Razman bayar saman, tidak gadai prinsip

- Advertisement -

IPOH: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria mengesahkan beliau membayar RM254,150 sebagai gantirugi yang dituntut oleh pimpinan PAN, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin atas keputusan mahkamah kes saman ‘Tindakan Nizar Mirip DAP’.

- Advertisement -

Bagaimanapun, beliau menempelak usaha pihak musuh yang mencuba menconteng arang di mukanya dengan gelaran ‘bankrap’, susulan daripada kejayaan beliau dalam melunaskan bayaran pampasan tersebut.

“Harapan kami, semoga Nizar dan sahabat-sahabat PAN yang pernah menjalani tarbiyah PAS kembali kepada Islam sebenar. Jangan terlalu ikut nafsu, jangan sampai menyesal di depan Allah. Ingat bahawa orang Mukmin itulah sahabat sebenar.

“Orang yang bersama PAS ialah mereka yang sentiasa memahami perjuangan Islam, berani berdepan apa jua cabaran pun. Bukan seperti beliau (Nizar) yang membelakangkan perjuangan,” ujarnya tegas.

Dalam pada itu, Razman yang juga merupakan ADUN Gunung Semanggol menyatakan bahawa beliau tidak akan tunduk mengalah meski diasak hebat oleh pihak lawan.

“Kita ada prinsip, mahkamah boleh tetapkan kenyataan saya sebagai fitnah. Mereka ada kuasa dan saya akur (dihukum). Tetapi Allah menilai tindak tanduk kita, Allah tahu apa yang berlaku dan pastinya kebenaran kelak akan terbukti, dan rakyat akan menilai,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Serahan cek kali ketiga untuk bayaran saman tersebut diwakili oleh Pegawai Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol, Abu Bakar Rahmat, di pejabat peguam Tetuan Awi & Co iaitu peguam berpihak kepada Nizar.

“Kita mengharapkan nilai saman yang besar ini akan membawa muhasabah kepada mereka dan digunakan untuk perjuangan Islam melalui konsep Rahmatan Lil Alamin yang difahami menurut kefahaman yang sebenar, bukan dipergunakan untuk membela pihak tertentu,” kemukanya.

Terdahulu, melalui Abu Bakar cek pertama ditolak oleh pejabat peguam tersebut kerana ia ditulis secara tarikh bertangguh, manakala serahan kedua pula ditolak atas alasan nama penerima tidak betul.

“Hari ini (semalam) kita akan ke pejabat peguam (Nizar) lagi dan serah cek yang baru dengan butiran yang lengkap seperti mana surat yang dikemukakan pihak mereka dengan nombor rujukan ABA/MFA/Bm/2747 bertarikh 23 Januari 2020,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 8/2/2020

- Advertisement -