66 aktiviti sambut pelancong di Kelantan 2020

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sempena Tahun Melawat Kelantan 2020, kerajaan negeri menganjurkan 66 aktiviti sebagai persediaan menerima kedatangan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri, Dato Md. Anizam Ab Rahman berkata, program tersebut akan diadakan di peringkat jajahan dan negeri.

“Untuk memastikan sasaran 5.5 juta pelancong dapat dicapai tahun ini kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pemain dan penggiat industri pelancongan.

“Antara rakan strategik TMK 2020 ini adalah Air Asia, Malaysia Airport Berhad, Firefly, MyCar, Konsortium E-Mutiara, Persatuan Hotel Malaysia dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berucap demikian pada aluannya sempena Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV, di sini malam tadi.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan merasmikan Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020).

Ketibaan baginda bersama isteri Cik Puan Sofie Louise Johansson kira-kira jam 9.10 malam disambut Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Timbalannya, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, serta barisan EXCO dan pembesar negeri.

Hampir 5,000 rakyat segenap lapisan hadir memeriahkan pelancaran itu di mana turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang menggambarkan keunikan budaya Kelantan.

Turut mencuri tumpuan pengunjung perarakan 10 kereta berhias yang mewakili setiap jajahan. – HARAKAHDAILY 10/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -