afrika Selatan ketika zaman Apartheid malah Malaysia tidak sama dengan Amerika Syarikat sekarang yang cuba menghancurkan Palestin dengan menghalalkan penjajahan rejim Israel.

- Advertisement -

Orang Melayu Islam di Malaysia tidak sama dengan White Nationalist di Amerika Syarikat atau di serata Eropah sekarang yang menindas kaum minoriti dalam negara mereka. Sejak Merdeka, orang Melayu Islam tidak pernah bertindak seperti di Zimbabwe atau Afrika Selatan ketika zaman Apartheid dahulu yang merampas hak minoriti, tidak pula bertindak merampas tanah mahupun rumah kediaman seperti Rejim Israel.

Baik Umno memerintah negara dahulu, baik PAS yang memerintah Kelantan dan Terengganu sekarang serta Kedah dahulu, tidak pernah lagi menindas orang bukan Islam malah cuba memundurkan negara mahupun negeri yang diperintah. Malaysia bukan Afghanistan, Syria atau Iraq, orang-orang Melayu Islam dalam negara masih lagi waras dan berpegang pada ajaran agama Islam dan menghormati hak serta Perlembagaan Negara.

Tidak cukup itu, ditohmah pula pimpinan PAS sangat memusuhi Barat dan teknologi moden. PAS tidak memusuhi mana-mana negara Barat tetapi PAS membantah tindakan Barat yang bersikap double standard terhadap Islam dan umatnya termasuk kegagalan mengekang retorik Islamophobia serta menghalalkan penjajahan rejim Israel ke atas Palestin. Malah PAS kerap kali menerima kunjungan hormat Duta-duta negara Barat dan juga melakukan kunjungan hormat ke atas mereka.

Bukan itu sahaja, PAS juga melakukan kunjungan ke atas paderi-paderi besar gereja sama ada dalam atau luar negara. Bukan hanya paderi agama Kristian, malah juga ke atas ketua agama lain seperti Buddha dan Hindu. Adalah amat malang jika seorang Menteri Kanan Kerajaan berkata PAS memusuhi teknologi moden. Mungkin akibat terlampau banyak politiking, Lim Guan Eng langsung tidak mengetahui kemajuan teknologi dan alam maya yang sedang diusahakan di Terengganu mahupun Kelantan.

Inilah akibat terlalu banyak politiking, segala teori ‘Dark Ages’ cuba diketengahkan untuk menakutkan rakyat. PAS tidak pernah menolak kemajuan tetapi biarlah kemajuan itu bermanfaat kepada rakyat dan membangunkan negara dan bukan untuk pekerjaan mahupun perbuatan yang sia-sia serta mendatangkan dosa dan musibah kepada rakyat dan negara.

Lim Guan Eng usahlah jadi duri dalam daging dan api dalam sekam yang cuba porak–perandakan keharmonian pelbagai agama, kaum dan bangsa dalam negara. Usah jadi pembawa matlamat ‘Deep State’ untuk menakutkan masyarakat. Kepada rakyat, usahlah percaya kepada Lim Guan Eng, kelak susah kita nanti. Jika benar pun akan wujud Pakatan Nasional, ia adalah untuk kebaikan dan masa depan negara. Namun adakah kita perlu percaya kepada beliau? Sejarah tidak pernah berdusta.

Sebelum PRU14.
(1) Tol akan dihapuskan.
(2) Minyak akan turun harga.
(3) Harga barangan keperluan akan turun.
(4) Ekonomi akan bertambah baik.
(5) Peluang pekerjaan akan bertambah.
(6) Gaji minima akan dinaikkan
(7) PTPTN akan dihapuskan.
(8) Banyak lagi janji.

Selepas PRU dan menjadi Kerajaan, adakah ini semua ditunaikan setelah berjanji?

7 Februari lalu, Lim Guan Eng berkata jangan sebar berita palsu berkaitan Pakatan Nasional.
https://www.facebook.com/31373189944/posts/10151953964019945/?d=n

9 Februari lalu, Lim Guan Eng berkata PAS keliru berhubung undi percaya.
https://www.facebook.com/323440711827/posts/10156957880776828/?d=n

Semalam, 10 Februari, Lim Guan Eng berkata lagi, Negara akan hadapi zaman gelap seperti Kelantan jika PAS berkuasa.

https://www.facebook.com/323440711827/posts/10156960439436828/?d=n

Ini terjadi setelah bertiup kencang berita ura-ura kewujudan Pakatan Nasional, iaitu pakatan antara PAS, Umno dan PPBM.

Persoalan saya, siapa yang keliru sebenarnya? Dalam masa beberapa hari kenyataan Lim Guan Eng cukup bercelaru dan teramat keliru. Mula-mula palsu kemudian tiba-tiba muncul Zaman Gelap, inikah orang yang kita mahu kekalkan jadi pemimpin? Jika pemimpin utama DAP begini, rasanya samalah juga dengan pemimpin-pemimpin DAP yang lain termasuk parti yang kuat menyokongnya.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -