Mediterranean dan negara-negara yang berkonflik

- Advertisement -

LATAR belakang

(1) Penemuan simpanan gas asli di Mediterranean Timur pada awal tahun 2009 menimbulkan krisis terbaru di negara negara sekitarnya.

Hal ini mendorong pakatan baru yang tidak terjangka antara Israel, Greece, Cyprus, dan Mesir untuk memaksimumkan peluang mereka untuk mendapatkan ‘peluang’ untuk hidup.

(2) Sebahagian besar gas tersebut terletak di lapangan Zohr Mesir, lapangan Leviathan dan Tamar di perairan Israel, serta Aphrodite di Pulau Cyprus. [1]

Rizab gas semula jadi di rantau ini yang dianggarkan lebih daripada 120 trilion kaki kubik. Hampir menyamai gas di seluruh Iraq, yang merupakan rizab ke-12 terbesar di seluruh dunia. [1]

(3) Perbalahan antara Turki dan jirannya Mediterranean Timurnya terutama yang berkaitan Cyprus sejak sekian lama, seolah olah menjadi gambaran awal terhadap krisis pada hari ini.

(a) Konflik ini berpunca sejak era Empayar British VS Empayar Uthmaniah pada 1878 lagi. Konflik seterusnya berlarutan Cyprus Emergency pasa 1955-1959 semasa pemerintahan British.

(b) Krisis berterusan pasca kemerdekaan Cyprus 1963-1964, dan krisis Cyprus 1967. Pertembungan yang panjang ini akhirnya membawa kepada penubuhan Republik Cyprus. [2]

(c) Republik Cyprus diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai negara yang berdaulat. Manakala Republik Turki Northern Cyprus (TRNC) diiktiraf hanya oleh Turki sejak penubuhannya pada tahun 1974. [Gambar 1]

Republik Cyprus vs TRNC

(1) Pada 1982, Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut menetapkan bahawa negara-negara pesisir Mediterranean berhak mendapat zon ekonomi eksklusif sejauh 200 batu nautika dari pantai masing masing. [1]

(2) Manakala rundingan damai antara Republik Cyprus dan TRNC telah dilakukan beberapa kali, namun tidak menjadi. Republik Cyprus telah berjaya mendapat pengaruh politik dengan mengukuhkan kedudukannya di Kesatuan Eropah. [1]

Bahkan mereka berjaya menubuhkan ‘exclusive economic zone-delineation treaties’ dengan Mesir pada tahun 2003, Lubnan pada tahun 2007 dan Israel pada tahun 2010.

(3) Konflik yang berterusan di sebelah Eropah, telah ‘kembali segar’ dan memanas apabila penemuan sumber gas yang baru ini, dan mendorong persengketaan ini semakin sengit.

Turki telah menyuarakan bantahan terhadap geran penerokaan ‘unilateral’ yang ditawarkan oleh Cyprus kepada syarikat tenaga antarabangsa termasuk ENI milik Itali dan Total milik Perancis.

(4) Geran ini sebahagian besarnya menumpukan pada Blok 4, 5, 6, dan 7 yang mendatar di Selatan dan melebar ke Barat Daya pulau tersebut

Secara tak langsung, ia termasuk dalam zon ekonomi eksklusif yang diceritakan tadi. Walaupun ia dituntut oleh Cyprus, tetapi Turki mendakwa ia melanggar perairan wilayah milik TRNC. [3]

Turkstream vs Eastmed

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai perebutan sumber gas Mediterranean antara beberapa buah negara di sekitarnya [4]. Isu ini semakin membawa kepada perbincangan yang hangat.

Sepertimana yang ditulis sebelum ini, wujudnya persaingan antara Turkstream dan Eastmed. Turkstream dibina atas kerjasama Turki-Russia. [4]

Manakala Eastmed pula dibina atas kerjasama Israel-Greece-Cyprus-Israel. Jelas menunjukkan pertembungan antara Blok Israel dan Blok Russia.

(2) Turki-Russia cuba merancang untuk ‘mengamankan’ Libya dengan menyatukan kerajaan yang diiktiraf di Libya, dan Haftar yang mempunyai pengaruh besar di sana. [4]

(a) Perjanjian 27 November 2019 yang ditandatangani di antara Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Libya, Fayez al-Sarraj menetapkan sempadan laut yang jelas antara kedua-duanya di perairan Greece dan pulau Crete. [1]

Perjanjian itu merupakan isyarat terbaru dan mungkin yang paling hangat oleh Turki. Turki menegaskan tuntutannya untuk memperoleh ‘leverage’ terhadap tawaran pengeluaran gas.

(b) Teks perjanjian itu menyenaraikan garis 18.6-batu (35 kilometer) yang akan membentuk sempadan maritim dari pantai Barat Daya Turki ke Utara Libya, dan melintasi zon yang diclaim oleh Greece dan Cyprus [Gambar 2].

(3) Di tengah-tengah bantahan terhadap perjanjian Turki-Libya ini, timbulnya penafian terhadap tafsiran Greece mengenai sempadan maritim.

Perjanjian Turki-Libya

(1) Pertikaian terhadap perjanjian Turki-Libya bagi yang mengimbangi keseimbangan kuasa di Mediterranean Timur yang dilihat memihak kepada Turki sejak konflik Republik Cyprus dan TRNC yang saya ceritakan tadi.

Apatah lagi saluran paip Turki ini mengganggu laluan EastMed sepanjang 1,900 kilometer yang diunjurkan daripada saluran paip gas Israel melalui Cyprus dan Greece hingga ke Selatan Eropah.

(2) Tidak mahu projek ini ‘terlekat’, Greece telah meminta Majlis Keselamatan PBB dan NATO untuk mengutuk perjanjian maritim Turki-Libya tadi.

Bahkan mereka mengusir duta besar Libya ke Greece. Greece pula kini mendapatkan jaminan dari Haftar, sekalipun cuba dirunding oleh Russia sebelum ini [4].

(3) Pada 17 Januari Haftar bertemu dengan Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis. Dalam pada itu The Guardian menyiarkan berita bahawa Perancis menghantar kapal perang membantu Greece bagi berhadapan dengan Turki [5].

Hal tersebut disambut baik oleh Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis. Beliau mengatakan bahawa “Greece dan Perancis sedang menerapkan rangka kerja pertahanan strategik baru”.

(4) Laporan daripada The Guardian juga menyatakan bahawa Greece turut mendapatkan bantuan daripada Kesatuan Eropah bagi menghadapi tekanan Turki. [5]

Apa yang jelas kelihatan, Greece yang berpakat dengan Israel, bagi mencantas atau ‘mensailang‘ percubaan blok Turki-Russia untuk berpakat dengan Kerajaan Libya.

Perancis mengecam Turki

(1) Perancis yang berpihak kepada Greece menuduh Turki bukan sahaja memburukkan lagi ketegangan serantau tetapi gagal mematuhi tindakannya yang dijanjikan di Libya. [5]

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan;

“Saya ingin menyatakan keprihatinan saya mengenai tindakan Turki pada masa ini … kita telah melihat pada sejak akhir akhir ini krisis di Libya, kapal perang Turki disertai oleh tentera upahan Syria mula tiba di tanah Libya”

Beliau mengatakan lagi “Ini adalah pelanggaran yang jelas dan serius mengenai apa yang telah dipersetujui”. Iaitu dalam persidangan damai minggu lepas di Berlin.

(2) Berita mengenai apa yang ditimbulkan ini turut disiarkan oleh The Guardian bertarikh 15 Januari 2020 [6] dan juga akhbar akhbar lain. Rata-rata menggambarkan kecaman terhadap Turki.

Turki membawa masuk geng pemberontak yang diupah ini dengan bayaran yang lebih lumayan daripada perang di Syria ke dalam Libya sebagai persediaan bertembung dengan Haftar.

(3) Tindakan Turki mengupah pemberontak Syria juga dilihat sebagai Pelan B sekiranya nego antara Russia dan Haftar tidak membuahkan hasil. Bahkan Haftar juga dilihat ‘memihak’ kepada Greece sepertimana yang saya nyatakan tadi.

Tindakan Turki ini mendapat kecaman daripada Barat, dan dikatakan bertentangan dengan Persidangan Damai di Berlin minggu lepas yang saya nyatakan tadi.

(4) Ia juga dijadikan modal untuk mereka menggerakkan ketenteraan mereka bagi mengekang usaha Turki-Rusia untuk projek Turkstream.

Amaran Turki kepada Greece

(1) Pada 5 Februari 2020, Erdogan memberi amaran kepada Greece untuk ‘tidak mencari pasal’ dengannya. Erdogan memberi amaran supaya krisis Imia atau Kardak tidak berulang kali kedua. [7]

(a) Krisis Imia atau Kardak berlaku pada 1996, menyaksikan pertembungan antara Turki dan jirannya, Greece. Bahkan pertembungan kedua dua ini agak kerap berlaku. [8]

(b) Imia atau Kardak adalah pulau yang tidak berpenghuni. Greece meng’claim‘ pulau itu kepunyaannya dengan nama Imia. Manakala Turki juga meng’claim‘ kepunyaan Turki dengan nama Kardak.

(c) Pulau yang terletak di Laut Agea ini menyaksikan perebutan yang cukup panjang, dan ia menjadi simbolik kepada ancaman Turki terhadap Greece pada hari ini.

(2) Apa yang bakal terjadi pada esok hari dalam isu ini? Masih lagi tidak dapat dipastikan. Cuma, apa yang boleh dikatakan ialah ‘suasana yang semakin genting’.

(a) Turki, Libya dan Rusia mungkin akan mengheret negara negara lain dalam isu ini. Sepertimana Greece mengheret Perancis, Itali dan sebagainya.

(b) NATO, PBB dan EU dilihat menguntungkan Greece. Manakala blok yang biasanya bersama Russia ialah Iran, Syria dan boleh jadi menarik Qatar bersama mereka.

(3) Mesir dan Israel pula sedang mengusahakan gas di Lapangan Zohr sangat mengkayakan kedua duanya. Apatah lagi kedua duanya sangat memerlukan ‘duit’.

[1] https://warontherocks.com/2020/01/hydrocarbon-diplomacy-turkeys-gambit-might-yet-pay-a-peace-dividend/

[2] Boleh rujuk buku Alan James yang bertajuk : Keeping the Peace in the Cyprus Crisis of 1963 (2001) dan buku tulisan Dan Lindley : Historical, Tactical, and Strategic Lessons from the Partition of Cyprus (2001)

[3] https://www.reuters.com/article/us-cyprus-turkey-ship/tensions-grow-as-cyprus-says-turkish-drilling-ship-violates-its-rights-idUSKBN1WJ0HQ

[4] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3376143319094071&id=100000953077134

[5] https://www.theguardian.com/world/2020/jan/29/greece-turkey-standoff-france-send-warships-east-mediterranean

[6] https://www.google.com/amp/s/amp.theguardian.com/world/2020/jan/15/exclusive-2000-syrian-troops-deployed-to-libya-to-support-regime

[7] http://www.ekathimerini.com/249212/article/ekathimerini/news/erdogan-warns-greece-against-move-over-imia-islets

[8] https://www.google.com/amp/s/www.jejaktapak.com/2016/02/20/sampai-kapan-langit-laut-agea-akan-terus-mendidih/2/%3famp=1

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 9/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -