Usul Percaya tanda kematangan PAS berpolitik

- Advertisement -

MESYUARAT bulanan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, kelmarin, telah memberikan satu bukti nyata terhadap kematangan PAS dalam berpolitik, sehingga terhasil satu idea dan keputusan yang cukup bijak.

Menerusi mesyuarat tersebut, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mencapai kata sepakat untuk PAS mengorak langkah mengemukakan Usul Percaya ke sidang Parlimen bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sehingga PRU15.

Keputusan tersebut telah dijelaskan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan telah diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam sidang medianya di Pejabat Agung PAS kelmarin setelah selesainya mesyuarat tersebut.

Tugas mengemukakan Usul Percaya itu akan diserahkan kepada Ahli-ahli Parlimen PAS untuk dikemukakan dalam sidang Parlimen terdekat yang akan bermula pada awal Mac hingga pertengahan April ini, sebagai satu
usaha untuk meredakan ketidakstabilan politik negara yang kini dilihat mengganggu Perdana Menteri menjalankan tugasnya.

Sememangnya, Usul Percaya merupakan suatu perkara yang asing bagi rakyat negara ini. Sebelum ini, rakyat negara ini malah mungkin di seluruh dunia tidak pernah mendengar Usul Percaya. Sebaliknya, yang pernah didengar dan diketahui oleh orang ramai adalah Usul Undi Tidak Percaya, bukan Usul Percaya. 

Justeru, tidak hairanlah sebaik sahaja keputusan itu diumumkan oleh Takiyuddin, seluruh penduduk negara ini terus kecoh, sehingga ahli-ahli dan para penyokong Pakatan Harapan (PH) menjadi seperti cacing kepanasan dan burung murai yang berkicau tidak tentu hujung pangkal di media sosial. 

Dalam cakap-cakap yang tidak tentu hujung pangkalnya itu, ada di antara mereka yang begitu lantang bersuara dengan mulut seperti tidak kenal dosa pahala membuat pelbagai tuduhan tanpa asas terhadap PAS, tanpa langsung tidak cuba memahami tujuan sebenar PAS membawa usul itu ke Parlimen.

Jika hendak diulas apa yang mereka katakan, ceritanya menjadi amat panjang dan ia juga mungkin bukan sesuatu yang perlu dan mendesak untuk diulas, tetapi daripada reaksi mereka itu ternyata menunjukkan mereka sendiri bagaikan terduduk dan terpaku dengan idea dan keputusan PAS itu.

Mereka baik di peringkat pemimpin dan penyokong biasa tentunya tidak menyangka sama sekali PAS yang difitnah, dihina, dikutuk, diejek, dipersendakan oleh mereka selama ini mampu mencetuskan idea dan membuat keputusan sehebat itu sehingga menyebabkan PAS muncul sebagai parti ulung di negara ini yang membawa Usul Percaya ke Parlimen. 

Itu baru cerita awal sebelum usul itu dikemukakan di Parlimen. Setelah dikemukakan usul itu nanti, ceritanya pasti akan menjadi lebih menarik sehingga mampu mengubah landskap politik semasa tanah air bagi kepentingan negara.

Usul tersebut akan dihantar oleh Ahli Parlimen PAS kepada Pejabat Speaker Dewan Rakyat paling kurang seminggu sebelum sidang Parlimen terdekat berlangsung. Jadi, ia terserah kepada Speaker sama ada meluluskan, membenarkan atau tidak untuk usul itu dikemukakan oleh Parlimen PAS di Parlimen selepas ini.

Di kalangan pemerhati politik, ada yang mengatakan usul tersebut jika dibenarkan oleh Speakar untuk dikemukakan oleh PAS di Parlimen boleh mendatang kesan amat buruk kepada PH, sehingga boleh menyebabkan kerajaan PH hancur seperti yang sedang difikirkan dan amat ditakuti oleh para pemimpin dan para penyokong PH sendiri sekarang.

Selain itu, ada juga pemerhati politik yang mengatakan usul tersebut akan mendatangkan kesan buruk kepada PAS dan pembangkang sendiri, sehingga boleh memusnahkan Muafakat Nasional (MN) yang telah dirancangkan dan semakin mendapat sambutan hangat sekarang dari kalangan rakyat negara ini tanpa mengira bangsa.

Tentunya, PAS selaku parti yang sudah cukup berpengalaman dan matang serta bertanggungjawab kepada agama, bangsa, negara dan kepada seluruh penduduk negara ini tanpa mengira bangsa pasti telah menyuluh dengan jelas semua itu. Keputusan yang dibuat itu diyakini tidak akan menikam diri sendiri dan tidak akan mendatangkan keburukan kepada MN. 

Sebaliknya dalam masa yang sama, PAS dan Umno serta parti-parti lain yang turut bergabung dalam MN sendiri pula semakin memperkuatkan tekad dan keazaman masing untuk melipatgandakan usaha bagi memperkasakan lagi MN demi kepentingan seluruh rakyat negara ini. Malah idea dan keputusan itu diyakini turut terangkum dalam semangat MN.

AZIZ MUDA – HARAKAHDAILY 10/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -