MKI dan JAKIM sah di sisi Perlembagaan

BARU-baru ini dalam satu forum yang dianjurkan oleh G25 sempena pelancaran laporan Administration of Matters Pertaining to Islam, ia menyatakan bahawa kedudukan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan JAKIM adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Dengan perkataan lain, Majlis Raja-raja (MRR) dalam membuat keputusan penubuhan kedua-dua institusi ini telah bertindak di luar dari bidang kuasa yang diberi dalam Perlembagaan.

Persoalannya, apakah MRR tidak mendapat nasihat pakar undang-undang dalam hal ini? Merujuk kepada amalan di Malaysia, penasihat undang-undang negara adalah Peguam Negara. Justeru, sudah tentu tindakan MRR telah mendapat nasihat dari Peguam Negara. Kupasan seterusnya membuktikan bahawa keputusan dan tindakan MRR menubuhkan MKI dan sekretariatnya yang kemudian dikenali sebagai JAKIM adalah mengikut Perlembagaan dan lunas undang-undang.

Perlu diketahui umum bahawa setelah negara merdeka pada tahun 1957, tidak terdapat satu badan Islam di peringkat Persekutuan. MRR dalam mesyuarat ke 81 pada 17 Oktober 1968 telah bersetuju menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Barat (MKI) mengikut fungsi dan budi bicaranya seperti yang termaktub dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Tujuan penubuhan MKI ialah bagi melaksanakan dasar penyeragaman dan penyelarasan seperti yang diperuntukkan dalam perenggan (b) fasal (1) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan. MKI secara rasminya ditubuhkan pada tahun 1 Julai 1969.

Pada 17 Jun 1971, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Barat ditukar nama kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) apabila Sabah dan Sarawak menjadi ahli Majlis.

Mengikut Peraturan 7 Peraturan MKI, tugas Majlis adalah untuk (a) membincang, menimbang dan mengurus apa-apa perkara yang dirujukkan kepada MRR, mana-mana Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atau seseorang ahli Majlis, dengan tujuan hendak memberi nasihat atau pengesyoran; dan (b) memberi nasihat kepada MRR, Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atas apa-apa perkara berkenaan dengan perundangan atau pentadbiran agama Islam dan pelajaran Agama Islam, dengan tujuan hendak memperbaiki, menyamakan atau menggalakkan persamaan undang-undang atau pentadbiran.

Dengan tertubuhnya MKI, satu sekretariat juga telah ditubuhkan bagi memberi perkhidmatan kepada MKI. Kemudian, pada tahun 1974, sekretariat ini dinamakan Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri (JPM). Pada tahun 1985 ia telah ditukar nama kepada Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), JPM. Pada tahun 1996 Kabinet telah bersetuju menaikkan status BAHEIS menjadi satu jabatan tersendiri di bawah JPM. Bagi memberi peranan yang lebih besar, mesyuarat Kabinet pada tahun 1996 telah bersetuju menjenamakan BAHEIS kepada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang secara rasminya berkuatkuasa pada 1 Januari 1997.

Dalam memastikan supaya Undang-undang Islam yang seragam digunapakai di semua negeri-negeri, MKI dalam mesyuaratnya ke 32 pada 12 Februari 1988 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Undang-undang Syarak dan Sivil. Fungsi utama Jawatankuasa ini ialah untuk menggubal, meneliti dan menyemak undang-undang Islam bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman. Pada 6 Mei 1988 Jawatankuasa ini telah mengadakan mesyuarat pertama dan memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dikenali Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil sebagai jawatankuasa bertindak dan pelaksana kepada Jawatankuasa Mengkaji Undang-undang Syarak dan Sivil yang berfungsi untuk menggubal model undang-undang Islam yang seragam bagi semua negeri di Malaysia.

Melihat kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan agama Islam di tempat istimewa berbanding dengan agama-agama lain kerana agama Islam merupakan satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan. Justeru itu, penubuhan JAKIM adalah manifestasi kepada Perkara 3(1).

Manakala Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa Raja-raja Melayu adalah Ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang beraja. Melalui Perkara 3(3) dan 3(5), Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja.

Justeru, Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong membentuk MRR seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Melalui ketetapan MRR jugalah MKI diwujudkan. Sejajar dengan itu, satu urus setia dibentuk di JPM yang dikenali sebagai JAKIM (sekarang) yang telah melalui beberapa proses penambahbaikan sejak tahun 1969.

Melalui Peraturan 15 Peraturan MKI, semua kerja pentadbiran MKI terletak di JPM dan semua kakitangannya mestilah menganut agama Islam.

Satu lagi punca kuasa penubuhan JAKIM adalah merujuk kepada Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 2019 yang dibuat di bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969 (Akta 2). Terdapat 11 peranan JAKIM seperti yang disenaraikan dalam Perintah-perintah ini, antaranya (i) menggubal dasar dan strategi bagi pembangunan hal ehwal Islam; (ii) menyelaras dan mengawal ajaran dan aktiviti untuk menjaga kesucian akidah dan Syariah Islam; (iii) menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam; (iv) menggubal dasar dan strategi bagi pembangunan industri halal; (v) menyelia dan membantu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI); (vi) menjadi urus setia bagi MKI dan semua jawatankuasa dan kumpulan kerja yang ditubuhkan di peringkat Persekutuan; (vii) menjadi urus setia bagi Jawatankuasa Muzakarah MKI (dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang kemudiannya dikenali sebagai Jawatankuasa Muzakarah Fatwa MKI); dan (viii) menjadi urus setia bagi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI).

Kesimpulannya, melihat kepada sejarah penubuhan dan kedudukan MKI dan JAKIM, agak sukar menyatakan bahawa penubuhan dua institusi ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan walaupun pada dasarnya urusan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri. Namun, kewujudan MRR dan ketetapan oleh Raja-raja bagi menubuhkan MKI adalah berlandaskan Perlembagaan di bawah peruntukan Perkara 38. Penyelarasan dan penyeragaman hal ehwal agama Islam di Malaysia merupakan peranan terpenting MKI dan JAKIM. Cadangan agar meminda Perlembagaan seperti yang terdapat dalam Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan bagi pengwujudan Majlis Tanah Negara bagi menubuhkan MKI dan JAKIM supaya penubuhan kedua-dua institusi ini nampak jelas dalam Perlembagaan Persekutuan perlu mendapat perkenan dan persetujuan MRR terlebih dahulu. Lagipun urusan tanah adalah terletak langsung di bawah kerajaan negeri dan bukannya Raja-raja. Tambahan pula, Perkara 76(1) (b) memperuntukkan bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang yang tersenarai di bawah Senarai II Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan bagi tujuan penyeragaman. Kemungkinan Parlimen keberatan mengambil bidang kuasa Raja-raja yang berkaitan hal ehwal agama Islam selagi mana ia tidak diminta berbuat demikian. Namun seandainya MRR mencadangkannya, pada hemat penulis, Parlimen akan mengambil langkah seterusnya. Tetapi pada pandangan penulis, Raja-raja agak keberatan dengan cadangan ini kerana dengan memberi kuasa kepada Parlimen menggubal undang-undang Islam untuk digunapakai di negeri-negeri kecuali bagi Wilayah-wilayah Persekutuan, ia dilihat seolah-olah hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam akan diambil alih oleh Parlimen. Malah kedudukan JAKIM tidak mengambil kuasa negeri-negeri kerana bidang kuasa hal ehwal Islam dan undang-undang Islam terletak secara eksklusif di bawah negeri.

Persoalannya, apakah kedudukan MKI dan JAKIM sekarang dianggap bercanggah dengan Perlembagaan? Sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan etnik keturunan, menentang keputusan MRR yang penubuhan, fungsi dan budi bicaranya diperuntukkan secara jelasa dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan ibarat menentang seluruh Raja-raja. Tambahan pula, sekiranya penubuhan MKI dan JAKIM dianggap bercanggah dengan Perlembagaan, bagaimanakah pula kedudukan badan-badan lain yang diwujudkan di peringkat Persekutuan seperti JAWHAR, Tabung Haji, Halal JAKIM mahupun kedudukan jawatan Menteri di JPM (Agama). Perlu diingatkan bahawa satu Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam telah ditubuhkan oleh MRR untuk melihat keseluruhan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama Islam. Jawatankuasa ini belum lagi membentang laporannya kepada MRR. Pasti dalam laporan akhirnya nanti, ada cadangan penambahbaikan kepada MKI dan JAKIM serta semua institusi agama Islam di negara ini.

PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia
(mazamadil@iais.org.my/mazamadil1966@gmail.com) – HARAKAHDAILY 10/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement