China, Uyghur dan inisiatif ‘Belt and Road’

- Advertisement -

PENINDASAN dan kezaliman terhadap bangsa Uyghur bukanlah satu perkara yang baharu malah menjadi isu antarabangsa yang menghantui Kerajaan China. Kerajaan China sejak sekian lama telah melakukan dasar penindasan terhadap orang-orang Islam berbangsa Uyghur di wilayah otonomi Xinjiang di Barat Laut China di atas sebab Komunisme yang menjadi dasar dan ideologi Kerajaan China tidak menerima sebarang agama melainkan ketaatan dan kepercayaan kepada prinsip Komunisme.

Penindasan ini makin berleluasa sejak 2016 apabila Setiausaha Parti Komunis China, Chen Quanguo berpindah dari wilayah otonomi Tibet ke wilayah otonomi Xinjiang. Namun sebenarnya, bukan bangsa Uyghur sahaja yang mengalami nasib buruk akibat Islam yang menjadi agama anutan bangsanya, ia juga berlaku di Henan dan Ningxia, dua buah wilayah yang majoritinya penduduknya beragama Islam dari bangsa Hui.

Namun bangsa Uyghur adalah yang paling dizalimi dan ditindas sekaligus mendapat liputan meluas di seluruh dunia terutamanya di kalangan Dunia Islam. Penindasan oleh Kerajaan China terhadap bangsa Uyghur mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia yang menyaksikan berpusu-pusu media antarabangsa cuba untuk menyusup masuk ke wilayah otonomi Xinjiang untuk mengetahui keadaan sebenar. Kerajaan China sedaya upaya cuba menutup ruang agar perkara sebenar tidak diketahui dunia tetapi tidak mampu menyekat maklumat dari tersebar.

Akhirnya, benar dan terbukti penindasan dan kezaliman telah berlaku malah lebih buruk daripada jangkaan masyarakat antarabangsa.

Wilayah Xinjiang

Xinjiang yang terletak di bahagian Barat Laut China adalah sebuah wilayah otonomi di China namun hakikatnya Xinjiang dikekang dan dihadkan kuasa pentadbirannya oleh kerajaan China. Walaupun secara realitinya Xinjiang patut mentadbir wilayahnya sendiri tetapi akibat cengkaman dari Kerajaan China, segala urusan pentadbirannya sekarang berada dibawah Kerajaan China.

Demografi wilayah Xinjiang telah melalui perubahan ketara sejak 70 tahun yang lalu. Pada tahun 1945, kaum Uyghur mewakili 75 peratus daripada penduduk di Xinjiang tetapi kini telah menurun kepada 45 peratus. Manakala kaum Han yang hanya berjumlah 9 peratus pada tahun 1945 kini mencapai 40 peratus daripada penduduk di wilayah Xinjiang. Penurunan tersebut terjadi akibat beberapa tindakan Kerajaan China yang berusaha mengurangkan jumlah penduduk berbangsa Uyghur sekaligus mengurangkan pengaruh Islam di wilayah Xinjiang.

Tindakan Kerajaan China bukan semata-mata hanya untuk mengekang pengaruh Islam dan bangsa Uyghur tetapi Xinjiang juga sebenarnya kaya dengan sumber alam, berkedudukan strategik serta mampu menjadi pusat pelaburan dan pembangunan. Xinjiang sebenarnya mempunyai limpahan simpanan minyak dan gas serta arang batu yang cukup banyak di perut buminya. Kedudukan Xinjiang yang bersebelahan dengan Asia Tengah juga sesuai untuk dijadikan hub perdagangan utama ke Asia Tengah mahupun ke Asia Barat.

Siapakah bangsa Uyghur

Bangsa Uyghur yang majoritinya beragama Islam berasal daripada sebuah wilayah di Negara China iaitu Xinjiang, atau lebih dikenali sebelum ini sebagai Turkistan Timur, dengan populasinya hampir 45 peratus daripada keseluruhan penduduk di Wilayah Xinjiang.

Muslim Uyghur asalnya adalah penduduk majoriti (95 peratus) Turkistan Timur yang dijajah oleh kerajaan Komunis China pada 1949, dan nama wilayah ini kemudiannya ditukar kepada Xinjiang yang kini berada di bawah cengkaman mereka. Penindasan yang dilakukan bukan sahaja kepada agama, bahkan kepada bahasa dan budaya Uyghur (bahasa Turki, agama Islam, budaya yang tersendiri).

Turkistan Timur adalah tanah air asal bangsa Uyghur yang berbahasa Turki dan orang-orang Asia Tengah lain seperti Kazaks, Kyrgyz, Tatar, Uzbek, dan Tajik. Mengikut data terkini Kerajaan China, Xinjiang mempunyai kira-kira 12 juta rakyat Uyghur. Walau bagaimanapun, sumber Uyghur menunjukkan bahawa penduduk Uyghur di Turkistan Timur adalah sekitar 20 – 30 juta orang.

Dari sudut sejarahnya, Turkistan Timur adalah sebahagian daripada Asia Tengah dan bukan dari China. Rakyat Turkistan Timur juga bukan berasal dari China, mereka adalah sebahagian daripada Turki yang berasal dari Asia Tengah.

Apa yang sedang berlaku kepada Uyghur

Nasib orang-orang Uyghur yang ditindas dan dizalimi di China bukanlah satu perkara yang tidak diketahui oleh masyarakat dunia. Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa seperti Amnesty International and Human Right Watch (HRW) telah sekian lama menyiasat dan menyiapkan laporan kemudian menyerahkannya kepada PBB. Laporan tersebut mendedahkan mengenai kem-kem yang dibangunkan untuk menempatkan jutaan rakyat Uyghur secara paksaan.

Mereka ditahan tanpa sebarang kesalahan, pertuduhan mahupun dibicarakan. Kesemua mereka dimasukkan ke kem-kem untuk didoktrinasi serta dipaksa untuk memberikan kesetiaan kepada Presiden China Xi Jinping. Malah doktrinasi tersebut dikatakan untuk menghilangkan identiti bangsa dan agama mereka. Malah boleh dikatakan keadaan di kem tersebut tidak ubah seperti penjara untuk tahanan perang.

China dikatakan telah melakukan penangkapan di bawah pertuduhan memerangi ekstremisme agama. Namun setelah sekian lama terdapat beberapa tahanan yang berjaya melarikan diri daripada kem tahanan tersebut dan secara terbuka menuduh Kerajaan China sedang melakukan pembersihan etnik, budaya dan agama ke atas bangsa Uyghur di Xinjiang dalam beberapa temu ramah dengan media massa antarabangsa.

Mengikut keterangan yang diberikan oleh wakil daripada East Turkistan Education and Solidarity Association yang berpangkalan di Istanbul, Turki ketika berada di Kuala Lumpur pada Januari 2020 baru-baru ini, keadaan terkini yang berlaku kepada bangsa mereka amat menyedihkan. Mereka mendedahkan butiran-butiran penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan China terhadap bangsa Uyghur di Xinjiang yang pada hemat saya amat tidak berperikemanusiaan dan cukup zalim.

(1) Kem pengasingan berskala besar

Dianggarkan lebih satu juta kaum Uyghur telah ditangkap dan dikurung di ribuan kem yang dibina di serata Xinjiang, China. Kerajaan China berulang kali menafikan kewujudan kem-kem tersebut dan mereka memaklumkan ianya hanyalah pusat-pusat ‘Transformasi melalui Pendidikan’ secara sukarela.

Tetapi melalui channel Youtube ‘War On Fear’ yang memuat naik sebuah video rakaman Drone menunjukkan ratusan mangsa iaitu kaum Uyghur telah di gari dan ditutup mata dengan keterangan ‘penindasan jangka panjang hak asasi manusia dan kebebasan oleh pemerintahan China di Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur’.

Rangkaian berita antarabangsa BBC turut mendedahkan rakaman–rakaman video penyusupan wartawan mereka masuk ke wilayah Xinjiang sambil merakamkan kem-kem tahanan terbabit. Malah BBC turut menyiarkan video rakaman rahsia keadaan didalam kem tersebut yang cukup menghibakan. BBC juga turut mendedahkan terdapat dokumen sulit yang mendedahkan perancangan Kerajaan China berkenaan kem-kem tahanan terbabit berserta fungsinya.

(2) Kaum wanita dimandulkan

Mengikut maklumat yang diberikan, kadar kelahiran bagi wanita Uyghur telah menurun secara drastik sebanyak 85 peratus akibat daripada kaum wanitanya dimandulkan supaya tidak mempunyai keupayaan untuk melahirkan anak.

Ini merupakan satu pencabulan hak asasi manusia yang jelas dan terang bagaimana Kerajaan China cuba untuk mengawal perkembangan bangsa Uyghur dengan pembunuhan, kekerasan dan kini dengan pemandulan kaum wanita Uyghur.

(3) Diharamkan nama bayi yang Islamik

Melalui sebuah dokumen ‘Naming Rules for Ethnic Minorities’, nama-nama yang Islamik seperti Imam, Medina, Hajj, Saddam dan Islam, diharamkan untuk bayi yang baru lahir di Xinjiang.

(4) Kubur dimusnahkan untuk pembangunan

Kerajaan China telah merobohkan dan menghilangkan tanda-tanda kubur orang Uyghur atas nama pembangunan bandar. Namun bagi orang Uyghur, mereka mengetahui alasan pembangunan bandar hanyalah satu taktik Beijing untuk menghilangkan tanda-tanda kewujudan kaum Uyghur.

Kerajaan China kini dibawah pemerhatian antarabangsa setelah sebuah laporan yang mengesahkan bahawa Beijing dengan sengaja cuba mengubah rakyat Uyghur untuk menjadi seperti penduduk Cina Han yang berbahasa Mandarin dan bukan berbahasa Turki serta secara paksa mengubah identiti bangsa Uyghur yang beragama Islam.

(5) Kerajaan China memasang kod QR di rumah–rumah Uyghur

Kerajaan China telah mengambil langkah yang drastik dan ekstrem untuk mengawal pergerakan rakyat Uyghur dengan memasang Kod QR di rumah-rumah mereka untuk mendapatkan maklumat secara pantas, memudahkan penahanan secara zalim, mengenakan sekatan ke atas acara keagamaan mahupun memantau komunikasi antara jiran.

Pada tahun 2017, Kerajaan China memperkenalkan sebuah program ‘Pasangan Menjadi Keluarga’ di mana pegawai keselamatan China yang dilaporkan berjumlah hampir 1 juta orang di hantar untuk tinggal bersama-sama dengan keluarga Uyghur atas nama ‘penyatuan bangsa’. Namun dilaporkan ianya merupakan satu helah Beijing untuk mengawal secara dekat aktiviti bangsa Uyghur selepas kaum lelaki mereka ditahan di kem Pendidikan semula.

Pegawai ini akan tinggal sehingga 6 hari di rumah orang Uyghur serta akan mendoktrin pemikiran mereka dan terdapat kes yang ekstrem di mana pegawai tersebut akan tidur bersama kaum wanita Uyghur.

(6) Kerajaan China turut memasang CCTV dan penggunaan aplikasi mudah alih

Pihak Berkuasa China di Xinjiang Uyghur Autonomous Region (XUAR) bukan sahaja membuat pengawasan melalui pegawai-pegawai, mereka turut menggunakan teknologi yang canggih untuk membuat pengawasan secara keseluruhan kepada rakyat Uyghur. Kerajaan China menggunakan imbasan mata, CCTV dengan imbasan muka dan pengecaman suara.

Sehingga kini China mempunyai 170 juta CCTV di seluruh China dan pada tahun 2020, dimaklumkan jumlah CCTV yang akan di pasang adalah sebanyak 400 juta unit. Di Wilayah Xinjiang, keadaan menjadi lebih menakutkan apabila setiap rakyat dipantau dengan ketat dan apabila Kashgar, salah sebuah bandar utama di Xinjiang dijadikan pusat kawalan tercanggih di China untuk memantau pergerakan rakyat Uyghur.

Mengikut Human Rights Watch (HRW), di antara maklumat yang dikumpul melalui pengawasan dan aplikasi mudah alih iaitu mereka yang jarang menggunakan pintu utama rumah, kadar penggunaan elektrik yang tinggi, komunikasi antara satu sama lain dan juga mereka yang pergi menunaikan ibadat Haji tanpa kebenaran.

(7) Ujian bom nuklear

Mengikut sebuah laporan daripada The Epoch Times oleh Xia Mozhu, di antara tahun 1964 hingga 1996, Kerajaan China telah membuat ujian bom nuklear di Lop Nor yang terletak di antara Taklamakan dan padang pasir Kumtag di Selatan Timur XUAR sebanyak 45 kali dengan kadar kematian sebanyak 190,000 orang mengikut laporan oleh Professor Jun Takada dengan 1.48 juta orang turut menerima pendedahan kesan sampingan radiasi.

Antara ujian yang paling besar dan memberi impak besar kepada Xinjiang berlaku antara tahun 1960-an hingga 1970-an di mana ada di antara kekuatan bom tersebut sebesar 3 megaton, 200 kali lebih besar daripada bom yang di jatuhkan di Hiroshima.

(8) Penjualan organ

Mengikut sebuah laporan melalui portal albawaba.com, Enver Tohti iaitu seorang pakar bedah yang telah lari daripada China, memaklumkan bahawa beliau merupakan salah seorang daripada yang terlibat membuat pembedahan dan mengeluarkan organ seperti hati dan buah pinggang daripada orang Muslim Uyghur dalam keadaan mereka masih hidup.

The China Tribunal membuat tuduhan terhadap Kerajaan China melalui The UN Human Rights Council di mana antara yang menjadi mangsa dalam penjualan organ ini adalah daripada kalangan Muslim Uyghur dan kumpulan agama Falun Gong.

Apa yang menyedihkan, ada laporan melalui portal-portal tertentu melaporkan penjualan organ ini turut dilabelkan sebagai ‘Halal Organ’ dengan menjualkannya kepada pembeli daripada negara di Timur Tengah.

Kaitan projek ‘One belt one road’ dengan Uyghur

China merupakan sebuah negara besar yang wawasan mega untuk menjadi sebuah negara terkemuka dan terhebat di dunia. Dalam usaha untuk mencapai wawasan tersebut, China menggunakan pelbagai kaedah untuk mencapainya. Yang paling jelas saat ini, China sedang menggunakan kuasa ekonomi dan perdagangannya dengan memperkenalkan inisiatif perdagangan dan hub transcontinental ciptaannya dengan menghubungkan tiga benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah.

China sebelum ini terkenal dengan Laluan Sutera ketika kemuncak kekuatan dan kegemilangan ekonominya berabad lalu. Pada abad ini sekali lagi China cuba mencipta kembali zaman kegemilangan dan kekuatan tersebut untuk memperluaskan pengaruh China dengan memperkenalkan Belt and Road Initiative. Selain daripada untuk mengembalikan kekuatan ekonomi dan pengaruh China ke seluruh dunia, ia juga bertujuan untuk menyatukan Beijing dengan hampir 70 buah negara dengan laluan kereta api, pelabuhan dan kapal perdagangan, paip gas dan projek – projek mega yang lain.

Saat ini lebih 60 buah negara telah bersetuju untuk menjadi rakan kepada inisiatif ini dengan pelbagai perjanjian pelaburan dan pembangunan pelbagai infrastruktur di negara mereka. Namun kebanyakkannya dikatakan berisiko tinggi kerana negara yang menerima inisiatif dan pelaburan tersebut terpaksa berhutang dengan Kerajaan China untuk menjayakan sesuatu projek dan insiatif dengan majoriti projek tersebut berisiko tinggi untuk gagal.

Sri Lanka adalah di antara negara yang menerima insiatif terbesar dengan pelbagai pelaburan daripada China dengan majoriti pembangunan infrastruktur Sri Lanka dibiayai oleh China. Malah di kalangan penganalisa ekonomi dunia berpendapat Sri Lanka telah terperangkap dengan ‘debt trap’ oleh China di atas Road and Belt Initiative. Kegagalan terbesar ialah Hambantota Port yang bernilai USD 1.12 billion yang diserahkan kepada China dengan pajakan selama 99 tahun setelah Sri Lanka tidak mampu membayar semula pinjaman.

China sejak sekian lama menyalahkan bangsa Uyghur dengan menuduh mereka terlibat dalam keganasan dan membawa ideologi keganasan ekstrem dari Asia Tengah. Namun, antara sebab lain mengapa Beijing berkeras terhadap Uyghur adalah kerana kaitan projek mega Belt and Road Initiative yang kebanyakan laluannya adalah melalui Wilayah Xinjiang seperti yang tertera didalam peta yang disertakan. Tindakan China ke atas Uyghur bukan hanya untuk melenyapkan adat, budaya dan agama mereka sahaja tetapi juga untuk kepentingan ekonomi dan kekuasaan mereka.

Menjadi tanggungjawab kepada Dunia Islam dan umatnya untuk membela nasib bangsa Uyghur. Berdiam diri dan melihat bukan lagi satu kaedah untuk meredakan keadaan mahupun menamatkannya. Lihat apa yang berlaku kepada Palestin dan sikap Dunia Islam saat ini dan lihat juga nasib Rohingya dan sikap Dunia Islam saat ini. Kelemahan Dunia Islam dan umatnya mengakibatkan semua kezaliman dan penindasan ini berlaku. Perseteruan dan persengketaan sesama negara Islam melemahkan lagi Dunia Islam dekad ini.

Sampai bilakah keadaan ini harus berlaku? Selagimana Dunia Islam dan umatnya berpecah belah, selagi itulah Dunia Islam dan umatnya bertambah lemah. Saudara kita ditindas, diseksa, dibunuh, dirogol dan dijual organ mereka namun Dunia Islam masih lagi mementingkan diri sendiri, berdiam diri dan melihat sahaja keadaan ini berlaku. Jika bersuara sekalipun, suara itu hanya sayup- sayup kedengaran kerana lemahnya suara tersebut.

Itulah kelemahan Dunia Islam saat ini. Kuatnya hanya untuk kepentingan sendiri tetapi lemah jika membabitkan ummah dan kesatuan serta persaudaraan. Sampai bilakah Dunia Islam harus berpecah belah dan bersengketa sesama sendiri? Bersatulah demi perpaduan ummah dan untuk mengembalikan kekuatan Dunia Islam. Sudah tiba masanya untuk melupakan sengketa kerana ketika lemahlah musuh Islam akan mengambil peluang merobohkan kesatuan Dunia Islam. Jika Dunia Islam kuat nescaya Islam kembali gemilang dan terbilang.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 10/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -