Parlimen seluruh dunia mesti usul tolak

Pelan Damai US-Israel 'Deal of the Century'

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penentangan dan penolakan terhadap Pelan Damai Amerika Syarikat(US)-Israel iaitu ‘Deal of the Century’ perlu digerakkan kerana rancangan US itu bertujuann memperluaskan hegemoni Zionis dalam projek Israel Raya.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman selaku anggota Ahli Parlimen untuk Al-Quds berkata, seluruh Ahli Parlimen dan masyarakat sivil mesti ke hadapan bagi usaha tersebut demi membebaskan al-Quds dari cengkaman Israel.

Beliau mengutarakan perkara tersebut pada sesi Serantau: Asia Tenggara di Persidangan Liga Ke-3 ‘Ahli Parlimen untuk Al-Quds’ yang membawa tema “Ke Arah Strategi Membela Al-Quds” di Hotel One World, Petaling Jaya pada 7 Februari dan berakhir semalam.

Jelas beliau, usaha tersebut mesti dijayakan dengan membawa usul berkenaan ke Parlimen negara masing-masing di mana US dan Israel harus dikenali sebenarnya sebagai ‘Steal of the Century’ ke atas tanah Palestin dan Al-Quds.

“Usaha ‘Humanitarian Effort’ (Bantuan Kemanusiaan) kepada rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza yang sedang terkepung dan ditindas oleh rejim Isreal sangat mustahak untuk diteruskan dengan pengembelengan maksimum dari semua negara.

“Tahniah kepada komuniti Muslim Thailand yang sangat aktif menggerakkan dana bantuan kemanusiaan sehingga hari ini dan saya cadangkan supaya Ahli-ahli Parlimen ASEAN melakukan kunjungan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza untuk menunjukkan solidariti yang berterusan kepada mereka.

“Setiap Parlimen sewajarnya dengan segera mewujudkan ‘Kaukus Parlimen Untuk Palestin’ secara formal agar dapat menyusun dan mengambil langkah yang lebih aktif dan berkesan kepada kempen antarabangsa membebaskan Al-Quds,” serunya.

Menurutnya juga, pihak Ahli Parlimen untuk Al-Quds juga perlu bersedia menjadi badan perundingan atau konsultatif ke arah mewujudkan perdamaian dan permuafakatan semua pihak badan pembebasan atau kumpulan pejuang Palestin sama ada FATAH, HAMAS, Jihad Islam, Hezbullah dan lain-lain.

Tegasnya, pertelingkahan di antara mereka perlu dipulihkan dan disatukan di bawah satu meja perundingan untuk kesatuan yang jitu dalam kalangan kumpulan sebagai mewakili ummah untuk Pembebasan Palestin.

Ustaz Tarmizi mengangkat Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional di Malaysia sebagai model sangat relevan untuk dijadikan contoh bersama dan diikuti oleh semua pihak.

“Tahniah kepada penganjur atas kejayaan menganjurkan persidangan yang sangat besar dan sangat bermakna untuk kelangsungan perjuangan membebaskan Palestin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -