Lajnah Kebajikan PAS pilihan rakyat 2023

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) beriltizam menjadi organisasi kebajikan pilihan rakyat menjelang 2023.

Pengerusinya, Dr Rosni Adam berkata, gerak kerja kebajikan yang dilakukan mesti menjadi pemecah tembok antara PAS dan rakyat di negara ini.

Menurutnya, kebajikan juga sebagai medium dakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat tanpa mengira parti, kaum dan agama.

Terangnya, meskipun PAS belum lagi menerajui pemerintahan negara, namun menghargai betapa kesepaduan usaha antara sektor dan agensi adalah inisiatif yang sangat ampuh bagi kepentingan rakyat.

“Melalui pelbagai unit strategik yang kami diwujudkan, kami mensasarkan seberapa mampu untuk menyantuni masyarakat dari pelbagai segmen dan latar belakang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di hadapan para peserta yang hadir di Konvensyen Kebajikan Nasional 2020 di Dewan Seri Kasih Bandar Tun Hussien Onn, Bangi, hari ini.

Menurutnya, misi utama LKKPP adalah menterjemahkan gerak kerja sebagai parti berkebajikan mengikut dasar yang telah ditetapkan oleh parti.

Dalam pada itu jelasnya, pihak kebajikan juga harus membina hubungan strategik dengan semua parti sama ada dalam atau luar parti, supaya mencapai impak yang besar

Katanya lagi, sehingga kini LKKP sentiasa bersiapsiaga untuk mengambil kira isu kebajikan dan kemasyarakatan, di samping memperkasakan lima unit-unit sedia ada.

- Advertisement -

Beliau merujuk kepada Pusat Aduan Sosial, Skuad Prihatin, Sekretariat Prihatin Orang Kurang Upaya, Skim Kifalah ahli PAS dan Unit Murabitun.

Menarik konvensyen ini, disertai beberapa initiatif baru yang diketengahkan oleh LKKPP iaitu pelancaran Sistem Pengurusan Maklumat Pencarum (SkimPAS), skuad UPAYA dan pelancaran projek tangan robotik.

Sepanjang konvensyen berjalan, semua ucapan turut diterjemahkan oleh jurubahasa isyarat, Noor Haseken P Ramly yang merupakan Penyelaras Parlimen Orang Kurang Upaya (OKU) Pengkalan Chepa.

Ia bagi memudahkan golongan kurang upaya memahami intipati ucapan yang disampaikan di dalam konvensyen itu. – HARAKAHDAILY 9/2/2020

- Advertisement -