Politik di surau: Pemimpin PH sengaja langgar Titah?

- Advertisement -

IPOH: Pemuda PAS Negeri Perak mengingatkan EXCO Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi yang menjaga portfolio agama agar lebih berani menegur rakan-rakan komponen PH dalam isu melibatkan agama Islam.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar bahkan membidas ADUN Manjoi itu supaya tidak bersikap hanya mencari salah parti-parti lain, tetapi membisu terhadap kesalahan dibuat rakan PH.

Beliau mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh yang berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang dilangsungkan di Surau Al-Qamar, Taman Pengkalan Utama, di sini baru-baru ini.

Sedangkan katanya, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming turut hadir mengadap Tuanku Sultan Perak pada 24 Mei 2019 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar mengenai larangan politik di dalam premis surau dan masjid.

Turut dipersoalnya, majlis yang telah disambut dengan tarian singa dan bakaran mercun itu menggambarkan seolah-olah pihak terlibat tidak maklum terhadap Titah Perintah tersebut atau memang mahu melanggarnya.

Bahkan tempelaknya, seorang lagi EXCO iaitu Dr Abdul Aziz Bari yang juga berada bersama dalam sambutan itu telah gagal menegur atau bertindak mengikut Titah Perintah untuk menjaga sensitiviti berkaitan.

Menurut Zahid, Pemuda PAS Perak menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) terhadap isu tersebut dan menggesa masyarakat menolak politik kotor PH yang menggunakan prinsip matlamat menghalalkan cara. – HARAKAHDAILY 9/2/2020

- Advertisement -